Jumat, 31 Mei 2013

Jika Benar Kau Cinta ( Bab 13 )


HAMNA melabuhkan punggung di sebelah Fika yang sedang khusyuk menulis nota. Dia turut mengeluarkan buku tulisnya namun tiba- tiba plastik yang berisi ubat terjatuh di atas lantai. Alah, jatuhlah pulak. Desis hatinya.
Fika berpaling apabila terasa ada seseorang di sebelahnya. Dia melihat Hamna sedang terbongkok mengutip sesuatu. Dahinya berkerut.
“ Apa benda pulak tu, Na?” soal Fika tiba- tiba.
Hamna tersentak. Serta- merta kepalanya terhantuk pada bucu meja.
“ Aduh!” dia terjerit kecil sambil menggosok kepalanya yang terasa sakit. Serentak dengan itu, dia dapat mendengar bunyi ketawa dari arah belakang. Kelihatan Isyraq sedang mentertawakannya. Namun, apabila dia memandang, dengan pantas lelaki itu mengalih pandangan ke arah lain. Hamna mengeluh.
“ Kau ni Na, hati- hatilah sikit. Aku tanya je yang kau pergi hantuk kepala kau dekat meja tu kenapa?” soal Fika menyembunyikan tawanya. Lucu pula bila dia lihat wajah Hamna yang berkerut.
Hamna mencebik. Lalu, dia bangun dan kembali duduk di sebelah Fika.
“ Kau tanya apa tadi?” soal Hamna.
“ Aku tanya, benda apa yang kau pegang tu?” Fika mengulang kembali soalannya.
Hamna merenung plastik putih yang berada di tangannya. Kemudian dia tersengih.
“ Ini ubat selesema…” balas Hamna.
“ Ubat selesema? Eh, bukan ke kau tak suka makan ubat? Nak pergi klinik pun kau tak suka, macam mana kau boleh beli ubat ni?” soal Fika bertalu- talu.
Hamna menggaru pipinya yang terasa gatal. Apa aku nak jawab ni? Ni semua mamat tu punya pasal. Kalau dia tak belikan ubat ni untuk aku kan senang tak payah aku nak jawab soalan Fika yang susah mengalahkan soalan Matematik Perniagaan ni. Aduh, otak cepatlah berfikir sebelum Fika fikir bukan- bukan. Desis hati Hamna mula gelisah. Berpeluh dahinya.
“ Errrr….”
Belum sempat Hamna menjawab, telefon bimbitnya berbunyi menandakan mesej masuk. Hamna tersentak. Dengan pantas dia mengeluarkan telefon bimbitnya daripada poket beg. Dia menelan air liur apabila melihat nama yang tertera di skrin telefon. Dia nak apa pulak ni?

Aku nk kau mkn ubat tu skrg!

Terkumat- kamit Hamna membaca mesej pendek yang berbaur arahan. Dia nak aku makan ubat tu sekarang? Dia gila ke apa? Bentak hati Hamna kemudian dia berpaling ke tempat duduk belakang. Isyraq masih kelihatan selamba.
“ Na, kau ni macam ada yang tak kena je? Ada apa- apa yang aku tak tahu ke?” suara Fika memecah tembok lamunan Hamna. Dia berpaling dan memandang wajah Fika yang penuh dengan tanda tanya. Dia tersengih dan menggelengkan kepala.
“ Tak ada apa- apalah, Fika. Aku okey je cuma tekak aku ni je yang sakit sikit.” Balas Hamna berbohong.
Tetapi perbualannya diganggu dengan satu lagi mesej masuk. Hamna mengeluh bosan. Dengan malas, dia menekan punat telefon. Terpampang mesej daripada Isyraq yang cukup menyakitkan hati Hamna.

Kau degil ya? Kau jangan menyesal kalo aku sebarkan video kau ni skrg jugak! Org pertama yg akn dpt adalah kwn baik kau tu dan jgn mnyesal kalo Elyas pn dpt video kau yg hot ni!

Arggghhhh!! Hamna terasa ingin menjerit namun jeritan itu hanya bergema dalam hatinya saja. Kenapalah mamat bernama Isyraq ni suka sangat mengugut. Menyampah betul aku!
Dengan rasa sebal yang tidak berpenghujung, Hamna terpaksa memaksa dirinya untuk menelan ubat yang tersedia di hadapan mata.
“ Fika, kau ada air masak tak?” soal Hamna lemah.
Fika mengangguk dan menyerahkan sebotol air mineral yang baru dibelinya tadi. Dia pelik melihat tingkah Hamna yang tidak seperti kebiasaan.
“ Takkan kau nak makan ubat tu sekarang? Nanti kau mengantuk pulak,” tegur Fika.
Hamna hanya tersenyum tawar. Aku terpaksa Fika, maruah aku dalam genggaman dia. Selagi video dan gambar itu berada dalam tangan dia, selagi itulah aku kena ikut apa yang dia cakap. Aku terpaksa! Ucap Hamna hanya dalam hati.
“ Tak apalah, Fika. Aku rasa macam tak sihat sangat ni,” balas Hamna.
Dia mengeluarkan dua biji pil yang bersaiz kecil dan ditelan dengan penuh kepayahan. Terasa pahit ubat itu melalui tengkuknya namun Hamna terpaksa bertahan. Berkerut wajahnya menahan rasa yang menyeksa jiwanya. Dia menyeka peluh di dahi.
Hamna memegang kepalanya yang terasa sakit. Namun, dia gagahkan diri juga untuk tersenyum pada Fika.
