Rabu, 20 November 2013

Jadikan Aku Yang Kedua ( Bab 30 ) ~ Last Entry


“KENAPA baru sekarang umi perasan pasal diari ni? Kalaulah umi dapat dahulu diari ni, pasti semua ini takkan jadi serumit ini…” keluh Hajah Latifah sambil tangannya memeluk diari usang milik arwah Waheeda.
Selepas membaca coretan tangan daripada anak sulungnya itu barulah Hajah Latifah sedar yang anaknya itu terlalu menderita Cuma penderitaan itu disembunyikan daripada pengetahuan semua orang. Sekarang semunya sudah terbongkar. Mampukah untuk dia merealisasikan impian terakhir Waheeda untuk menjadikan Wazirah sebagai ganti untuk menjaga cucu-cucunya?
Haji Lokman hanya mendiamkan diri. Ayah mana yang tak sedih apabila mengetahui isi hati anaknya selepas tubuh anaknya itu sudah dimamah bumi? Tipulah jika dia mengatakan yang dia sedikit pun tidak tersentuh dengan luahan hati Waheeda. Namun, takdir Allah sudah tertulis mampukah dia untuk mengingkarinya?
“Umi setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Mungkin kakak pun nak kita tahu semuanya selepas dia tak ada. Mungkin dia tak nak kita sedih bila kita tahu dia menderita,” ucap Wazirah bersuara setelah agak lama mendiamkan diri.
“Tapi permintaan dia tu terlalu berat untuk kita tunaikan. Kalau Thaqif belum berumah tangga pasti senang untuk kita turuti permintaan terakhir dia itu tapi sekarang ni Qif dah ada isteri dan umi yakin isteri Qif tu takkan setuju kalau Qif kahwin dengan Wawa,” balas Hajah Latifah.
Wazirah tersentak. Lama matanya terpaku pada laman wajah Hajah Latifah. Apa maksud umi ini? Detik hatinya.
“Umi, Wawa tak pernah terfikir nak kahwin dengan Abang Qif. Cinta kakak pada Abang Qif dan cinta Abang Qif untuk kakak tak mampu untuk Wawa gantikan walaupun muka Wawa seiras dengan kakak,” bantah Wazirah.
Hajah Latifah terkedu. Dia memandang wajah Wazirah yang begitu tegas dengan pendiriannya.
“Wawa sedar tak apa yang Wawa cakapkan ni?” soal Hajah Latifah dengan wajah yang sudah berubah merah. Menahan rasa marah dengan sikap acuh tak acuh Wazirah.
“Sedar. Memang Wawa sedar umi. Wawa sedar yang Wawa takkan mungkin dapat menggantikan tempat kakak dalam hati Abang Qif. Kalau isterinya sendiri tidak mampu untuk membuatkan Abang Qif lupa pada kakak apatah lagi Wawa kan? Cinta dan kesetiaan Abang Qif pada kakak terlalu tinggi, umi sampaikan tiada mana-mana perempuan yang dapat merobohkan cinta dan kesetiaan itu,” balas Wazirah sambil menundukkan wajah.
Hajah Latifah terdiam seketika. Nafasnya dihelakan perlahan sebelum dia memandang sekilas pada suaminya yang lebih suka mendiamkan diri.
“Tapi Wawa lebih sesuai untuk mendidik Dani dan Dania. Kakak pun percayakan Wawa untuk jaga anak dia dan umi rasa Qif juga akan setuju apatah lagi Wawa ni kembar Wahi pasti kerinduan dia pada Wahi akan terubat bila Wawa sentiasa berada di samping dia,” pujuk Hajah Latifah lagi.
Wazirah kian gelisah dengan kata-kata Hajah Latifah. Hatinya menjerit tidak setuju dengan kata-kata Hajah Latifah tetapi bibirnya bagaikan digam untuk menidakkan permintaan ibunya. Terbayang wajah Nuha yang lembut di hadapan mata. Walaupun usia gadis itu masih mentah tetapi gadis itu tetap tabah berusaha untuk menjadi seorang ibu yang sempurna. Hal itu makin membuatkan Wazirah yakin yang dia takkan pernah mendapat tempat dalam hidup Thaqif.
“Wawa tak nak bina kehidupan atas kesedihan dan penderitaan orang lain. Abang Qif dah berkahwin dan dia sendiri yang pilih perempuan yang layak untuk ganti arwah kakak dan Wawa rasa itu sudah cukup. Tak perlulah kita kacau rumah tangga dia orang,” akhirnya Wazirah membuka mulut.
