Minggu, 01 September 2013

Cinta Si Gadis Kebun ( Bab 7 )


SENYUMAN terukir di bibir Aisya sebaik saja dia menapak dalam kedai Pak Leman. Waktu malam begini memang kedai Pak Leman akan sunyi sepi. Maklumlah, orang kampung kebiasaannya akan tidur awal kecualilah budak- budak muda yang kutu rayau.
Aisya mengorak langkah menuju ke satu rak yang menempatkan pelbagai jenis coklat. Dia menelan air liur. Huih, sedapnya coklat ni. Tapi duit aku cukup- cukup je untuk beli satu coklat. Bisik hati Aisya.
“ Argh, terpaksalah aku berkorban semata- mata untuk dia. Kalau dia tak hargai apa yang aku buat, memang aku bagi penampar Jepunlah,” Aisya mengomel sendirian.
Selepas puas ditilik semua coklat yang berada di atas rak, tiba- tiba mata Aisya tertacap pada sepapan coklat Cadbury yang sederhana besar tersusun di sebalik coklat yang lain. Hanya tinggal satu saja coklat tersebut. Aisya tersenyum puas.
Aisya memanjangkan tangan untuk mencapai coklat tersebut. Sebaik saja tangannya memegang coklat tersebut, tiba- tiba ada tangan lain menyentuh tangannya. Aisya berpaling.
Kelihatan seorang lelaki sedang merenung tajam ke arahnya sambil cuba menarik coklat yang dipegang Aisya. Wajahnya sebijik macam Hakimi Danial. Aisya tidak mengalah. Dia membalas renungan lelaki itu dengan tajam. Dia merampas coklat tersebut.
“ Itu coklat, saya punya!” jerit lelaki itu.
Aisya menjelirkan lidah.
“ Argh, aku punya!” balas Aisya dengan suara yang agak meninggi.
“ Saya punya!” lelaki itu tidak mahu mengalah.
Aisya menarik nafas panjang. Lelaki itu merampas coklat yang berada di tangan Aisya. Aisya tidak menunggu lama, dia kembali merampas. Maka berlakulah sesi rampas- merampas di antara Aisya dan lelaki itu.
“ Lebih baik kau lepas coklat aku ni, sebelum aku tumbuk muka kau!” ujar Aisya kemudian dia mengangkat penumbuk. Dia akan lakukan apa saja asalkan coklat itu tidak terlepas ke tangan orang lain.
“ Aisya!” jerit satu suara membuatkan Aisya berpaling. Pak Leman?
“Eh, Pak Leman. Bila sampai?” soal Aisya selamba. Sempat lagi dia tersengih membariskan giginya yang putih.
“ Sampai apanya? Ni kan kedai Pak Leman,” ujar Pak Leman dengan dahi yang berkerut. Entah kenapalah si Aisya ni.
“ Eh, yalah. Kedai Pak Leman. Aisya lupa,” balas Aisya sambil menggarukan kepalanya yang bertudung. Dia tersengih lagi.
“ Sudah. Baru kahwin dah lupa? Ingat dekat suami kamu ke? Ni hah, yang kamu bergaduh dalam kedai Pak Leman ni kenapa? Dah tak ada kerja lain ke?” sambung Pak Leman dengan soalan yang bertalu- talu. Macam peluru berpandu pula.
“ Mahu tak bergaduh, Pak Leman. Lelaki ni nak ambik coklat saya. Saya dulu yang pegang coklat ni jadi coklat ni saya punyalah,” tingkah Aisya sambil menjuihkan bibir pada lelaki itu yang terkebil- kebil memandangnya.
“ Aisya, kamu sedar tak dengan siapa yang kamu bergaduh?” soal Pak Leman sambil jari telunjuknya menunjukkan ke arah ‘lelaki’ yang dinyatakan oleh Aisya.
Aisya mengerutkan kening. Mestilah aku sedar, aku gaduh dengan Kimi kan? Bisik hatinya kemudian dia menoleh. Aisya tersentak, kelihatan seorang budak lelaki berusia lebih kurang tujuh tahun sedang tersengih menampakkan giginya yang rongak.
Aisya tersengih malu. Asyik sangat memikirkan Hakimi Danial, sampaikan budak tujuh tahun yang tak ada gigi pun disangkakan Hakimi Danial.
“ Hai, adik. Maaflah akak berkasar tadi. Tapi coklat ni akak punya. Adik tak boleh makan coklat banyak- banyak. Gigi tu dah tak ada. Adik nak ke semua gigi adik patah riuk,” Aisya memberi nasihat percuma. Dia menggosok- gosok kepala budak lelaki tersebut.
“ Habis tu gigi akak tak patah ke makan coklat?” soal budak lelaki itu lagi.
“ Heee…gigi akak kuat sebab akak pakai colgate. Adik tu kecik lagi, jadi baik kurangkan makanan yang manis macam ni. Nanti kena kencing manis lepas tu kaki adik kena potong. Adik nak macam tu?” soal Aisya dengan wajah diseriuskan. Dia menjengilkan matanya pada budak tersebut.
