Sabtu, 25 Mei 2013

Jika Benar Kau Cinta ( Bab 10 )


MOTORSIKAL YZF R1 yang berwarna merah berhenti di perhentian bas tidak jauh daripada kawasan kolej. Hujan yang lebat menyukarkan Isyraq untuk memacu motornya tambahan pula baju hujan  tidak dibawa. Dia menanggalkan helmet dan menuju ke bangku yang disediakan untuk menunggu bas.
Isyraq memandang ke sekeliling, kelihatan sebuah motorsikal EX5 berwarna hitam terparkir tidak jauh dari perhentian bas. Dahi Isyraq berkerut kerana dia seperti mengenali pemilik motor tersebut. Takkan dia? Tapi aku rasa tu motor dia. bisik hati Isyraq sebelum mengorak langkah menghampiri motor tersebut.
Dia membelek- belek beg sandang yang berada di dalam raga motor tersebut. Dahinya bertambah kerut apabila melihat keychain yang tertulis nama seorang wanita tergantung pada zip beg sandang tersebut. Dia?
Isyraq memandang sekeliling mencari kelibat gadis itu. Puas dia mengintai namun bayang gadis itu tidak kelihatan. Namun, telinganya menangkap bunyi sesuatu yang pelik dari arah longkang. Bunyi orang mengerang kesakitan diselang seli dengan bunyi kucing. Isyraq mula tidak sedap hati. Takkan siang- siang hari pun ada jembalang? Bisik hati Isyraq. Dia menggosok batang lehernya yang tiba- tiba meremang.
“ Mioww!Mioww!” bunyi kucing itu semakin kuat dan dekat dengan telinga Isyraq.
Dia mencari arah bunyi itu sebelum matanya tertancap pada longkang besar yang berada di belakang perhentian bas itu. Lantas, langkahnya dihayun ke sana.
Dengan hati yang takut- takut berani, Isyraq cuba menjengukkan kepalanya ke arah longkang. Alangkah terkejutnya apabila dia melihat seorang perempuan sedang berteleku di dalam longkang sambil memegang seekor anak kucing yang sudah basah kuyup. Perempuan itu pun sama. Dia tidak dapat melihat wajah perempuan itu kerana perempuan itu menundukkan wajah.
“ Miss…miss buat apa kat dalam longkang tu?” soal Isyraq.
Tiba- tiba perempuan itu mengangkat wajah.
“ Kau?! Kau buat apa kat dalam tu. Agak- agaklah wei kalau nak tidur pun, tak sempat nak balik rumah ke?” perli Isyraq dengan ketawa jahat.
Mahu tak gelak. Melihat muka Hamna yang comot itu cukup kelakar malah cermin mata yang dipakai oleh gadis itu sudah senget ke tepi. Baju gadis itu yang basah dan kotor membuatkan gadis itu kelihatan cukup buruk di mata Isyraq.
“ Aduh…” Hamna mengerang kesakitan. Dia memegang tapak tangannya yang terluka akibat terkena kaca saat dia cuba keluar daripada longkang selepas menyelamatkan seekor anak kucing yang terjatuh.
Tawa Isyraq yang menyakitkan tidak dipedulikan Hamna. Tangannya sakit membuatkan dia tidak mampu untuk membalas kata- kata Isyraq. Air hujan yang menimpa tubuhnya membuatkan Hamna kesejukan. Sudah hampir lima belas minit dia berada di situ. Sudah hilang suaranya untuk meminta tolong, akhirnya mamat perasan bagus juga yang muncul. Bertambah sakit Hamna. Sakit hati!
Isyraq menghentikan tawanya. Dia memandang wajah Hamna yang sedikit pucat. Alahai, kesianlah pulak.
“ Kenapa dengan tangan kau?” soal Isyraq lagi.
“ Luka kena kaca,” balas Hamna pendek.
“ Kena kaca?” ulang Isyraq seolah- olah bertanya pada diri sendiri.