“ Eh, Na kenapa muka awak pucat sangat ni?” tegur Elyas yang baru saja menapak masuk ke dalam kelas. Dia menghampiri Hamna dan Fika yang duduk di hadapan kelas.
“ Na tak sihat, Elyas. Semalam kena hujan, selesema pula dia hari ni…” balas Fika bagi pihak Hamna.
“ Kalau macam tu, jom saya bawakkan awak pergi klinik. Minta MC. Nanti saya boleh tolong bagitahu  Cik Umi yang awak tak sihat. Jom kita pergi…” ajak Elyas.
Dia merenung wajah Hamna yang kelihatan pucat dan tidak bermaya. Timbul simpati dalam dirinya buat gadis itu.
“ Eh, tak payahlah Elyas. Saya dah makan ubat tadi. Kejap lagi eloklah tu,” balas Hamna lemah. Dia memejamkan mata.
Sementara di sudut belakang kelas, Isyraq memerhatikan setiap gerak- geri Hamna yang sedang berbual dengan Elyas. Dia dapat mendengar dengan jelas apa yang dikatakan Elyas pada Hamna. Terasa pedih pula hatinya apabila melihat senyuman yang Hamna berikan pada Elyas.
‘ Perempuan ni memang tak reti bahasa agaknya. Saja nak buat aku marahlah tu.’ Desis hati Isyraq. Dia mencebik melihat wajah Elyas yang kelihatan risau. Huh, risaulah sangat! Bukan mati pun lagi! bentak hati kecil Isyraq.
“ Sakit sikit pun nak lebih- lebih. Dasar anak manja!” perli Isyraq dengan suara yang agak kuat. Namun, matanya masih tertacap pada skrin telefon.
Fika dan Elyas berpaling pada Isyraq yang kelihatan bersahaja. Masih ada 10 minit sebelum kelas bermula. Awalnya Isyraq masuk kelas hari ni? desis hati Elyas.
“ Kau ni kenapa Is? Hamna betul- betul sakit. Kalau kau menyampah sangat, tak payah nak menyibuk!” tempelak Fika dengan mata yang melotot memandang Isyraq. Sakit hati sungguh bercakap dengan orang tak ada perasaan macam Isyraq.
“ Aku bukan nak menyibuk tapi berbulu bijik mata aku tengok orang manja macamlah sakit tu kritikal sangat!” Isyraq terus memerli. Pandangan mata Fika yang tajam itu tidak dipedulikan. Matanya dialihkan pada Hamna yang diam membisu. Kelihatan wajah gadis itu benar- benar pucat. Teruk sangat ke selesema dia tu? Hatinya turut risau.
“ Is, sudahlah tu! Dia tak kacau kau, kau janganlah kacau dia!” Elyas mula bersuara.
Isyraq tersenyum sinis. Dia memandang Zaim yang turut memandang ke arahnya. Dia mencebikkan bibir. Sejak peristiwa dia diserang oleh Elyas tempoh hari, hubungan mereka berempat semakin renggang. Elyas lebih suka menyendiri daripada bergaul dengan mereka bertiga.
“ Fuyooo, hero dah berbunyilah!” jerit Isyraq sambil menepuk tangan. Zaim dan Redza ketawa.
Elyas mengetap bibir. Geram melihat sikap Isyraq yang suka mengejek. Dia menggenggam penumbuk dan melangkah untuk menghampiri Isyraq. Namun, langkahnya terhenti apabila tangan Hamna menarik lengan baju kemejanya. Elyas tersentak, kemudian dia menoleh pada wajah Hamna. Gadis itu tersenyum nipis seraya menggelengkan kepala.
Bulat biji mata Isyraq melihat tangan Hamna memegang lengan baju Elyas. Serta- merta dadanya terasa sakit. Dia menarik nafas panjang sebelum melangkah keluar daripada kelas. Terasa sesak pula dadanya duduk di dalam kelas itu lama- lama.
“ Is, kau nak ke mana? Kejap lagi Cik Umi nak masuk,” Zaim bersuara. Dia sendiri pelik melihat tingkah Isyraq yang berubah secara mendadak.
“ Aku nak pergi hisap rokok, kejap lagi aku masuk,” balas Isyraq sebelum berlalu. Namun, sempat lagi ekor matanya menjeling pada Hamna yang masih lagi dipujuk oleh Elyas. Dia memegang dadanya.
‘ Kenapa hati ni sakit semacam je?’ bisik hati kecilnya.

“ NA, kau tunggu dekat sini sekejap ye, aku nak pergi masuk kelas sekejap. Aku tertinggal faillah pulak,” ucap Fika sebelum berlari- lari anak menuju ke kelasnya yang terletak di tingkat dua. Hamna hanya mengangguk dan duduk di bangku tidak jauh daripada tempat letak kereta pensyarah.
Hamna memegang kepalanya yang terasa pening- pening lalat. Mungkin kesan daripada ubat yang dimakan semasa dalam kelas tadi. Ini semua mamat tak guna tu punya pasal. Kan kepala aku dah terhuyung- hayang ni. Macam mana aku nak bawak motor? Aduhhh…rungut hati Hamna.
Dia menggeleng- gelengkan kepalanya, semoga dengan cara seperti itu rasa pening itu boleh hilang. Kemudian, dia mengetuk- ngetuk kepalanya dengan jari. Aduh, peningnya. Macam mana nak bertahan ni?
“ Kau Hamna kan?” soal satu suara membuatkan Hamna mendongak.
Dia mengecilkan matanya yang terlindung di sebalik cermin mata. Kelihatan seorang gadis berbaju kemeja dan berseluar jeans. Rambut gadis itu yang hitam keperangan di biarkan lepas melepasi bahu. Siapa pula ni?
