Selasa, 03 Juni 2014

Rindu Dalam Sepi Istimewa Ramadan : Mengintai Rindu ( Bab 1 )


"AMtak setuju, mama. Berapa kali Am nak cakap yang Am tak suka tengok muka dia ada dalam rumah ni. Kalau mama nak jugak dia datang rumah kita, Am balik apartment. Am tak nak tengok muka perempuan tu!” keras suara Ammar kedengaran di telinga Datin Zarina.
Datin Zarina mengeluh. Sukar sangatkah untuk Ammar melupakan apa yang telah berlaku? Masuk hari ini sudah hampir sebulan peristiwa itu berlaku. Mardiyah pun sudah berjanji akan keluar dari kehidupan lelaki itu dalam jangka enam bulan ini. Sudahlah esok hari pertama bulan Ramadan. Dia teringin bersahur dengan Mardiyah yang juga merupakan menantu rahsianya.
“Am, kalau Am tak jumpa dia dekat rumah ni, Am tetap akan jumpa dia dekat ofis kan? Kenapalah Am ni teruk sangat?” marah Datin Zarina. Dia menyandarkan tubuhnya di sofa.
Datuk Zainal hanya diam mendengar segala perbualan mereka berdua. Ammar mendengus kasar. Dia berpeluk tubuh.
“Mama tahu kan yang Am ni menyampah, benci dan meluat tengok muka dia tu. Serabut, mama tahu tak,” balas Ammar masih lagi membangkang kata- kata Datin Zarina.
Dahlah suruh aku kahwin on the spot dengan minah tu. Sekarang nak suruh aku terima dia pulak? Eh, memang taklah kan aku nak terima perempuan yang dah musnahkan masa depan aku tu. Tak cukup ke mengadap muka dia dekat ofis, takkan nak kena tengok muka dia dekat rumah ni jugak? desis hati Ammar. Dia menarik muka masam.
“Sudah- sudahlah tu kamu marahkan si Diya tu, Am. Tak guna kamu terus membenci Diya yang sah- sah jadi isteri kamu sekarang ni sebab benci kamu tu takkan ke mana. Jodoh dah mengikat kamu dengan dia, terimalah kenyataan,” sampuk Datuk Zainal. Matanya masih fokus di televisyen. Siaran berita di TV3 tidak berjaya mengalihkan perhatiannya untuk turut serta dalam perbincangan antara Datin Zarina dan anak sulungnya ini.
No way, papa! Mama kan dah janji takkan biarkan dia tinggal dalam rumah ni. Mama dah lupa ke atau mama memang nak tengok Am seksa dia,” balas Ammar tegang.
Datin Zarina tersentak. Datuk Zainal berpaling dan memandang wajah anak lelakinya itu.
“Kebencian yang Am tanamkan untuk Diya itu tidak berasas. Kalau Am tak bersalah pada malam tu, kenapa Am benci sangat pada Diya? Sedangkan kamu berdua memang tak buat apa- apa? Kenapa? cuba Am jelaskan pada mama dan papa,” Datin Zarina membalas.
Ammar terdiam seketika.
“Sebab dia dah menjadi halangan untuk Am berkahwin dengan Lydia. Mama tahu kan hubungan Am dengan Lydia. Mama memang saja nak tengok Am putus dengan Lydia, kan?” balas Ammar.
Datin Zarina tersenyum sinis. Hubungan konon. Nak cakap perkataan cinta pun payah inikan pula nak ada hubungan. Am, Am kenapalah hati anak mama ni buta untuk buat penilaian?
“Kalau dengan putus hubungan itu, dapat menjadikan Am orang yang lebih baik. Mama akan lebih gembira kalau Am tak ada apa- apa hubungan dengan Lydia,” balas Datin Zarina selamba.
“Mama! Am cin…..” lidah Ammar kelu. Dia tidak mampu untuk melafazkan perkataan itu. Suaranya terhenti tiba- tiba membuatkan Ammar bingung. Apa dah kena dengan aku sebenarnya ni? Sumpahan apakah yang memakan diri aku?