Sebaik saja terdengar perkataan potong kaki, sepantas kilat budak lelaki tersebut melepaskan pegangan tangannya. Cepat- cepat dia berlari ke luar kedai meninggalkan Aisya dan Pak Leman.
Aisya tersenyum kemenangan. Bukan susah pun nak ugut budak kecik. Hehehe…Hati Aisya ketawa jahat. Kemudian dia tersenyum dan mengangkat- angkat keningnya pada Pak Leman. Pak Leman hanya mampu menggelengkan kepala melihat telatah cucu Nek Timah yang satu ni.

AISYA memarkir motor dibawah rumahnya. Barang-barang yang diletakkan di dalam raga motor diambil. Senyuman manis meleret dibibirnya. Dia akan pastikan misinya untuk memujuk Hakimi Danial pada malam itu akan berjaya.
Aisya mendaki tangga dengan perlahan-lahan. Dia meraba-raba kunci didalam poket seluar Jeans. Isyyyy….mana pulak kunci ni? Bisik Aisya sendiri. Poket seluar disebelah kanan pula diseluk. Isyyy…tak ada jugak. Mana kunci ni pergi? Kunci ni suka susahkan akulah. Aisya mulai bengang.
Aisya mengangkat tangan untuk mengetuk pintu namun hajatnya terhenti serta-merta apabila pintu itu telah pun terkuak dari dalam. Terjojol wajah Hakimi Danial di depan matanya. Aisya mengurut dadanya sendiri kerana terkejut.
“Saya tahulah muka saya kacak macam Shahid Kapoor tapi tak perlulah buat muka terkejut dan excitedmacam tu sekali.” Hakimi Danial masih lagi berdiri dihadapan pintu utama.
Serta-merta riak wajah Aisya berubah. Mulutnya yang terlopong tertutup secara automatiknya.
“Kacaklah sangat.” Balas Aisya sepatah. Dia kemudian menolak sedikit badan Hakimi Danial yang menghalangnya untuk masuk ke dalam. Isyy…mamat ni dah tahu dah badan tu besar daripada aku tak payahlah nak buat blocking kat depan ni. Marah Aisya dalam hati.
Aikkk….minah ni boleh pulak main tolak-tolak aku? sudahlah aku yang tolong bukakan pintu untuk dia. Tak reti-reti nak berterima kasih betullah minah seorang ni. Bebel Hakimi Danial dalam hati sambil menggeleng kepala mengenangkan perangai isterinya yang tidak berapa nak berbudi bahasa itu.
“Awak pergi mana tadi?” Hakimi Danial menutup semula pintu utama.
Tiada jawapan yang diperolehi dari Aisya.
Hakimi Danial mengambil tempat disebelah Aisya yang khusuyuk menonton cerita Hindustan di saluran Zee Tv. Dia langsung tidak mengendahkan Hakimi Danial disebelahnya.
“Awak dengar tak apa yang saya tanya tadi?” Nada suara Hakimi Danial sedikit keras.
“Awak ada tanya saya ke tadi?” Aisya buat muka selamba. Matanya masih lagi fokus pada kaca televisyen. Sesekali mulutnya akan mengikut menyanyi-nyanyi halus mengikut lagu Hindustan tersebut.
“Adalah. Takkanlah saya tanya dinding yang tak boleh nak dengar dan bercakap tu ataupun awak yang pekak sebab tu tak dengar apa yang saya tanya tadi.” Tempelak Hakimi Danial.
“Saya tak pekak lagilah cuma telinga ni sudah sebulan tak korek sebab tu tak dengar awak tanya tadi.” Jawab Aisya sambil menayang muka selamba badaknya itu. Dia tidak mengendahkan perasaan Hakimi Danial.
‘Aisya…tadi cakap nak berbaik-baik dengan Hakimi Danial tapi kenapa nak berperang mulut dengan dia pulak ni.  Sekarang ni kau dalam misi untuk berterima kasih dengan dia.’ Suara hati kecil mengingatkannya dan serta-merta dia tersedar yang dia agak keterlaluan melayan Hakimi Danial.
“Lantak awaklah.” Hakimi Danial segera mengangkat punggungnya dan dengan tidak semena-mena tangannya diraih oleh Aisya. Dia kaku.
“Maafkan saya.” Perkataan itu meluncur laju dari mulut Aisya. Hatinya terasa sedikit lega apabila dapat meluahkan kata-kata tersebut.
Hati Hakimi Danial tiba-tiba terasa sedikit tersentuh apabila mendengar kata maaf daripada Aisya. Namun dia tidak harus cepat termakan dengan pujukan Aisya. Dia ingin menguji kesungguhan Aisya untuk memujuk dirinya.
Tanpa berkata apa-apa Hakimi Danial melepaskan tangannya daripada genggaman Aisya. Dia kemudian membawa diri kedalam bilik. Hatinya tergelak kecil melihat wajah Aisya yang sedih itu.