“ Betullah tu. Kau ni siapa?” soal Hamna pula.
“ Berani kau tanya aku siapa? Kau dah rampas kekasih aku, kau boleh tanya aku siapa?!” tengking gadis itu dengan muka yang menyinga. Terus hilang kecantikannya.
Hamna menggarukan kepalanya yang beralas tudung. Aku rampas kekasih orang? Kekasih sendiri pun tak ada, inikan pula nak rampas kekasih orang. Tak logik betul!
“ Aku rampas kekasih kau? Kau gila ke? Tak pun kekasih kau tu gila!” balas Hamna selamba sambil ketawa kecil. Dia menggelengkan kepalanya.
Gadis itu mengetap bibir. Sakit betul hatinya apabila melihat Hamna berada di dalam kereta Isyraq pagi tadi. Selama dia bercinta dengan Isyraq, belum pernah lagi lelaki itu menjemputnya ke kolej menggunakan kereta, asyik dengan motor besar tu je. Dia benar- benar cemburu kali ini. Hal remeh itu pun nak dicemburukan? Entah apa- apalah engkau Damia!
“ Aku nak kau putuskan hubungan kau dengan Isyraq! Dia milik aku!” ujar Damia dengan tegas.
Hamna terpempan. Isyraq?!
Namun tiba- tiba tawanya meletus. Kuat dan bersambung- sambung. Terus hilang sakit kepalanya kerana dapat ketawa dengan sepuas hati. Barulah dia teringatkan sesuatu. Rupa- rupanya inilah Damia, bekas kekasih Isyraq yang datang berjumpa dengannya tempoh hari. Tak sangka ada juga perempuan yang tergila- gilakan mamat kurang akal tu. Kutuk hati Hamna.
“ Jadi kau datang dekat aku ni semata- mata nak suruh aku clash dengan Isyraq? Buang masa jelah. Kau pergi cakap dekat dia jelah!” balas Hamna berani.
Damia mendengus. Perempuan ni memang nak kena!
“ Kau dengar sini perempuan, kau ingat Is tu suka sangat dekat perempuan yang selekeh macam kau. Dahlah muka buruk, hodoh. Kau ingat ada mana- mana lelaki yang suka pada kau ke? Eh, cerminlah muka kau sikit. Kalau aku jadi Is, memang aku malulah nak kenalkan kau sebagai kekasih. Tak selera langsung tengok perempuan selekeh macam kau!” jerit Damia kuat sehingga menarik perhatian beberapa pelajar kolej yang lalu lalang. Dia bercekak pinggang.
Hamna terkesima. Kata- kata hinaan yang Damia lemparkan menusuk hatinya. Bibirnya bagaikan terkunci untuk membalas kata- kata Damia. Apatah lagi apabila ada mata- mata memandang pertengkaran mereka. Ada yang tergelak tidak kurang juga ada yang tersenyum sinis namun tiada siapa pun yang berani untuk membantunya.
“ Aku malas nak bertekak dengan kau!” ucap Hamna. Suaranya tenggelam timbul. Kepala yang berdenyut menghalang fikirannya untuk membalas kata- kata Damia.
Damia ketawa sinis. Dia berjalan mengelilingi Hamna. Dia memandang Hamna daripada atas hingga ke bawah. Tiba- tiba dia menarik tudung Hamna daripada belakang.
Hamna terkejut. Dengan sepantas kilat dia menepis.
“ Kau ni apahal? Aku tak nak cari gaduh dengan kau!” tekan Hamna. Dia cuba memegang dinding yang berhampiran dengannya namun Damia dengan pantas menepis tangan Hamna. Dia menolak tubuh Hamna sehingga jatuh ke tanah.
“ Aduh!” Hamna mengaduh apabila tangannya yang terluka semalam bergesel dengan batu yang terdapat di tanah. Wajahnya berkerut.
“ Padam dengan muka kau! Perempuan tak sedar diri macam kau ni kena ajar sikit! Dengar sini semua, perempuan yang tak tahu malu ni dah rampas kekasih aku! Aku memang pantang orang rampas kekasih aku! Kau terimalah balasan ni. Jangan cuba- cuba nak cabar Damia!” jerit Damia seperti di rasuk. Dia memanggil beberapa pelajar yang melalui kawasan tersebut namun semuanya memandang mereka berdua dengan senyuman sinis.
Tidak disangka- sangka, Damia menarik cermin mata yang dipakai oleh Hamna lalu dipijak- pijak dengan penuh perasaan.
Hamna tidak dapat berbuat apa- apa. Tubuhnya yang lemah mengekang dia untuk menghalang perbuatan Damia yang memijak cermin matanya. Dia terkaku dan terkelu. Ya Allah!
“ Sepatutnya muka kau tu aku pijak!!” jerit Damia lagi.
Dia mencekak kolar baju kemeja yang dipakai oleh Hamna.
“ Macam manalah muka hodoh macam kau ni boleh buat Is tersangkut? Bodohnya dia…”
“ Bukan aku yang bodoh, tapi kau!” sampuk satu suara menghentikan kata- kata Damia. Dia mendongak. Alamak!
Dengan pantas Isyraq menerpa ke arah Damia lalu menolak tubuh gadis itu sehingga Damia jatuh terduduk di atas tanah. Lengan Hamna ditarik dan tubuh itu ditegakkan semula. Dia mengambil tempat di hadapan Hamna bagi melindungi gadis itu daripada diserang oleh Damia yang bagaikan dirasuk.
“ Is….” Panggil Damia dengan lembut.