Datin Zarina dan Datuk Zainal hanya tersenyum sinis. Mereka sudah dapat mengagak pasti Ammar akan kelu untuk melafazkan tiga perkataan itu. Susah sangat ke?
“Sudahlah Am tak payah nak paksa diri sendiri. Papa tak suka anak papa berdendam dengan orang lain apatah lagi isteri sendiri. Ingat, esok dah masuk bulan Ramadan, bulan yang mulia jadi apa salahnya sebelum kita melakukan ibadat puasa, kita bermaaf-maafan sesama kita. Am banyak buat salah pada Diya dan papa rasa lebih baik Am mintak maaf dengan dia,” Datuk Zainal pula yang bersuara menasihati anak lelakinya yang tercinta.
Ammar tersentak. Aku nak mintak maaf dengan Mardiyah? Bayar sepuluh ribu pun aku takkan mintak maaf. Dia dah perangkap aku untuk kahwin dengan dia, takkan semudah itu untuk aku maafkan dia. Tidak sesekali. Jangan harap! Jerit hati Ammar. Dia menggelengkan kepalanya beberapa kali.
“Rasulullah itu seorang yang amat pemaaf, Am. Walaupun pelbagai cacian dan makian yang diterima oleh baginda, namun Rasulullah tetap memaafkan orang lain kerana dengan memaafkan kesalahan orang lain, hati kita akan jadi tenang. Papa tahu Am anak yang baik malah Am bukannya seorang yang pendendam, jangan sampai kebencian dan kemarahan Am ini akan menimbulkan titik- titik hitam dalam hati Am. Tak salah pun kalau Am ajak Diya bersahur dekat rumah kita esok. Dia baru saja kehilangan ayah takkan Am sanggup tengok Diya bersedih pada hari pertama berpuasa. Am jaga anak- anak yatim piatu dekat rumah Nur Cahaya tetapi isteri Am tu, Am abaikan. Itu ke contoh yang Am nak tunjukkan pada anak- anak Nur Cahaya?” Datuk Zainal cuba memujuk.
Ammar terdiam. Wajahnya kembali tenang. Apa yang dikatakan oleh papanya itu ada benarnya juga tapi dia masih belum dapat menerima Mardiyah dalam hidupnya. Dia masih tidak dapat menerima hakikat, setiausahanya menjadi isterinya yang sah.
Datin Zarina tersenyum melihat Ammar yang sudah mendiamkan diri. Tentu anaknya itu sedang berfikir. Lantas, Datin Zarina mencapai I Phone miliknya. Nombor telefon Mardiyah didail. Tidak sampai beberapa saat, taliannya bersambut.
“Assalamualaikum, Diya sihat?” soal Datin Zarina lembut.
Ammar tersentak. Lantas dia berpaling pada mamanya yang sudah tersenyum penuh makna. Kalau tak silap, mama bercakap dengan Diya erk?
“Selamat berpuasa, Diya. Ni Am nak cakap dengan Diya sekejap,” ucap Datin Zarina.
Ammar tersentak lagi. Aikk, aku pulak yang kena? Tak naklah aku bercakap dengan perempuan pembawa malang tu. Detik hatinya.
Namun, Datin Zarina tetap menyuakan telefonnya pada Ammar. sepantas kilat menggelengkan kepala tetapi jengilan mata Datin Zarina sudah cukup menggerunkan Ammar. lalu dia menyambut huluran Datin Zarina. Telefon dilekapkan di telinga.
“Hello!” dengusnya kasar.
“Hee..hel..lo, Encik Am?” suara di hujung talian kedengaran bergetar.
“Ya aku. Mama ajak kau sahur rumah esok. Jadi jangan tak datang pulak!” ucap Ammar kasar.
“Insya- Allah saya datang,” jawab Mardiyah takut- takut.
Hmmmm…” balas Ammar lalu mematikan talian. Telefon diserahkan kembali pada Datin Zarina yang sudah pun tersenyum puas. Suka betul dera anak sendiri.