Lalu tanpa berlengah dia menghulurkan tangan pada Hamna untuk menarik gadis itu naik ke atas namun Hamna menghulurkan anak kucing yang dipegangnya pada Isyraq.
“ Anak kucing ni nak buat apa?” tanya Isyraq seakan menjerit. Aku nak selamatkan dia bukannya kucing ni. itu pun tak faham ke? Bebel hati Isyraq.
“ Kau selamatkan kucing ni dulu. Letak kat atas. Kesian dia jatuh dalam longkang. Nasib baik tak hanyut,” ujar Hamna. Wajahnya serius.
Isyraq terdiam. Erk? Masa ini pun kau boleh fikir pasal kucing? Sayang jugak kau dekat binatang. Hmmm…macam aku… bisik hati Isyraq. Tanpa disedari dia tersenyum sendirian.
“ Yelah- yelah,” ujar Isyraq lalu mengambil anak kucing yang dihulurkan oleh Hamna dan diletakkan di atas bangku. Kemudian, pandangannya dialihkan pada Hamna yang masih berada di dalam longkang. Memang Isyraq akui, longkang itu agak dalam malah ketinggian longkang itu melebihi ketinggian Hamna. Patutlah gadis itu sukar untuk naik ke atas. Turun pandai pulak, tapi nak naik hampir satu hari. Nasib baik air longkang itu tidaklah deras mana kalau tidak dengan Hamna dibawa arus air longkang.
Kemudian, Isyraq menghulurkan tangannya pada Hamna yang sudah berdiri. Namun, gadis itu masih membatukan diri. Isyraq pelik.
“ Kau kenapa? Aku tengah baik nak tolong ni, jangan sampai aku berubah hati. Ada jugak aku tinggalkan kau dalam longkang ni. Tidurlah sampai besok!” bentak Isyraq geram.
“ Tangan aku sakit, macam mana nak naik,” balas Hamna dengan wajah yang sayu. Air matanya hampir menitis apabila tapak tangan yang terluka tiba- tiba berdenyut.
“ Sebab itu aku suruh kau sambut tangan aku ni. Sekarang ni darurat. Tak ada orang lain yang boleh tolong kau selain aku jadi sambut jelah tangan aku ni!” ujar Isyraq sambil mengetap bibir. Geram.
“ Aku…aku…tak…” Hamna kehilangan kata. Dia memandang tangan Isyraq dengan lama. Takkanlah aku nak pegang tangan dia. Berdosa tu. Walaupun dalam keadaan darurat tapi aku tak sanggup nak bersentuhan dengan dia. Gelilah pegang tangan bukan muhrim! Bentak hatinya.
Isyraq yang seakan mengerti apa yang ingin dikatakan oleh Hamna mula memikirkan sesuatu. Lalu, dia berlalu meninggalkan Hamna menuju ke motornya.
Hamna cuak apabila melihat kelibat Isyraq suda hilang dari pandangan. Ke manalah dia pergi? Takkan dia tinggalkan aku? Takkanlah!
“ Is, jangan tinggalkan aku. Aku tak nak tidur dalam longkang ni. Is, tolong keluarkan aku dari sini!” jerit Hamna. Air matanya sudah mengalir laju.
“ Siapa kata aku tinggalkan kau? Aku ada je dekat sini,” suara Isyraq muncul kembali di hadapan Hamna. Lelaki itu tersenyum.
Hamna terpanar. Dalam keadaan itu pun dia masih sempat terpegun melihat senyuman Isyraq yang jarang-jarang dilihat. Jantungnya mula berirama indah. Ish, janganlah fikir bukan- bukan wahai hati.
Hamna tersedar apabila Isyraq menghulurkan tangan buat kali kedua tetapi kali ini tangan lelaki itu sudah siap bersarung tangan. Mungkin sarung tangan itu selalu digunakan oleh lelaki itu ketika menunggang motorsikal berkuasa tinggi miliknya. Hamna tersenyum nipis. Tahu pun kau!