“Wawa! Wawa tahu tak semua ini kehendak kakak! Umi tak rasa yang isteri Qif tu sesuai untuk mendidik cucu-cucu umi. Wawa lebih layak bukan dia dan umi rasa kalau Qif baca permintaan terakhir isterinya ini pasti dia setuju. Umi yakin!” ujar Hajah Latifah penuh keyakinan.
“Ifah, jangan terlampau memaksa. Ini soal masa depan Wawa. Jangan dibuat main,” tegur Haji Lokman lembut.
“Umi, Wawa tahu umi sayangkan Abang Qif. Dia menantu kesayangan umi tapi kita tak boleh bermain dengan kehidupan dia, umi. Dia berhak tentukan masa depan dia sendiri. Dia dah pilih Nuha jadi kita kena terima. Wawa tak sanggup nak rampas kasih sayang Abang Qif dengan cara sebegini. Wawa balik ke Malaysia ini nak jenguk umi dan abi. Nak kenal dengan anak-anak saudara Wawa bukannya nak merumitkan fikiran Wawa,” balas Wazirah masih lagi teguh dengan pendiriannya.
Hajah Latifah mendengus marah. Dia paling tak suka jika kata-katanya dibantah. Inilah beza antara Wazirah dan Waheeda. Wazirah lebih suka membantah dan membangkang cakapnya, berbeza pula dengan Waheeda. Anaknya itu lebih suka menuruti segala kemahuan malah anaknya itu tidak pernah sekali pun membangkang kata-katanya.
“Ikut suka kamulah, Wawa. Tapi umi tetap nak bincangkan perkara ini dengan Qif. Sekurang-kurangnya Qif perlu tahu apa yang Wahi nak sampaikan pada dia. Kalau Qif setuju nak kahwin dengan kamu, umi nak kamu juga terima keputusan ni!” tegas Hajah Latifah tanpa sempat memberi Wazirah peluang.
“Umi!”
“Ifah!”
Wazirah dan Haji Lokman menjerit serentak. Wazirah bingkas bangun. Dia rasa perbincangan antara dia dan Hajah Latifah tidak akan berkesudahan.
“Ifah, awak perlu redha dengan apa yang berlaku pada keluarga kita. Jangan terlampau memaksa kalau kita tak tahu apa yang telah ditakdirkan untuk kita. Mungkin jodoh untuk Qif jadi menantu kita hanya setakat ini saja, jadi awak kenalah terima ketentuan Allah. Cara awak memaksa Wawa menunjukkan awak tak redha dengan apa yang berlaku sedangkan keredhaan itu amat penting dalam hidup kita, Ifah.” Nasihat Haji Lokman.
“Bukan Ifah tak redha, bang. Tapi Ifah rasa nasib cucu-cucu kita lebih baik kalau Wawa yang gantikan tempat Wahi. Ifah tak percayakan isteri baru Qif tu untuk didik cucu-cucu kita. Dia tak layak!” jawab Hajah Latifah selamba.
“Astaghfirullah-al-azim, siapa awak untuk mengatakan yang dia tak layak? Awak kena ingat tiada satu pun yang terjadi atas dunia tanpa keizinan-Nya. Daun yang nak gugur ke bumi pun atas izin-Nya inikan pula hal hidup dan jodoh seseorang. Cuba awak bawa muhasabah diri. Jangan diikutkan sangat rasa tak puas hati awak tu. Bawa isghtifar banyak-banyak,” sambung Haji Lokman lagi.
Wazirah terduduk kembali. Dia tersenyum mendengar nasihat yang dilontarkan oleh Haji Lokman yang ternyata berpihak padanya.
“Abang ni kenapa? Dulu bukan abang ke yang tak suka isteri Qif yang baru tu? Sekarang abang nak sebelahkan dia pulak…” rungut Hajah Latifah sambil menarik mulut muncung.
“Abang bukan nak sebelahkan sesiapa. Memang dulu abang terkilan sebab Qif tak pilih Wawa untuk jadi pengganti arwah tapi taklah sampai abang nak membenci isteri Qif tu. Abang redha kalau itulah pilihan Qif yang terbaik buat dia dan cucu-cucu kita. Sejak Qif kahwin, abang tengok Qif tu dah boleh tersenyum semula. Anak-anak dia pun lebih terurus. Tak pernah pula abang dengar yang isteri Qif tu dera cucu-cucu kita, makin gemuk adalah cucu-cucu kita tu,” jawab Haji Lokman cuba menyedarkan isterinya itu.
Hajah Latifah merengus. Dia tetap tidak berpuas hati dengan kata-kata Haji Lokman. Dia tetap dengan keputusannya untuk menjodohkan Wazirah dengan Thaqif.