Ammar bingkas bangun untuk menuju ke tingkat atas. Memang kalau berdebat dengan kedua orang tuanya ini, pasti dia yang akan menyerah kalah. Tak mengapa Diya, kali ni aku biarkan kau menang tapi tengoklah apa yang bakal aku lakukan pada kau. Bisik hati Ammar dengan senyuman penuh makna terukir di bibirnya.
“Am, nak ke mana pulak tu? Jangan cakap nak balik apartment. Papa tak benarkan kamu balik apartment selama sebulan sampailah raya nanti,” tegas Datuk Zainal memberi arahan.
Langkah Ammar terhenti. Dia mengeluh.
“Baiklah, papa,” jawab Ammar mengalah.
                                                       
“SIAPAyang call?” tanya Quraisya sambil matanya masih tertancap pada skrin televisyen.
Mardiyah menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Nak cakap macam mana erk?
Err…bos aku yang call,” jawab Mardiyah tergagap- gagap. Dia cuba meredakan debaran di hati saat mendengar suara Ammar di telefon. Memang itu bukan kali pertama dia mendengar suara Ammar tetapi kali ini suara itu mampu membuatkan dadanya berdebar.
Quraisya berpaling memandang wajah Mardiyah.
“Bos kau yang muka dia macam Lee Min Ho tu?” soal Suraya sedikit teruja.
“Taklah, bos aku yang macam muka Harun Salim Bachik,” balas Mardiyah sambil ketawa apabila melihat wajah Quraisya yang tidak puas hati.
“Sukalah kau kenakan aku. Tapi buat apa dia call kau? Bukan ke kau cakap dia tak suka kau?” Quraisya menyoal lagi.
Mardiyah menarik nafas sedalam- dalamnya. Memang Ammar tak pernah sukakan aku. Apa yang dia buat semua atas paksaan daripada Datin Zarina dan Datuk Zainal. Mardiyah juga dapat merasakan pelawaan untuk bersahur di rumah lelaki itu pasti atas gesaan Datin Zarina. Mardiyah mengeluh. Sampai bila lelaki itu akan membenci dirinya? Sedangkan dia sudah penat dalam sandiwara yang lelaki itu ciptakan.
“Diya, aku tanya kau ni. Kau boleh termenung pulak. Teringat dekat boslah tu,” bebel Quraisya sambil mencuit lengan Mardiyah.
Mardiyah tersentak. Kemudian dia tersengih menyembuyikan rasa sedih yang berlagu di hati.
“Esok kan nak puasa jadi dia ucap selamat berpuasalah,” bohong Mardiyah dengan suara yang sengaja diceriakan.
“Macam pelik je bos kau tu. Tapi lantak dialah kan. Kau dah mintak maaf ke belum dengan dia? Yelah, kita ni nak berpuasa, jadi lebih afdal kalau kita bermaaf- maafan sebelum menjalani ibadat puasa. Barulah puasa kita akan tenang,” balas Quraisya.
Mardiyah terdiam seketika. Betul juga apa yang dikatakan oleh Quraisya. Selama ini dia banyak buat salah pada Ammar dan sekeluarga kerana kedatangannya dalam hidup lelaki itu membuatkan hidup Ammar menjadi kelam kabut. Perlukah aku minta maaf? Soal hati Mardiyah masih lagi sangsi.
“Tengoklah macam mana nanti. Lebih baik aku mintak maaf dengan mak aku daripada aku mintak maaf dengan mamat perasan bagus tu. Eh, kau tak kerja ke malam ni? Bukan ke minggu ni syif kau waktu malam?” Mardiyah mengubah topik.
Quraisya tersengih.
“Kejap lagi aku pergilah. Tapi sorrylah aku tak dapat nak teman kau bersahur. Kau bersahur soranglah nampak gayanya. Ataupun apa kata kalau kau pergi bersahur dengan bos kau yang perasan bagus tu,” Quraisya cuba bergurau.