“ Sekarang aku dah pakai protection jadi kulit kau takkan tersentuh kulit aku. Sarung tangan ni tebal jadi sekarang, sambut tangan aku cepat. Aku dah nak beku duduk dalam hujan ni,” arah Isyraq namun kali ini nada suaranya sudah kedengaran lembut.
Tanpa berlengah, tangan kiri Hamna menyambut huluran tangan Isyraq. Usah dicerita dadanya yang berdebar saat tangan itu mengenggam tangannya. Seakan mahu luruh semua organ dalaman. Namun, Hamna tersedar saat tubuhnya di tarik dengan kuat dan sekelip mata dia sudah berada di atas tanah bukan lagi di dalam longkang. Hamna menarik nafas lega.
“ Terima kasih, Is…” ucap Hamna ikhlas lalu duduk di atas bangku. Dia penat dan lesu tetapi hujan masih belum berhenti untuk dia kembali ke rumah sewanya.
Isyraq mendiamkan diri. Ucapan terima kasih daripada gadis itu hanya dibalas di dalam hati. Dia turut melabuhkan punggung di sisi Hamna. Wajah gadis itu yang comot dipandang lama sebelum tangannya menyeluk poket dan menyerahkan sehelai sapu tangan pada gadis itu.
“ Ambil ni and kesat muka kau. Dah macam orang gila aku tengok muka kau,” balas Isyraq bersahaja.
Hamna mencebik. Sempat lagi cakap aku orang gila? Nasib baik kau selamatkan aku, kalau tidak dah lama aku sembur kau balik. Desis hati Hamna. Dia menahan rasa geram. Sapu tangan yang dihulurkan diambil lalu dia mengesat wajahnya yang terasa melekit. Cermin mata yang sentiasa menghiasi wajahnya ditanggalkan dan diletakkan di atas bangku.
Isyraq mengambil kesempatan untuk memandang wajah gadis itu tanpa cermin mata. Comel, bisik hati Isyraq namun kata- kata itu hanya terlontar jauh di lubuk hatinya. Kemudian, matanya beralih pada tapak tangan gadis itu yang mengeluarkan darah. Dengan pantas tangan gadis itu dicapai.
Sepantas kilat juga Hamna menarik tangannya kembali. Apa ni pegang- pegang? Bentak hatinya. Dia menjeling tajam.
“ Aku pakai sarung tanganlah. Janganlah takut sangat. Aku Cuma nak tengok luka dekat tangan kau tu panjang mana,” jelas Isyraq. Kecut juga hatinya apabila dijeling oleh Hamna. Tapi dia suka. Hehehehe…
Hamna tidak membalas. Dia hanya menunjukkan tangannya pada lelaki itu dan apabila Isyraq cuba memegang, cepat- cepat Hamna menarik tangannya.
Isyraq mengeluh. Susah betullah perempuan ni. dah sakit pun nak ego lagi. Aku cepuk baru tahu. Bebel hati Isyraq.
“ Teruk jugaklah luka tangan kau tu. Aku rasa better kau pergi klinik sebelum apa- apa terjadi. Dahlah luka kau bercampur dengan air longkang, entah- entah kena jangkitan pulak,” ujar Isyraq dengan muka sengaja diseriuskan.
Hamna menelan air liur. Kena jangkitan? Agak- agak tangan aku kena potong tak? Hah, sudah habislah tangan aku. Bisik hati Hamna dengan wajah yang kelat.
“ Aku rasa luka kau ni mesti kena 14 ataupun 20 jahitan. Teruk sangat ni,” sambung Isyraq lagi sambil menilik tangan Hamna. Dia mengerling sekilas wajah Hamna yang kelihatan cuak. Wajah itu pucat tak berdarah. Namun, hati Isyraq bagaikan mahu pecah menahan gelak.
“ Ish, takkanlah luka kecil macam ni pun kena 14 jahitan, agak- agaklah kau nak tipu aku,” bidas Hamna berani namun suaranya tetap bergetar. Takut sebenarnya.