“Betul tu, umi. Wawa pernah jumpa isteri Qif. Memang dia seorang yang baik dan lemah lembut. Cara dia layan Dani dan Dania pun Wawa tak nampak pun cacat celanya malah sayang dia pada Dani dan Dania macam anak sendiri. Wawa kagum dengan Nuha. Dalam usia muda macam tu dia boleh pikul tanggungjawab seberat macam ni,” puji Wazirah dengan penuh rasa kagum.
Hajah Latifah tidak membalas sebaliknya hanya cebikan yang terzahir di bibirnya. Sakit telinganya mendengar pujian yang cukup menyakitkan hati itu.

PUAN Aminah tersenyum melihat anak gadisnya yang termenung di sofa. Walaupun tangan gadis itu bergerak-gerak mengelus lembut rambut Dania tetapi fikiran anaknya itu entah melayang ke mana. Mungkin rindukan Thaqif. Detik hati Puan Aminah lalu dia mengorak langkah menghampiri Nuha.
Peha Nuha ditepuk lembut sebelum dia melabuhkan punggung di sebelah Nuha. Wajah terkejut Nuha membuatkan Puan Aminah ketawa kecil. Memang jauh menung anak aku ni. Desis hati Puan Aminah.
“Jauhnya anak mak ni termenung. Ingatkan encik suami ke?” perli Puan Aminah sambil ketawa kecil.
Nuha menarik muka. Dia menggaru pipinya yang terasa gatal. Rasa malu menyapa apabila perbuatannya ditangkap oleh Puan Aminah.
“Mana ada Nuha termenung. Nuha tengah fikir nak sambung belajar dekat mana,” jawab Nuha petah memberi alasan.
“Eleh, dengan mak pun nak tipu. Mak yang mengandungkan Nuh sembilan bulan tau, mak jugak yang lahirkan Nuha jadi mak tahu sangat perangai anak mak yang sorang ni. Bukan fikir pasal sambung belajar tapi fikir pasal Qif kan?” teka Puan Aminah lagi sambil memandang wajah anak gadisnya itu.
Wajah Nuha mula berona merah. Ish, mak ni macam tahu-tahu je aku tengah teringatkan Thaqif. Ketara sangat ke aku rindu dekat dia? Soal hatinya pula.
“Mana ada, mak. Nuha okey ni…” ucap Nuha sambil tersengih membariskan giginya yang tersusun rapi.
Puan Aminah hanya ketawa melihat gelagat anaknya itu. Rambut Nuha yang hitam pekat dibelai lembut.
“Mak, apa pendapat mak tentang Abang Qif?” soal Nuha setelah agak lama mendiamkan diri. Tubuh Dania diangkat lalu diletakkan di atas pehanya.
“Pendapat tentang apa pulak? Okey je mak tengok suami kamu tu,” balas Puan Aminah sambil merenung wajah Nuha.
“Yelah, okey. Apa-apalah pendapat mak tentang Abang Qif. Mak suka tak Abang Qif jadi menantu mak?” soal Nuha lagi.
Puan Aminah terdiam seketika. Dia memicit dahi cuba mengingati sesuatu.
“Mak tak suka…” balas Puan Aminah dengan wajah yang sengaja diseriuskan.
Nuha tersentak. Wajahnya berubah kelat. Dia cuak tiba-tiba.
“Mak tak suka?”
Puan Aminah mengulum senyum. Dia mengerling pada wajah Nuha yang keruh. Baru gertak dan menggelabah anak aku ni. Bisik hati Puan Aminah.
“Mak tak suka kalau dia tak jadi menantu mak….” Ucap Puan Aminah dengan ketawa lepas.
Nuha mengerutkan kening namun tidak lama selepas itu dia juga turut ketawa apabila otaknya sudah dapat menangkap apa yang ingin dikatakan oleh Puan Aminah. Mak ni buat saspen aku je. Detik hatinya.
“Mak ni saja je tau buat Nuha lemah semangat. Ingatkan mak memang tak suka Abang Qif…” balas Nuha sambil menepuk lembut peha ibunya itu.
“Memang mulanya mak was-was bila Nuha cakap Nuha nak kahwin. Dengan duda anak dua pulak tu. Mak mana yang tak risau dengan masa depan anaknya kan? Tapi kehendak Nuha takkan mak nak halang pulak tapi bila mak kenal dengan Qif dengan ibu Qif mak tak rasa rugi terima pinangan ini untuk Nuha. Lagipun mak tahu Nuha mesti sayangkan Qif kan?” ujar Puan Aminah lembut.