“ Apa?!” tengking Isyraq kuat. Pandangannya tajam menjamah wajah Damia yang terkulat- kulat.
Terhinjut bahu Damia mendengar tengkingan Isyraq. Kecut perutnya melihat wajah Isyraq yang bengis.
“ Kau cakap aku bodoh sebab pilih dia? Aku sebenarnya yang bodoh sebab pernah jadikan kau sebagai kekasih aku! Aku menyesal tahu tak. Tak sangka perempuan yang kononnya cantik rupa- rupanya ada perangai yang lebih busuk daripada sampah! Kalau kau nak cari gaduh, bukan dengan Hamna, tapi dengan aku!” tempik Isyraq lagi.
Sakit sungguh hatinya apabila melihat Hamna dilakukan seperti itu. Sejahat- jahat dirinya belum pernah dia menghina dan memperlakukan Hamna sedemikian rupa. Bukan dia tidak nampak apa yang Damia lakukan, menghina dan memijak cermin mata Hamna dengan sesuka hati. Dahlah gadis itu tengah sakit sekarang, pasti sukar untuk melawan.
“ Yang awak bela sangat dia ni kenapa?” tingkah Damia. Dia dah dapat kekuatan.
“ Dah dia kekasih aku, suka hati akulah. Aku dah beri amaran pada kau, jangan sampai aku bocorkan rahsia kau yang besar tu pada semua pelajar dekat kolej ni, malu kau nanti!” Isyraq mengugut.  Dia meluruskan jari telunjuknya tepat pada wajah Damia yang cuak.
“ Rahsia a..aapa?” soal Damia tergagap- gagap.
Isyraq tersenyum sinis. Dia menoleh ke belakang, cuba mencari raut wajah Hamna yang menunduk. Wajah itu memang kelihatan pucat dan tidak bermaya. Alahai, kesianlah pulak. Namun, dia melangkah setapak ke hadapan.
“ Yang kau mengandungkan anak datuk tu sebab itu kau cari aku. Kau ingat aku nak bertanggungjawab? Eh, kirim salamlah. Walaupun Hamna tak secantik kau tapi perangai dia tak seburuk kau. Dia tahu jaga maruah diri dia. Tapi kau? Cantik luaran tapi sebenarnya tak ada apa- apa…Sebelum kau hina orang, kau cermin diri kau sendiri. Atau kau nak aku beli cermin yang besar baru kau boleh cerminkan diri kau tu!” bisik Isyraq perlahan tapi cukup berbisa.
Damia tersentak. Berubah air mukanya. Bagaimana lelaki itu boleh tahu? Tak, tak, dia tak boleh biarkan rahsia ini terbongkar.
“ Awak memang tak guna, Is!”
“ Kau yang tak guna. Kalau kau cari pasal lagi dengan aku ataupun Hamna, aku tak teragak- agak nak hebohkan satu kolej ini, kau jangan lupa mulut lelaki seperti aku lebih tajam daripada mata pedang. Lebih baik kau berambus, sebelum penampar ni singgah muka kau!” ujar Isyraq dengan kasar.
Damia merengus kasar.
“ Arggghhh!” dia menjerit sebelum berlalu meninggalkan Isyraq dan Hamna dengan perasaan bengang. Dia tewas.
Isyraq menarik nafas lega. Dia berpaling ke belakang. Hamna sudah tiada di belakangnya. Ke mana pula minah ni pergi? Soal hatinya namun matanya tertacap pada tubuh gadis itu yang terduduk secara melutut di atas lantai sambil tangannya menggenggam cermin mata yang pecah berderai. Isyraq menarik nafas panjang sebelum turut menunduk.
Dia merenung wajah Hamna yang kelihatan merah. Mata gadis itu sudah berkaca. Menangiskah dia? Hati Isyraq tersentuh kali ini. Ya, dia tersentuh melihat air mata itu!
“ Tak payahlah nak menangis, benda tu dah hancur. Beli je yang baru…” pujuk Isyraq lembut.
Hamna mengangkat wajahnya. Dibiarkan saja matanya bertentangan dengan anak mata hitam milik lelaki itu. Senangnya cakap. Orang banyak duit memang cakap pakai air liur je bukan pakai otak!
Isyraq menelan air liur menahan debaran akibat dipanah dengan anak mata yang bundar itu.  Ish, kenapa pula dengan hati aku ni?
“ Aku bukannya kaya macam kau!” balas Hamna sambil mengesat sisa air mata yang masih bergenang di kelopak mata.
Isyraq mengetap bibir. Kemudian dia bangun dan menarik lengan gadis itu untuk bangun sekali. Beg sandang gadis itu dicapai dan lengan gadis itu diheret hingga ke luar kolej.
“ Kau nak bawak aku ke mana ni? Aku tak sihat sekarang, tak ada masa aku nak layan kerenah kau!” bentak Hamna geram. Dia cuba merungkai pegangan tangan Isyraq yang kemas di lengannya.
“ Ke klinik. Tangan kau berdarah balik tu!” jawab Isyraq selamba. Dia menolak Hamna supaya masuk ke dalam kereta selepas pintu kereta di buka.
Hamna tidak sempat berbuat apa- apa, dia hanya mengikut apa yang Isyraq lakukan. Jauh di satu sudut, Fika dan Elyas berpandangan sesama sendiri melihat apa yang terbentang di depan mata. Hamna dan Isyraq? Macam mana mereka boleh…..?