“Dia marah lagi ke dengan aku?Tak boleh jadi ni. Aku kena pujuk dia jugak malam ni nanti kalau tak pujuk aku tak ada orang nak lawan cakap.” Tekad Aisya. Dia segera mengangkat punggung dan televisyen dimatikan. Langkahnya laju mengikut Hakimi Danial dari belakang.
Hakimi Danial menepuk-nepuk bantalnya. Matanya terasa amat berat. Tak sabar rasanya untuk menutup mata. Aisya dibelakangnya hanya berkelip-kelip memandangnya.
“Yang awak terpacak kat belakang saya kenapa?Awak nak jadi bodyguard saya ke?”
Namun Aisya mampu tersenyum sambil menayang barisan giginya yang putih. Sudah rupa macam model iklan Colgate pulak.
Hakimi Danial tidak mengendahkan senyuman manis Aisya. Sekarang apa yang berada dalam fikirannya ialah TIDUR.
Hakimi Danial sudah terlentang diatas sofa. Tangannya diletakkan atas dahi sambil mencuba untuk memejam mata yang agak berat itu.
Aisya masih tercegat seperti patung cendana didepan Hakimi Danial. Matanya berkelip-kelip memandang Hakimi Danial yang sudah bebaring bersedia untuk tidur.
Mamat ni tak ada perasaan ke?Takkan dia tak perasan yang aku dah lama tercegat kat depan dia ni?Monolog Aisya.
Perlahan-lahan Hakimi Danial menurunkan lengan yang berada cantik punya atas dahinya yang licin.
“ Aisya, yang awak tercegat kat situ kenapa?Ada cita-cita nak jadi patung kat Muzium Madame Tussaud ke?” Ujar Hakimi Danial sambil memandang tepat ke arah Aisya. Matanya sedikit layu.
“Nah…saya nak bagi awak ni.” Dengan senyuman manis Aisya menghulur sekeping coklat Cadbury yang siap diikat riben berwarna merah.
Mata Hakimi Danial tiba-tiba segar. Nak tergelak pun ada dengan tindakan Aisya malam tu.
Dia ingat aku ni budak-budak ke sampai nak kasi coklat bagai. Aisya…Aisya…Gumam Hakimi Danial.
“Awak buang tabiat apa malam-malam buta bagi saya coklat. Tak boleh tunggu esok ke?” Hakimi Danial bersuara sambil memejam mata.
“Tak boleh. Saya kena bagi pada awak malam ni sebagai tanda terima kasih sebab dah selamatkan daripada jatuh tempoh hari. Selain tu, saya nak minta maaf sebab dah berkasar dengan awak tempoh hari.” Suara Aisya agak lembut dan rendah. Hakimi Danial membuka matanya dan memandang tepat pada anak mata Aisya.
Ada sinar kesungguhan dan keikhlasan disebalik anak mata yang berwarna hitam itu. Senyuman manis terbit dibibir Hakimi Danial. Kemudian dia bangun dan duduk menghadap Aisya yang masih tercegat dihadapannya.
Huluran daripada Aisya disambut. Cadbury yang terikat dengan riben merah itu dipandang dengan penuh bermakna.
“Terima kasih untuk Cadbury ni tapi saya ni jenis yang tak makan coklat……”
“Ya ke?Kenapa awak tak cakap awal-awal yang awak tak makan coklat?”
“Awak tak tanya. Lagipun mana saya tahu yang awak nak belikan coklat untuk saya. Lain kali belilah kereta ke. motor ke, laptop ke ini tidak beli coklat aje.” Gurau Hakimi Danial.
“Amboi, demand nampak. Ini dah kira okeylah ni saya belikan coklat untuk awak. So, sekarang awak dah maafkan sayalah ya?” Tanya Aisya sambil berkelip-kelip banyak.
“Errmmmmm…..” Hakimi Danial menggaru-garu dagunya yang tidak berjanggut itu. Aisya dengan muka tenang menunggu jawapan daripada mulut Hakimi Danial.
“Tengoklah dulu saya nak maaf ke tidak. Sekarang saya nak tidur dulu. Mata saya dah mengantuk.” Hakimi Danial segera berbaring dan menutup seluruh tubuhnya termasuk wajahnya dengan kain gebar. Hatinya gembira bukan kepalang kerana dapat mengenakan Aisya.
Aisya mengetap bibir. Geram….
“Sampai hati awak. Tak nak kawan dengan awak dah. Bye…good night.” Ucap Aisya kecewa lalu dia melangkah ke katilnya. Hatinya cukup sebal dengan Hakimi Danial.
‘Orang nak dah minta maaf nak buat sombong pulak. Aku tak nak tegur kau esok.’Marah Aisya sendiri. Bantal peluk dipeluk erat dan matanya tertutup dengan sendirinya.
Hakimi Danial membuka gebarnya perlahan-lahan apabila pasti yang Aisya sudah nyenyak tidur. Tanpa disangka-sangka Hakimi Danial tersenyum sendiri sambil memeluk erat coklat pemberian daripada Aisya.
‘Terima kasih, Isya. Aku maafkan kau.’ Ujar Hakimi Danial dalam hati. Kemudian dia tertidur dan diulit lena yang indah.