Mardiyah hanya menjeling. Kau ni macam tahu- tahu je memang aku kena pergi bersahur dekat rumah mamatyang perasan bagus tu. Isya, macam mana agaknya kalau kau tahu sebenarnya aku dah kahwin dengan Ammar? Kau marah aku tak? Soal hati Mardiyah.
“Tak apalah, nak buat macam mana kan, nampaknya aku kena sahur dekat kedai mamaklah,” balas Mardiyah sambil ketawa kecil. Quraisya turut ketawa.
                                                    
AMMARberguling ke kiri dan ke kanan. Hatinya terasa resah apabila memikirkan esok dia harus berhadapan dengan gadis yang sudah memusnahkan masa depannya. Walaupun dia selalu bersua muka dengan Mardiyah di pejabat tetapi kali ini dia terasa lain. Jika di pejabat bolehlah dia membuli gadis itu tapi bila di rumahnya, jangan haraplah mama dan papa akan menyebelahinya. Entah apa yang bagusnya minah tu pun aku tak tahu. Gumam hati Ammar.
Lamunannya terhenti apabila telefon Blackberrynya berdering. Dia merengus apabila melihat nama yang tertera di skrin. Dia ni nak apa entah malam- malam buta ni. Dengus Ammar tapi punat hijau tetap di tekan.
“Hah, kau nak apa?” jerkah Ammar kasar.
“Assalamualai…kumm, encik…” ucap Mardiyah tergagap- gagap.
“Waalaikummusalam. Kau nak apa?” ulang Ammar lagi dengan nada yang serupa.
“Maaf menganggu encik malam- malam ni, saya cuma….”
“Cuma apa? Eh boleh tak cakap tu straight to the point. Tak ada masa aku nak melayan kerenah kaulah. Sakit je hati aku ni bila dengar suara kau. Kalau kau ada depan aku, dah lama kau dapat pelempang. Menyerabutkan betul!” bentak Ammar keras.
Mardiyah menelan air liur. Gerun dia mendengar kata- kata Ammar. Terbayang segala seksaan yang telah lelaki itu lakukan sebaik saja dia menyandang gelaran isteri rahsia Ammar Mukhriz.
“Saya cuma nak minta maaf atas kesilapan saya pada encik selama ni. Esok dah nak puasa saya harap sangat encik lupakan sengketa yang pernah terjadi antara kita. Itu saja,” balas Mardiyah takut- takut.
Ammar terdiam. Dia nak aku lupakan sengketa? Senangnya cakap.
“Kau ingat apa yang berlaku dalam hidup aku ni macam kunyah gula- gula getah. Bila puas kunyah, buang macam tu je. Kau yang datang dalam hidup aku, lepas tu huru harakan hidup aku, kau suruh aku lupakan? Kau tu yang patut lupakan hasrat kau untuk suruh aku lupakan apa yang kau dah buat. Sekali aku cakap aku benci, selamanya kau akan dapat kebencian aku, bukannya kemaafan!” balas Ammar.
Mardiyah terkedu di hujung talian. Air mata mula bergenang. Niatnya baik tapi Ammar bagaikan sudah buta untuk menilai kebaikannya.
“Tapi semua itu bukannya salah saya….”
“Habis tu kau nak cakap itu salah akulah? Siapa yang masuk bilik aku? Siapa? Kalau bukan kau. Aku tahu kau sengaja nak perangkap aku, aku dah bosan dengan perangai perempuan murah macam kau ni!” maki Ammar lagi.
Berdarah hati Mardiyah mendengar tohmahan Ammar yang tidak berasas. Apa yang berlaku bukan salahnya. Ammar juga tahu tentang itu. Kebetulan saat itu ada pemeriksaan daripada jabatan agama di hotel- hotel yang terpilih. Dia sendiri tidak menyangka menjadi salah satu mangsa daripada pemeriksaan itu.
“Saya minta maaf, encik…” hanya itu yang mampu Mardiyah ungkapkan. Pilu hatinya dengan penerimaan Ammar.
Argh, sudahlah!” bentak Ammar lantas mematikan telefon. Dia merengus.