Jika Benar Kau Cinta ( Bab 4 )

* Maaflah, SK tak perasan yang bab 4 tak ada dlm blog ni...sorry2...ni SK ada update JBKC BAB 4


BULAT mata Fika memandang wajah Hamna yang bersungguh- sungguh. Dia tahu kali ini Hamna tidak main- main. Walaupun dia baru berkawan dengan Hamna tapi dia tahu perangai Hamna yang pantang dicabar. Memang sesuai sangat dengan Isyraq, lelaki yang pantang dicabar. Sekarang ini, Fika sudah naik pening dengan perang yang diisytiharkan Hamna terhadap Isyraq.
Masih belum hilang daripada ingatan Fika apa yang Isyraq telah lakukan pada sahabatnya itu. Cukup menyakitkan hati.
“ Fika, kau dah cukup study ke? Aku risaulah test kali ni macam susah je…” ucap Hamna sewaktu mereka berjalan untuk ke kelas. Hamna menolak cermin mata yang melurut jatuh.
Fika yang berjalan di sisi Hamna hanya tersenyum. Dia menepuk- nepuk bahu kawannya  itu. Hamna kelihatan lebih tenang berbanding semalam. Masih segar dalam ingatan Fika sewaktu Hamna mengamuk kerana motornya dihumban ke dalam longkang oleh Isyraq. Bersungguh- sungguh gadis itu bercerita tentang perangnya pada Isyraq. Sejauh mana hebatnya perang mereka berdua, Fika hanya mahu melihat.
“ Bukannya susah mana pun Perakaunan Pengurusan ni, Na. Kau tu yang asyik nak emo je semalam sampai tak sempat nak study,” balas Fika selamba. Mereka menolak pintu kelas.
“ Mahu aku tak emo? Kau tengok apa jadi pada Baby aku tu. Tak pasal- pasal kena masuk bengkel. Dahlah aku tengah pokai sekarang, nak bayar dengan apa? Mamat tu senang- senang je tolak Baby aku masuk longkang, sakit hati aku!” keluh Hamna.
Mereka berjalan menuju ke tempat duduk. Sementara Puan Pamela masih belum masuk, Hamna sudah bercadang untuk mengulangkaji apa yang patut. Dia melangkah menuju ke tempat duduknya di belakang. Dia tahu seseorang sedang memandang ke arahnya tetapi Hamna tidak ambil pusing. Sekarang ini yang penting adalah ujian.
Namun pandangan Hamna berlaga dengan anak mata Isyraq yang asyik memandang padanya. Dengan selamba, Hamna menjelirkan lidah. Sakit hati dia masih terkesan namun dia cuba bertahan sehingga ujian ni tamat. Selepas itu tahulah aku kerjakan mamat perasan bagus ni. Detik hati Hamna.
‘ Sekejap, tapi kenapa dia duduk di belakang aku? Bukan ke dia benci sangat dengan aku? Ni aku musykil ni. Tengok muka dia yang macam penyangak tu aku rasa macam tak sedap hati je,’ bisik hati Hamna. Namun, kata hati tidak dipedulikan. Hamna meletak begnya di atas meja sebelum duduk tetapi belum sempat dia duduk….
‘ Gedebukkk!!’
Tubuh tembam Hamna menyembah lantai. Punggung terhentak di lantai.
“ Adoiii!!” jerit Hamna.
“ Na!” jerit Fika lalu mendapatkan Hamna yang sedang mengerang kesakitan.
“ Kau tak apa- apa ke Na?” soal Fika risau. Dia menggosok- gosok bahu Hamna.
Hamna mendengus marah. Dia bingkas bangun. Punggung yang terasa sakit tidak dipedulikan kerana hatinya lebih terasa sakit. Malah telinganya cukup sakit mendengar gelak tawa lelaki- lelaki yang sengaja ingin mencabarnya. Lalu, dia berdiri dan menghampiri Isyraq yang ketawa kuat.
Hamna geram. Dia mengepal kertas yang berada dalam genggamanya. Lalu tanpa amaran, dia menyubat kertas tersebut ke dalam mulut Isyraq yang sedang gelak sakan.
“ Rasakan! Mamat tak guna!” jerit Hamna geram.
Isyraq terpempan. Dia meludah kembali kertas yang disumbat ke dalam mulutnya.
“ Tuih- tuihhh!!” Isyraq meludah.
Semua orang terpempan melihat situasi mereka berdua. Masing- masing berdebar menanti reaksi Isyraq yang kelihatan bengang. Wajah lelaki itu yang kuning langsat bertukar merah. Matilah Hamna kali ini. Hati mereka berbisik.
Hamna langsung tidak rasa gentar. Dia menentang wajah Isyraq dengan berani. Mata lelaki itu yang merah ditentang tanpa ada rasa takut. Agaknya sudah putus rasa takut Hamna ni.
“ Minah Gendut tak sedar diri!” cemuh Isyraq tidak semena- mena. Dia menolak bahu Hamna. Nak sangat gaduh kan? Meh, gaduh dengan aku sekarang.
Hamna menarik nafas panjang. Sabar Hamna, dia nak provoke  kau je tu. Hatinya menasihatkan.
“ Mamat sakit jiwa!” balas Hamna. Dia turut menolak bahu Isyraq menggunakan hujung jarinya.
Isyraq ketawa sinis. Dadanya berombak. Dia cuba bersabar tapi sikap Hamna kali ini betul- betul mencabarnya. Boleh dia sumbat mulut aku dengan kertas? Memang berani mati minah ni!
“ Na, Is, sudahlah janganlah gaduh dalam kelas ni. Malulah orang tengok!” Fika cuba meredakan mereka berdua.
Isyraq memandang Fika dengan renungan yang tajam seolah- olah memberi amaran.