“ Kau nampak je kecil, tapi sebenarnya panjang. Dah, lebih baik kau ke klinik sebelum apa- apa yang buruk berlaku,” tambah Isyraq lagi.
Hamna menelan air liur buat kesekian kali. Ini yang buat aku malas ke klinik ni. Buatnya aku kena 20 jahitan tak ke haru hidup aku. Sakit tu!
“ Lepas aku balik rumah, aku pergi klinik,” balas Hamna.
Isyraq memandang tepat pada mata Hamna. Dia nak buat perangai degil dialah tu. Ingat aku tak tahu, kalau balik rumah, confirm dia takkan pergi klinik. Desis hati Isyraq.
“ Tak payah, aku boleh hantarkan kau ke klinik,” ucap Isyraq dengan suara mendatar.
Hamna mengerutkan dahi. Dia nak hantar aku ke klinik? Mimpi apa dia malam tadi? Atau aku yang bermimpi ni? Is Tiger nak hantar aku ke klinik? Huh, boleh masuk Malaysia Book’s of Record ni. bisik hatinya.
“ Tak payah susah- susah. Kau selamatkan aku kira dah bersyukur sangat. Aku boleh jaga diri aku,” balas Hamna.
Isyraq merengus. Boleh jaga diri konon, dia ni cakap je lebih tapi habuk pun tak ada. Dasar perempuan ego. Kalahkan lelaki saja lagaknya. Cebik Isyraq.
“ Kau tak payah nak banyak cakap, pandai jaga diri konon. Motor pun kau tak boleh nak bawak, inikan pula nak pergi klinik. Dah, pakai helmet ni sekarang!” perintah Isyraq dengan suara yang meninggi. Dia menyerahkan helmet yang diambil dari motor Hamna lalu diserahkan kepada gadis itu.
Hamna tercengang. Apa pula kali ni?
“ Nak buat apa pakai helmet ni. Aku nak tunggu hujan reda dulu baru aku nak balik,” balas Hamna. Namun, huluran daripada Isyraq tetap diambil. Dia merenung kosong helmet yang berada di tangan.
Isyraq meraup rambutnya yang basah ke belakang. Macam manalah aku nak cakap pada dia ni? Dia ni satu kenapalah bengap sangat? Aku tengah baik hati ni jangan sampai aku tukar fikiran sudah. Hati Isyraq berkata- kata.
“ Tak payah nak tunggu hujan bagai. Kau ikut aku balik rumah. Tangan kau tu sakit mana boleh bawak motor. Cuba dengar cakap aku dan jangan asyik nak tanya macam- macam. Sakit otak aku nak menjawab soalan kau tu!” marah Isyraq. Geram pun ada.
Hamna diam tidak terkutik. Hatinya memberontak namun kata- kata Isyraq ada benarnya juga. Tapak tangannya berdenyut membuatkan sukar untuk dia menggerakkan tangannya itu. Tapi perlu ke dia ikut Isyraq sampai ke rumah?
“ Rumah kau ke rumah aku?” soal Hamna spontan.
Isyraq menepuk dahi. Aduhai, minah ni. Takut sangat aku apa- apakan dialah tu.
“ Rumah nenek aku. Tentulah rumah aku!”
“ Tak nak aku pergi rumah kau. Tak manis!” bantah Hamna keras.
Isyraq mengeluh. Aku nak tolong pun payah ke?
“ Tak manis apa bendanya? Rumah tu ada mak aku, ayah aku dan adik- adik aku. Puas hati?!” tekan Isyraq sambil mengancing gigi.
‘ Kalau aku nak tolong, bukan main dia kira manis ke tak manis tapi kalau Elyas, cepat je dia terima. Aku tahulah aku tak sekacak Elyas tapi sekurang- kurangnya aku ada lagi sikap berperikemanusiaan pada dia.’ desis hati Isyraq.