Nuha menganggukkan kepalanya. Sayang sangat, mak. Dia cinta pertama Nuha. Detik hatinya.
“Bila dia datang selamatkan kita tempoh hari, hati mak bertambah yakin yang dia akan jaga anak mak dengan sebaik-baiknya jadi mak tak kisah kalau Allah jemput mak bila-bila masa saja sebab mak tahu anak mak ni dah boleh hidup bahagia dengan suami dan anak-anak yang comel ni,” ucap Puan Aminah sambil mencubit pipi Dani yang sedang mencuba untuk berdiri.
Terharu hati Nuha mendengar kata-kata Puan Aminah. Lantas, dia memeluk bahu Puan Aminah. Sebuah ciuman kecil hinggap di pipi Puan Aminah.
“Mak jangan cakap macam tu. Nuha ada untuk jaga mak.”
Puan Aminah menggelengkan kepala.
“Tanggungjawab Nuha pada mak dah habis. Sekarang tanggungjawab Nuha pada suami Nuha. Bila Qif balik daripada camping nanti, mak nak balik rumah mak semula. Lagipun lelaki tu dah kena penjara. Tak ada siapa lagi yang boleh kacau mak,” ucap Puan Aminah sambil mengelus lembut kepala anak perempuannya itu.
“Tak payahlah mak balik ke rumah tu lagi. Mak tinggal jelah dengan Nuha. Nuha yakin Abang Qif pun suka kalau mak tinggal dekat sini,” bantah Nuha sambil menggenggam tangan ibunya.
Puan Aminah tersenyum lebar.
“Kamu dah berumah tangga, takkanlah mak nak kacau daun pulak. Biarlah kamu berdua ada privasi lagipun kamu tak payah risau pasal mak. Kalau mak bosan, mak boleh jalan-jalan kat rumah kakak-kakak kamu tu. Nuha tak payah risaulah ya,” ucap Puan Aminah cuba menyakinkan Nuha.
Nuha mengeluh berat. Lama dia menatap wajah Puan Aminah.
“Baiklah kalau itu yang mak nak tapi biar Nuha tanya Abang Qif dulu. Kalau Abang Qif setuju mak pindah rumah lama, mak boleh pindah tapi kalau Abang Qif tak setuju, mak kena duduk dengan Nuha, tau…” balas Nuha.
Puan Aminah ketawa kecil. Dia menarik hidung Nuha.
“Yes, mem!” ucap Puan Aminah. Mereka berdua ketawa akhirnya.

THAQIF memandang unggun api yang berada di hadapan mata. Jam sudah menunjuk ke angka sebelas, namun matanya masih lagi segar. Hari ini merupakan malam pertama dia berada di dalam hutan dengan pelajar-pelajar yang menyertai pasukan pengakap. Walaupun baru sehari tetapi dia rasakan masa bagaikan tidak bergerak. Telinganya asyik terngiang-ngiang suara Nuha yang gemersik.
“Saya takut saya akan rindukan awak…” gemersik suara itu mengganggu fikiran Thaqif lantas mengacau jiwanya.
‘Kenapa dengan kau ni, Qif? Baru beberapa jam kau tinggalkan dia, takkan dah rindu kut?’ soal hatinya menyentakkan Thaqif.
Thaqif mengeluh berat. Wajahnya diraup. Lama dia merenung api yang sedang marak itu. Namun, tidak semena-mena muncul wajah Nuha yang tersenyum manis daripada dalam api tersebut.
“Ya Allah!” Thaqif terjerit kecil. Hampir dia terjatuh daripada kerusi yang didudukinya kerana terkejut. Dia menggosok-gosok matanya yang bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
Dia membetulkan duduknya sebelum menarik nafas lega apabila apa yang dilihatnya adalah khayalan semata-mata. Dia menepuk dahinya sendiri.
“Kau dah angau, Qif. Kes kau dah berat ni!” omel Thaqif sendirian.
Dia mengeluarkan telefon bimbit daripada poket seluarnya. Gambar skrin tersebut direnung sebelum dielus lembut. Jika dahulu gambar Waheeda yang menjadi penghias skrin telefonnya tetapi entah kenapa sejak kebelakangan wajah Waheeda sudah mula menghilang daripada kotak fikirannya. Hanya yang tinggal sebujur wajah yang cukup lembut menemani hari-harinya.Thaqif tersenyum lagi.
‘Nuha…Nuha Saqeena…’ desis hatinya.
Tiba-tiba, nama Nuha terpapar di skrin telefon. Thaqif tersentak. Dadanya bergetar secara tiba-tiba lalu dengan pantas di menekan punat jawab.