“ Kau jangan masuk campur. Ini urusan aku dengan kawan kau yang selekeh ni!” Isyraq memberi amaran sambil tangannya menuding tempat ke wajah Fika.
Fika diam tidak terkutik. Semua pelajar di dalam kelas tersebut tidak berani hendak bersuara. Mereka hanya jadi pemerhati drama yang berlaku di hadapan mata.
Isyraq kembali menatap wajah Hamna yang selamba. Gadis itu masih tidak mempamerkan riak takut ataupun gementar. Oh, aku nak tengok sejauh mana keberanian kau. Lalu, Isyraq melangkah setapak ke hadapan. Setapak dan setapak.
Hamna menelan air liur. Pandangan Isyraq agak berlainan kali ini. Lelaki itu semakin menghampirinya. Hamna mula resah. Apa yang dia nak buat ni? Hatinya semakin risau. Tanpa menunggu lama, Hamna mengundur setapak ke belakang.
“ Takut?” soal Isyraq sepatah. Pandangannya terus menikam anak mata Hamna yang bundar.
“ Bukan Hamna kalau takut dengan mamat perasan bagus macam kau!” balas Hamna berani namun kakinya terus mengundur ke belakang.
Isyraq ketawa sinis. Dia terus melangkah sehinggalah musuhnya terperangkap di sudut dinding. Dalam hatinya bagaikan digeletek saat melihat wajah Hamna yang cuak. Memang itu yang ingin dilihat.
Hamna semakin tidak keruan saat tubuh Isyraq semakin menghampiri. Dia terasa ingin menangis kerana diperlakukan seperti itu. Dia ingin menjerit tetapi suaranya tidak kedengaran. Jantungnya berdebar hebat saat Isyraq melekapkan kedua belah tangannya di dinding membuatkan Hamna terperangkap.
Elyas mula rasa tidak sedap hati. Dia memandang sekeliling, tiada satu orang pun yang cuba menghalang apa yang Isyraq lakukan. Elyas tahu mereka semua takut pada Isyraq tetapi Hamna perlu diselamatkan. Isyraq tidak patut memperlakukan Hamna sebegitu rupa di depan pelajar- pelajar lain.
“ Is, sudahlah tu. Lepaskan Hamna!” Elyas menegas.
Isyraq berpaling. Dia mengangkat tangan pada Elyas.
“ Ini urusan aku dengan dia. Siapa yang masuk campur, akan terima akibatnya!” Isyraq memberi amaran sebelum matanya kembali menatap wajah Hamna yang dekat dengannya.
Dia merenung anak mata Hamna yang hitam pekat. Dia tersenyum sinis apabila melihat sinar ketakukan dalam mata gadis itu.
“ Berani sangat kau lawan aku, perempuan?” soal Isyraq bersama dengan senyuman yang cukup sinis.
Hamna menikus. Dia tidak berani bergerak kerana sekali dia bergerak maka tubuhnya akan tersentuh dengan tubuh Isyraq. Saat ini jantungnya bagaikan mahu melompat keluar. Malu, marah, geram dan sakit hati bercampur baur.
“ Aku tak pernah takut pada kau!” balas Hamna berani.
Isyraq mendengus.
“ Kau nak cabar aku? Kau belum kenal aku siapa..”
“ Aku tak kenal pun kau siapa!” balas Hamna lagi.
“ Jadi biar aku kenalkan siapa aku….” ujar Isyraq.
Dia cuba mendekatkan dirinya lagi namun kali ini Hamna sudah tidak dapat bertahan. Dengan kudrat wanita yang masih bersisa, dia menendang betis Isyraq dengan sekuat hati. Lalu, beg sandangnya dilibas pada belakang lelaki itu sebelum dia berlari ke luar kelas. Tanpa disedari setitis air matanya gugur. Kali ini dia betul malu diperlakukan seperti itu di dalam kelas dan di hadapan kawan- kawannya yang lain. Isyraq memang melampau!

TANGISAN Hamna menyedarkan Fika yang sedang mengelamun. Memang apa yang Isyraq lakukan kali ini benar- benar memalukan. Dia yang menyaksikan apa yang berlaku memang cukup geram dengan lelaki itu tetapi apakan daya dia tidak seberani Hamna untuk bertarung dengan Isyraq.
Fika menepuk bahu Hamna. Wajah merah Hamna dipandang dengan penuh simpati. Berapa kali dia sudah menasihatkan Hamna tetapi gadis itu tetap berdegil, tengoklah sekarang apa dah jadi. Lelaki itu sudah memalukan Hamna di hadapan kawan- kawan mereka yang lain. Mana nak letak muka?
“ Kan aku dah pesan pada kau, Is tu bukan calang- calang orang. Dia tu gangster, pembuli. Dia takkan puas kalau tak musuh dia tak melutut dekat kaki dia. Sudahlah Na, kau tak payahlah teruskan perang ni,” nasihat Fika lembut. Dia memusingkan tubuh Hamna supaya mengadap padanya.
Hamna menggeleng dengan pantas. Dia menolak tangan Fika dengan lembut. Wajahnya yang merah disimbah dengan air. Dia memandang wajahnya di dalam cermin. Dia tersenyum sinis.
“ Perang ni tetap akan diteruskan. Dia dah sakitkan hati aku sampaikan aku tak tahu macam mana nak sembuhkan. Aku takkan sesekali mengaku kalah. Kalau aku mengalah maknanya aku yang kalah dan aku tak nak kalah dengan lelaki sombong macam dia!” tegas Hamna.
Fika mengeluh. Dia meraup wajahnya. Cara apa lagi yang perlu dilakukan untuk menasihati Hamna?
