Selasa, 03 Juni 2014

Rindu Dalam Sepi Istimewa Ramadan : Mengintai Rindu

Memandangkan mini novel ini akan SK terbitkan sendiri tak lama lagi..Jadi SK update kembali entry untuk MENGINTAI RINDU...


 PROLOG
MATANYAyang bundar masih lagi merenung tanah kubur yang merah. Batu nisan yang berwarna putih itu digosok perlahan dengan rasa yang amat pilu. Jasad insan tersayang telah tersemadi di dalam liang lahad yang sunyi sepi ini. Hatinya bagaikan diremuk apabila mengenangkan pemergiaan insan itu kerana kesilapan dirinya sehingga dia merasakan dirinya yang membunuh insan itu.
Air mata mengiringi lekuk pipi tidak diendahkan malah diseka dengan kasar menggunakan tapak tangan. Betapa hatinya cukup terseksa dengan hukuman yang diberikan sehingga dia terpaksa datang secara senyap dan sembunyi bagi melepaskan rindu pada pusara yang tidak bernyawa ini.
“Ayah, Diya datang ni. Diya rindu pada ayah. Tadi Diya ada pergi rumah, tapi Diya mampu tengok dari jauh jelah ayah. Diya tak mahu ibu tahu yang Diya datang ke sini. Diya tak mahu hati ibu terluka bila ternampak Diya kat kampung ni. Diya rindu sangat kat ibu, ayah tapi Diya tahu Diya tak mungkin dapat peluk ibu macam dulu dah. Ibu benci sangat pada Diya sama seperti suami Diya bencikan Diya tapi ayah jangan bencikan Diya ye,” rintih hati gadis itu sambil mengenggam tanah dengan telapak tangannya.
Satu persatu peristiwa yang berlaku dalam hidupnya kembali berputar di fikiran. Malam yang telah memusnahkan hidupnya kembali terlayar ke ruang mata. Disebabkan malam itu, dia kehilangan ayahnya, disebabkan malam itu, dia dibuang keluarga, dan disebabkan malam itu, dia dibenci tanpa sebab oleh suaminya sendiri. Dia cuba untuk tabah tapi hatinya masih lagi lemah untuk menerima ujian yang sehebat ini. Atau memang dia tak layak untuk menerima kasih sayang daripada sesiapa pun?
Satu keluhan dilepaskan. Air putih disiramkan ke atas pusara ayahnya yang sepi itu sebelum kelopak bunga ditabur di atas tanah merah itu.
“Ayah, esok dah mula puasa. Diya ralat sangat sebab tak dapat puasa dengan ayah, dengan ibu dan adik- adik. Diya nak sangat keluarga kita bersatu macam dulu tapi itu tak mungkinkan, ayah? Ayah dah tenang di sana tinggallah Diya seorang dekat sini. Kalaulah Diya dapat ikut ayah ke sana juga kan lebih bahagia lagipun dekat sini tak seorang pun yang sayang pada Diya. Tak ada seorang pun yang peduli pada Diya lebih baik Diya ikut ayah,” ngongoi gadis itu lagi. Dia memeluk lutut. Tersedu-sedan dirinya menahan tangis yang semakin merasuk dirinya.
“Diya tahu Diya anak yang tak guna Diya dah conteng arang ke muka ayah dan ibu tapi itu semua berlaku bukan kerelaan Diya, ayah. Maafkan Diya kerana dah kecewakan ayah. Tapi Diya berjanji, Diya akan kembalikan harga diri Diya yang tercalar itu. Mungkin berkat bulan Ramadhan yang bakal menjelma ni, Diya akan temui semangat Diya yang baru meskipun tanpa ayah di sisi Diya tapi Diya harap ayah selalu temani Diya walaupun Diya tahu kita tak mungkin dapat bersua kembali,” ucap gadis itu lagi sambil mengesat air mata yang bersisa.
Angin yang bertiup lembut petang itu mendamaikan hatinya yang keresahan. Tanah perkuburan yang sunyi sepi itu menjadi peneman hatinya yang turut sepi. Di sinilah tempat dia meluahkan segala kekecewaan yang bermukim di hati.
“Diya dah nak balik, ayah. Nampaknya Diya tak ada peluang untuk berpuasa dan beraya dengan ayah tahun ni. Diya pun tak tahu bila lagi Diya dapat datang jenguk ayah dan ibu. Tapi yang pasti Diya tetap akan datang walaupun Diya cuma memandang dari jauh je. Maafkan kesalahan Diya, ayah. Maafkan anak ayah ni. Insya-Allah kita akan bersatu kembali, ayah. Tunggu Diya di sana,” ucap gadis itu penuh perasaan.
Dia menggosok dan mencium batu nisan itu buat kali terakhir sebelum dia berdiri dan mula mengorak langkah meninggalkan kawasan perkuburan yang sepi itu.