“Assalamualaikum…” ucap Thaqif cuba mengawal nada suaranya agar tidak bergetar.
“Waalaikummusalam, awak buat apa tu?” Suara lembut Nuha bertanya.
Thaqif melekap tangannya ke dada. Dup dap, dup dap. Bunyi jantungnya. Ya Allah kenapa pula dengan jantung aku ni. Selama ni dia ada depan mata, tak ada mula rasa macam nak meletup. Haih, dah tak betul agaknya aku ni. Detik hati Thaqif.
“Awak…awak ada tak tu?” soal Nuha menyedarkan Thaqif.
“Aaa..ada..saya ada ni…” balas Thaqif dengan suara yang bergetar. Haih, suara ni takkan dah gagap kut. Bebel hati Thaqif lagi.
“Awak tak tidur lagi?” soal Nuha lembut.
Thaqif mengetap bibir. Dia menggelengkan kepala tanda jawapan. Bibirnya bagai terkedu untuk menjawab tiap soalan yang diajukan oleh Nuha. Tiba-tiba saja dia bagaikan terkelu untuk bercakap panjang dengan gadis itu.
“Awak…awak tak suka ke saya telefon ni?” soal Nuha lagi apabila soalanya tidak dijawab oleh Thaqif.
Thaqif tersentak.
“Eh, saya suka…”
Tut! Tut! Tut!
Talian terputus. Thaqif terkebil-kebil lalu dia memandang skrin telefonnya yang sudah kelam. Dia membuka kembali telefon bimbitnya. Nombor telefon Nuha didail berkali-kali tetapi sayangnya tetap gagal. Thaqif mendengus.
“Alah, kenapa tak dapat pulak ni?” Thaqif mula tidak keruan.
Matanya kemudiannya memandang di sudut atas telefonnya. Dia menepuk dahi apabila line telefonnya kosong.
“Patutlah mati tak ada coverage. Time inilah line nak buat hal pulak…aduhhh…” Thaqif gelisah. Dia menggoncang-goncang telefon bimbitnya bersama langkah yang ke hulu dan ke hilir. Tangannya pula diletakkan di dahi. Lagak gayanya persis seperti dilanda masalah yang besar.
“Mesti dia terasa hati sebab aku tak jawab soalan dia tadi. Aduh, macam mana ni? Aku pun rindu nak bercakap dengan dia,” Thaqif bercakap sendirian.
Dia memandang ke sekeliling, kemudian matanya tertancap pada pokok yang meninggi. Tiba-tiba idea datang menerjah ke kotak fikirannya. Cermin mata yang disangkut di poket baju dikeluarkan sebelum disarungkan ke wajah. Dia tersenyum penuh makna.
Lalu, langkahnya diatur untuk mencari rangkaian. Dengan bertemankan lampu suluh, dia merayau-rayau di sekitar tapak perkhemahan untuk mencari tempat yang lebih tinggi. Mungkin apabila di tempat tinggi rangkaian lebih jelas. Fikir Thaqif.
Langkahnya terhenti di hadapan pokok rambutan yang merimbun. Di memandang pokok itu seketika sebelum dia menyuluh dahan pokok itu yang agak rendah. Dia tersenyum. Lalu tanpa berfikir panjang, Thaqif memanjat pokok tersebut dan duduk di celah dahan. Telefon bimbitnya dikeluarkan daripada poket seluar.
Dia tersenyum melihat line telefon yang penuh. Lalu, nombor telefon Nuha didail sekali lagi. Tidak sampai beberapa saat, taliannya bersambung. Thaqif tersenyum sendirian.
“Nuha, saya mintak maaf pasal tadi. Line tak berapa jelas dekat sini. Nuha tak tidur lagi ke?” soal Thaqif lembut.
Nuha sudah tersenyum di hujung talian. Hatinya yang pada mulanya terasa dengan sikap acuh tak acuh Thaqif akhirnya terubat juga apabila dapat mendengar suara Thaqif yang garau tetapi lembut itu. Jiwanya kembali berbunga-bunga.
“Saya tak boleh tidur…” jawab Nuha.
“Tak boleh tidur? Kenapa? Apa yang Nuha fikirkan?” soal Thaqif prihatin. Dia menggoyangkan kakinya yang terjuntai ke bawah. Sesekali tangannya menampar nyamuk yang mula menghinggap di lengan dan lehernya yang terdedah.
“Entahlah, mungkin saya rindukan orang kut. Sebab daripada tadi saya asyik fikirkan dia je…” ucap Nuha dengan senyuman yang mekar di bibirnya. Di fikirannya saat ini terbayangkan wajah Thaqif yang tersenyum manis.