“ Tapi ia akan menyakitkan diri kau sendiri, Na. Is tu lelaki, kau tu perempuan. Bahaya..” tambah Fika lagi.
“ Lelaki atau perempuan bukan soalnya tetapi dia dah sakitkan hati aku. Aku benci dia seumur hidup aku!” balas Hamna.
Fika menghela nafas panjang. Hamna memang keras kepala ditambah pula dengan sikap degil. Memang tak boleh nak nasihat dah, agaknya jodoh Hamna dengan Isyraq kut, sama- sama keras kepala. Dapat anak nanti, kepala macam batu. Bebel hati Fika.
“ Ikut suka kaulah Hamna, jangan sampai dia yang kau cinta seumur hidup sudahlah!” tempelak Fika selamba.
Hamna berpaling. Wajah Fika ditenung tajam.
“ Apa kau cakap, Fika? Agaknya dah tak nak hidup lama ke?” marah Hamna.
Fika tersengih. Dia mengangkat dua jarinya. Peaceee!!
“ Amboi, aku cakap sikit pun dah nak melenting. Mesti dah terikut perangai si Is tu,” perli Fika lagi.
“ Fika Santi!” terjerit Hamna memanggil nama penuh Fika. Geram dengan sikap Fika yang seolah- olah mengejeknya.
Fika tersengih lagi. Hehehe..Gurau jelah.
“ Sorry, sorry. Ini barang yang kau nak aku belikan tu,” ujar Fika sambil menghulurkan beg plastik kecil kepada Hamna.
Hamna menyambut huluran Fika dengan senyuman penuh makna. Dia menjengukkan kepala memandang isi yang terdapat dalam plastik tersebut. Tunggulah mamat perasan bagus. Kau tahulah nasib kau kejap lagi!
“ Jom, ikut aku!” Ajak Hamna sambil menarik tangan Fika yang tercengang- cengang.
“ Kita nak ke mana ni?” soal Fika sambil langkahnya laju mengikut langkah Hamna.
“ Perang!”
“ Hah?? Perang??!”

“ AKU tak suka apa yang kau dah buat pada Hamna tadi. Kau tak kesian ke dekat dia,” Elyas meluahkan rasa tidak puas hatinya.
Isyraq yang sedang ketawa besar bersama dengan Zaim dan Redza menghentikan tawanya. Mereka bertiga memandang wajah Elyas yang serius. Mujur ujian Perakaunan Pengurusan dibatalkan, bolehlah mereka melepak di kedai makan tapi kata- kata Elyas menghancurkan mood baik Isyraq.
“ Kau ni tiba- tiba sebelahkan minah selekeh tu, apasal pulak?” soal Zaim dengan dahi yang berkerut.
“ Aku bukan sebelahkan dia atau sesiapa tapi apa yang kau buat pada dia dalam kelas tadi memalukan dia sebagai perempuan. Come on Is, kau lelaki yang gentleman kan. Sepatutnya kau tahu batas- batas kau dengan perempuan,” sambung Elyas lagi.
Isyraq mendengus. Elyas memang tak suka masuk campur dalam urusannya tetapi nasihat Elyas selalu diguna pakai kerana bagi Isyraq, Elyas seorang lelaki yang matang berbanding Zaim dan Redza. Elyas akan menjadi pemerhati dan memberi nasihat jika ada perkara yang tidak berkenan di matanya. Tetapi kali ini lelaki itu menasihatkannya tentang Hamna? Biar betul? Selama ini Elyas tidak pernah ambil peduli pada siapa yang menjadi mangsa bulinya tetapi kali ini seperti ada yang tidak kena. Jangan- jangan….
“ Sekarang ni kau nak cakap, yang kau dah jadi pencinta wanitalah. Kau sayang sangat pada minah buruk tu berbanding kawan kau ni, macam tu?” tanya Isyraq marah. Wajahnya sudah bertukar merah.
Baharu saja dia ingin meraikan kemenangannya kerana dapat mengenakan Hamna, Elyas pula yang merosakkan mood gembiranya.
“ Bukan itu maksud aku, Is. Kalau kau nak kenakan dia pun, berpada- padalah jangan sampai melibatkan maruah dia,” balas Elyas lagi. Walaupun lembut tapi cukup menikam hati Isyraq. Dia memandang wajah Elyas dengan tajam.
Elyas membalas pandangan Isyraq dengan berani.
“ Maruah dia apa bendanya? Sentuh dia pun tak. Tak ada selera aku nak pegang anak dara orang apatah lagi perempuan macam dia tu. Aku usik sikit je kut itu pun kau nak melenting. Dia yang cari pasal dengan aku, tapi kau nak salahkan aku pula,” balas Isyraq tak puas hati.
Dalam hati dia dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena. Mungkinkah Elyas sukakan Hamna? Tak mungkin. Tak mungkin…
“ Entahlah kau ni Elyas, tiba- tiba je sebelahkan perempuan tu. Kau syok dekat dia ke?” tempelak Redza pula.
“ Kalau aku suka pun,tak menyusahkan hidup korang kan?” balas Elyas selamba.
Dia melangkah ke depan meninggalkan mereka bertiga yang terkedu mendengar jawapan daripada Elyas. Paling terkejut tidak lain tidak bukan adalah Isyraq, otaknya cuba mentafsir apa yang Elyas katakan. Maknanya telahan dia benar, Elyas sukakan Hamna? Takkan budak buruk macam tu pun, Elyas boleh suka? Tak ada orang lain ke? soal hati Isyraq bertalu- talu. Tiba- tiba saja dia rasakan sesuatu. Sesuatu yang….entah….lupakan…
Namun, lamunannya diganggu dengan suara yang memanggil namanya dari belakang.