Berderau darah Thaqif apabila Nuha menyebut tentang seseorang. Siapa agaknya yang dirinduinya tu? Soal hati Thaqif.
“Nuha rindu siapa?” soal Thaqif. Suaranya kedengaran tegang. Ranting rambutan dipatahkan lalu dicampakkan ke tanah. Cuba mengawal rasa cemburu yang menyelinap masuk ke dalam hatinya.
“Saya rindu dekat Taufiq…”
“Taufiq?!” pintas Thaqif dengan pantas. Hampir menjerit suaranya apabila mendengar nama Taufiq yang meniti di bibir Nuha. Apa kejadahnya rindu dekat adik aku? Bentak hati Thaqif. Tetapi tawa Nuha menghairankan Thaqif. Keningnya bercantum.
“Kenapa Nuha ketawa pulak ni? Kalau rindukan Taufiq pergilah telefon ibu, buat apa telefon saya,” rengek Thaqif seakan berjauh hati.
“Awak ni saya tak habis cakap tau. Saya rindukan Taufiq punya abanglah…” balas Nuha dengan tawa yang masih bersisa.
Thaqif terdiam sejenak sebelum bibirnya mengulum senyum. Hatinya kembali tenang dengan kata-kata Nuha. Dia menarik nafas lega.
“Taufiq ada abang ke?” Tanya Thaqif dengan nada gurauan.
Nuha ketawa kecil. Dia menggumam.
Hmmm…ada. Abang Taufiq tu kan…handsome orangnya tapi sayang egonya, masya-Allah kalah Gunung Everest,” balas Nuha mengikuti rentak Thaqif.
Thaqif ketawa lepas. Egokah aku? Soal hatinya.
“Mesti ada sebab kenapa abang Taufiq tu ego kan? Saya rasa abang Taufiq tu taklah ego sangat,” balas Thaqif membela abang Taufiq yakni dirinya sendiri.
“Dia tu dahlah ego. Keras hati pulak tu. Entah macam mana saya nak lembutkan hati dia lagi. Mungkin lepas saya tak ada, baru hati dia lembut kut,” balas Nuha dengan niat bergurau. Dia ketawa kecil.
Namun, senyuman Thaqif mati apabila Nuha menyebut perkataan ‘tak ada’. Inikah anggapan Nuha padanya selama ini? Sedangkan dia masih cuba untuk menyayangi gadis itu selayaknya. Cuma hatinya masih lagi rapuh, masih lagi keliru dengan rasa hatinya sendiri.
“Saya tak suka Nuha cakap macam tu…” suara Thaqif kembali tegang.
Nuha menggigit bibir. Alamak, dia dah marahlah. Desis hati Nuha. Dia menepuk mulutnya sendiri.
“Maaf, saya tak bermaksud pun nak cakap macam tu…saya mintak maaf…” ucap Nuha.
Thaqif hanya mendiamkan diri. Pedih hatinya apabila Nuha berkata seperti itu. Bukan dia tidak cuba untuk menerima Nuha, dia cuba dan sehingga sekarang pun dia berusaha untuk hidup dalam realiti bukannya fantasi antara dia dan Waheeda. Sedikit sebanyak kehadiran Nuha sudah mula mewarnai hidupnya Cuma dia perlukan sedikit masa lagi untuk mengungkapkannya pada Nuha.
“Awak, janganlah diam macam ni. Awak maafkan saya tak ni? Nanti tak lena tau tidur saya,” rengek Nuha dengan suara yang manja.
Tersenyum Thaqif dibuatnya. Hatinya terbuai mendengar suara Nuha yang manja.
“Kalau saya tak nak maafkan Nuha, macam mana? Apa yang Nuha nak buat?” soal Thaqif menguji.
Nuha menggigit jari. Hmmm…apa aku nak buat ni ya? Merajuklah pula sayang aku ni. Benak hatinya berkata-kata.
“Saya sayang awak, awak jangan marah. Saya suka awak. Sayang, sayang, sayang. Saya rindu awak. Awak jangan marah. Saya suka awak. Cinta hati saya…”
Serangkap lagu yang dipopularkan oleh Han dinyanyikan oleh Nuha dengan suara yang kedengaran ceria. Dia ketawa apabila terdengar Thaqif juga turut ketawa.
“Nuha ni memanglah….”
“Amboi, Qif. Tinggi benar kau bergayut. Bukan main risau lagi aku cari kau tapi baik betul kau bergayut atas pokok ni. Apa nak jadi dengan kau ni, Qif?!” sergah satu suara mengejutkan Thaqif yang sedang asyik bersembang.
“Awak siapa yang membebel tu?” soal Nuha pelik.
“Nanti saya callsemula. Selamat malam…assalamualaikum.” ujar Thaqif tergesa-gesa kemudian dia mematikan talian.
Dia menutup wajahnya apabila disuluh oleh Cikgu Rashid. Dia hanya mampu tersengih pada Cikgu Rashid yang sudah berdiri sambil tangannya mencekak pinggang.
Heee…kau tak tidur lagi, Rash? Rasanya masa aku datang ke sini, semua orang dah tidur…” ucap Thaqif sambil tersengih malu.
“Eh taklah. Aku tengah tidurlah ni. Ada ke tanya soalan macam tu? Tak nampak aku berdiri depan kau ni, maknanya aku tak tidur lagilah. Yang kau menghilangkan diri macam tu je, kenapa? Nasib baik Ustaz Kamal suruh aku cari kau kalau tak, aku tak tahu yang kau tengah sibuk bergayut atas pokok ni,” bebel Cikgu Rashid lagi. Dia mendongak memandang Thaqif yang masih duduk di atas dahan pokok rambutan.
“Aku buat panggilan. Panggilan kecemasan. Line tak ada, itu yang aku panjat pokok tu…” dalih Thaqif. Dia tersengih lagi.
“Panggilan kecemasan ke panggilan sayang? Kau jangan nak kelentong akulah, Qif. Aku tak pernah tengok perangai kau sampai macam ni sekali. Tak cinta konon, tapi perangai mengalah budak remaja bercinta. Aku pun ada isteri jugak Qif oooiii…tapi tak adalah teruk macam kau ni. Kalau student nampak, malu besar kau. Cikgu disiplin yang digeruni bergayut atas pokok dengan isteri tercinta…” ujar Cikgu Rashid dengan tawa yang besar.
Wajah Thaqif mula berbahang. Berpeluh-peluh dahinya apabila mengenangkan kata-kata Cikgu Rashid.
“Rash, kau janganlah hebohkan perkara ni dekat cikgu lain. Malulah wei. Aku pun tak tahu apa yang tak kena dengan aku ni…” balas Thaqif seakan merayu.
“Tak tahu apa ke bendanya? Kau tu dah jatuh cinta. Dah jatuh cinta dengan isteri kau tu kalau tak, takkan adanya kau buat perangai budak-budak macam ni!” tempelak Cikgu Rashid.
Thaqif terdiam seketika. Aku jatuh cinta? Soal hatinya. Bibirnya sudah pun melebarkan senyuman.
“Yang kau duduk bergoyang kaki lagi dekat atas tu, kenapa? Cepatlah turun!” panggil Cikgu Rashid lagi.
Thaqif tersentak. Dia menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Serentak dia memandang ke bawah. Macam mana aku nak turun ni? Soal hatinya.
“Hah, yang kau termenung tu kenapa?” sergah Cikgu Rashid lagi sambil menggelengkan kepalanya.
Heee…aku tak tahu macam mana nak turun.”
Terjengil mata Cikgu Rashid mendengar kata-kata Thaqif. Serentak, satu ketawa besar meletus daripada bibirnya. Dia ketawa sambil menekan-nekan perutnya.
“Cikgu Thaqif Aswad, memang hilanglah macho kau. Pandai naik tapi tak pandai nak turun? Hah, kau terjun jelah. Apalah sangat sakit jatuh pokok daripada pengorbanan kau yang sanggup panjat pokok semata-mata nak bersembang dengan Nuha..” seloroh Cikgu Rashid lagi.
Thaqif mengetap bibir. Sakit pula hatinya dengan usikan Cikgu Rashid. Kalau bukan disebabkan Nuha, dia takkan nekad panjat pokok rambutan ni. Betul kata Cikgu Rashid, buat hilang macho je. Detik hatinya. Aku nak buat apa ni? Nak terjun ke?
‘Terjun jelah….’hatinya membuat keputusan.
Lantas tanpa berfikir panjang, Thaqif terjun ke tanah.
“Aduh!!!” jeritnya apabila punggungnya terhentak ke tanah.
Cikgu Rashid yang melihat hanya ketawa berdekah-dekah apabila melihat wajah Thaqif yang berkerut disimbahi dengan cahaya lampu suluh.
“Seronok kau ketawa kan? Bukannya nak tolong aku..” bebel Thaqif geram. Dia berdiri dan menstabilkan dirinya. Seluarnya dikibas-kibas bagi menghilangkan kotoran.
“Kalau orang jatuh pokok aku bolehlah tolong tapi kalau orang jatuh cinta aku memang tak dapat tolong!” balas Cikgu Rashid dengan sisa tawa yang masih berbaki.