“ Hoi, mamat perasan bagus!” lantang suara itu menjerit.
Isyraq tersentak. Dia kenal suara itu malah cukup kenal. Dia tersenyum sinis. Kau tak mahu mengaku kalah lagi ya? Dia memandang wajah Zaim dan Redza silih berganti. Mereka bertukar senyum.
“ Kau tak penat lagi nak cari pasal dengan aku,” balas Isyraq turut lantang.
Dia berpaling dengan muka yang cukup bangga tetapi hari ini ternyata masih tidak berpihak kepadanya apabila…
‘ Pelepekkkk!!’
Sebiji telur mendarat di dahi Isyraq tanpa segan silu. Bertempek telur putih dan kuning melekat di wajah kacak Isyraq.
Zaim dan Redza melopong. Terkebil- kebil matanya memandang wajah ketuanya yang sudah berubah rupa. Namun, tiba- tiba tawa mereka meletus dengan kuatnya sehingga menyakitkan telinga Isyraq yang sememangnya dilanda angin puting beliung.
“ Hahahahahaha…kelakar muka kau Is!” Zaim dan Redza gelak bagaikan tak ingat dunia tetapi…
‘ Pelepekkk!!’
Dua biji telur melekat di muka Redza dan Zaim. Mereka terkedu sebelum berpandangan sesama sendiri.
Di sebelah sana, Hamna dan Fika sudah ketawa terbahak- bahak. Suka sangat dapat kenakan musuhnya. Ketawa Hamna paling kuat dan menyakitkan telinga Isyraq.
“ Padam muka korang! BFF lah katakan. Memang kena sangat dengan muka korang yang macam pecah rumah. Ayam telur dekat reban, korang rasalah bertelur dekat dahi!!” Pekik Haman dengan ketawa kuat.
Dia siap bertepuk tangan dengan Fika lagi. Fika yang pada mulanya tidak mahu campur tangan akhirnya bertambah seronok melihat muka Is Tiger berubah jadi merah. Dia tahu lelaki itu marah tapi apa dia peduli janji hatinya puas dapat tolong Hamna membalas dendam. Seronok juga dapat kenakan orang, ya?
Isyraq mendengus marah. Nafasnya berombak ganas. Pandangannya tajam menikam figura yang berada di seberang jalan. Kesan telur yang melekat di wajahnya disapu dengan kasar menggunakan tapak tangan. Tak sia- sia aku makan telur hari ini!
Isyraq meludah sisa telur yang sempat masuk ke dalam mulutnya. Kali ini dia tidak akan lepaskan Hamna. Lalu, dia berlari untuk mengejar Hamna, meninggalkan Zaim dan Redza yang masih terkaku di situ.
Hamna dan Fika berpandangan saat melihat Isyraq sedang berlari menuju ke arah mereka. Otak mereka menghantar isyarat bahaya.
“ Is Tiger dah mengamuk!!” jerit Fika.
Hamna menepuk- nepuk bahu Fika meminta gadis itu melakukan sesuatu sebelum Isyraq datang menghampiri. Nasib baik tempat mereka dihalang oleh jalan raya, sempatlah dia memikirkan apa yang patut dilakukan.
“ Aku rasa lebih baik…lebih baik….” Hamna tidak dapat menghabiskan ayatnya. Dia betul- betul cemas saat ini.
“ Lebih baik apa?” soal Fika kelam- kabut.
“ Lebih baik kita lari!!!” jerit Hamna kuat lantas dia menarik tangan Fika berlari meninggalkan tempat mereka berdiri. Isyraq semakin dekat dan mereka mula memanjangkan langkah. Uh, siapa yang tak takut dengan muka bengis Isyraq? Kura- kura pun boleh menangis tengok wajah Isyraq yang garang bagaikan harimau jantan yang kelaparan.
“ Motor kau, Fika! Ambil motor kau cepat!!!” jerit Hamna lagi.
Mereka berdua semakin tidak tentu arah. Fika melompat ke atas motor dan diikuti oleh Hamna. Fika cuba menghidupkan enjin tetapi enjin motornya pula tidak membantu. Mereka gelisah tambah- tambah lagi Hamna. Kecut perutnya melihat Isyraq yang sudah berada di belakang mereka.
“ Cepat Fika! Mat Rimau tu dah ada belakang kita!”
Hamna menepuk belakang Fika yang sudah menggigil. Dia memandang ke belakang. Kelihatan Isyraq sedang merenungnya dengan tajam. Panahan anak mata itu terus menusuk ke dalam hati Hamna. Dia menelan air liur. Mak aii, takutnya aku tengok mata dia.
“ Fika! Fika! Mamat tu nak telan aku, cepat!!!” jerit Hamna lagi.
Fika mencuba buat kali kedua dan….
‘ Vrooommmm!’ enjin  motornya mengaum.
“ Yeay!! Padam muka kau! Selamat tinggaaall!!!” jerit Hamna sambil melambaikan tangannya pada Isyraq yang sudah tertinggal jauh. Gelaknya bergema di sekitar kawasan kolej.
Isyraq merengus. Musuhnya sudah terlepas daripada genggaman.
“ Tak gunaaaaaa!!!!” jerit Isyraq kuat.
Bergegar satu kawasan mendengar Isyraq menjerit. Inilah kali pertama dia dikenakan cukup- cukup oleh seorang perempuan. Sakit hati? Ini bukan setakat sakit hati malah sudah sampai ke segenap urat saraf. Hamna, kau memang cari nahas!