Thaqif menjeling. Cermin matanya dibetulkan sedikit.
“Mana ada aku jatuh cinta. Merepeklah kau ni…” nafi Thaqif lagi. Dia berjalan melepasi Cikgu Rashid.
“Kau kalau nak berbohong, kau pergi bohong anak-anak kau yang kecil lagi tu. Aku kawan kau tau. Aku tahulah perangai kau macam mana. Orang cakap kalau orang jatuh cinta ni dia akan buat perkara yang tak terlintas dalam fikiran. Jadi betullah, semua tu dah berlaku pada kau…” ujar Cikgu Rashid yang masih berdiri di belakang Thaqif.
Thaqif mencebik.
“Mengarutlah, Rash. Dah, jom balik khemah. Tadi bising aku hilang. Sekarang kau pulak yang duk memekak dalam hutan ni…” bebel Thaqif sambil melangkah lagi.
“Orang ada cakap lagi, kalau orang jatuh cinta ini hidup dia macam berada atas awang-awangan. Makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah. Sampaikan jalan balik ke khemah pun tak tahu yang mana satu…” laung Cikgu Rashid lagi.
Langkah Thaqif terhenti. Dia memandang ke kiri dan kanan.
‘Sampaikan jalan balik ke khemah pun tak tahu yang mana? Apa maksud Rash ni?’ soal hati Thaqif. Kemudian matanya menangkap tulisan TOILET tidak jauh daripada tempatnya berdiri. Thaqif menepuk dahi. Dia menggelengkan kepala apabila terdengar hilai tawa Cikgu Rashid dari arah belakang. Memang masak aku kali ni! detik hatinya.
Dia berpaling dan menghayunkan langkah mendapatkan Cikgu Rashid yang masih rancak ketawa. Dia mengetap bibir. Malunya pada Cikgu Rashid hanya Allah yang tahu. Tak pernah dia mendapat malu seumur hidupnya seperti yang dirasakan sekarang ini.
“Seronoknya gelakkan aku. Tak sayang nyawa ke?” soal Thaqif sambil menumbuk lembut perut Cikgu Rashid. Serta-merta tawa Cikgu Rashid terhenti. Kemudian dia ketawa lagi.
“Izinkan hamba tunjukkan jalan yang sebenarnya, tuan hamba. Jalan yang tuan hamba ambil tadi sudah jauh menyimpang. Itulah padahnya kalau hati bersarang cinta…” seloroh Cikgu Rashid lagi.
Thaqif sudah tidak mampu menahan perasaannya. Akhirnya dia turut ketawa dengan kata-kata Cikgu Rashid. Bahu sahabatnya itu ditumbuk lembut.
“Aku gembira tengok kau bahagia macam ni, Qif. Tak sia-sia kau ambil Nuha jadi isteri kau. Dia mampu kejutkan kau daripada lena yang panjang. Inilah Qif yang aku kenal. Sentiasa tersenyum dan ketawa bukannya Qif yang tak ada perasaan dan dingin dengan semua orang. Aku harap kau akan kekal macam ni,” sambung Cikgu Rashid dengan suara yang serius. Mereka berdua berjalan menuju ke tapak perkhemahan.
“Kau rasa aku akan bahagia ke dengan Nuha kalau aku beri peluang pada dia untuk ganti tempat Waheeda?” soal Thaqif kemudiannya.
“Qif, Allah tak jadikan kesedihan itu berpanjangan. Apabila Dia mengambil sesuatu yang kau sayang maknanya Dia akan gantikan dengan yang lebih baik. Kau kena yakin dengan janji-Nya. Dia tak pernah zalim pada hamba-hamba-Nya, Qif. Percayalah, Nuha gadis yang terbaik untuk kau, kalau tak, tak adalah kau angau sampai panjat pokok, kan?” sempat lagi Cikgu Rashid mengusik dalam nasihatnya. Dia ketawa kecil.
“Satu saja nasihat aku untuk kau, Qif. Don’t wait until it’s too late to tell someone how much you love, because when they are gone no matter how loud you shout and cry they won’t hear anymore,” nasihat Cikgu Rashid sambil menepuk lembut bahu Thaqif.
Thaqif terdiam sebentar. Kata-kata Cikgu Rashid ada benarnya juga. Mungkin hati ini dah terpaut padanya. Mungkin betul, aku sudah jatuh cinta padanya. Ya, memang aku cintakan Nuha. Hati ini dah tertawan padanya. Nuha Saqeena, tak mungkin aku dapat padamkan sebaris nama ini dari hati ku.