“ Oh, habis tu kita nak naik apa pergi rumah kau?” soal Hamna lagi. Matanya terkebil- kebil memandang Isyraq yang kelihatan menggaru- garukan kepalanya. Gatal sangat ke kepala tu?
Isyraq melepaskan keluhan berat. Dia memicit dahinya yang berdenyut. Banyak betul soalan minah ni. Ada jugak aku cekik- cekik perempuan ni kan!
“ Kau ada nampak kereta BMW tak kat depan ni?” soal Isyraq memerli.
Dengan pantas Hamna menggelengkan kepala. Motor aku dengan motor dia adalah dekat sini.
“ Dah tu kita nak naik apa lagi kalau bukan dengan motor ni? Sekali lagi kau tanya, aku sepak muka kau!” balas Isyraq dengan kasar. Dia sudah tidak dapat menahan perangai lurus Hamna yang kadang- kadang menyakitkan hatinya itu.
Hamna terdiam namun kata- kata Isyraq hanya mengundang cebikan di bibir Hamna. Ingat aku takutlah tu. Aku dah lali dengan kata- kata dia yang kasar tu. Dah cair tahi telinga ni. Benak hatinya berkata- kata.
“ Hujan ni kan…” Hamna bersuara lagi. Dia ingat aku senang- senang nak naik motor dengan dia. Entah dia ni betul atau tak. Jangan- jangan dia nak bunuh aku, yelah aku selalu je sakitkan hati dia. Ish, seramlah pulak. Fikiran Hamna mula memikirkan perkara yang bukan- bukan menyebabkan bulu romanya meremang. Dia menggosok- gosok lengannya yang terasa seram sejuk.
Isyraq terdiam. Lalu dia menanggalkan jaket kulit yang dipakainya lalu diletakkan di belakang badan Hamna. Dia tidak melihat reaksi gadis itu sebaliknya dia melangkah menuju ke motornya dan menghidupkan enjin.
Hamna terkaku. Lidahnya kelu melihat perlakuan Isyraq yang kelihatan berlainan daripada kebiasaan. Dia rasa terharu namun dia cepat- cepat tersedar. Mungkin lelaki itu melakukan semua itu kerana simpati. Ya, kerana simpati. Bisik hati kecilnya cuba menyedarkan diri.
“ Yang kau tercegat dekat situ lagi, kenapa? Cepatlah. Aku dah sejuk beku ni!” laung Isyraq sambil memeluk tubuh yang menggigil kerana disirami air hujan.
“ Yelah- yelah!” balas Hamna lalu mencapai beg sandang dan kunci motornya sebelum merantai motornya. Tidak dilupakan juga kucing oren yang diselamatkan tadi turut dicapai sebelum dia melangkah menghampiri Isyraq.
“ Kenapa kau bawak kucing tu sekali?” soal Isyraq dengan kening yang terjongket.
Hamna tersengih.
“ Kesianlah kalau tinggalkan kucing ni dekat sini. Aku takut dia jatuh longkang lagi,” terang Hamna.
Isyraq menarik nafas panjang.
“ Ikut suka kaulah!” balasnya.
Hamna tersenyum manis. Lalu dia menghulurkan beg sandangnya pada Isyraq. Lelaki itu menurut tanpa banyak bicara malah beg sandang gadis itu disilangkan di bahunya.
Hamna tersenyum sendirian melihat tingkah Isyraq. Aku tak sangka lelaki segarang dan menjengkelkan macam kau ni rupa- rupanya baik jugak. rasa macam nak tercabut je hati aku sekarang ni. Desis hati Hamna.
Manakala Isyraq yang sedang menunggang motorsikal hanya mampu tersenyum. Dalam hatinya sudah berbunga- bunga.

BULAT mata Hamna melihat kawasan rumah Isyraq yang boleh dikatakan luas. Walaupun rumah teres dua tingkat namun kawasan rumah itu cukup besar. Mungkin disebabkan rumah lelaki itu di lot tepi. Hamna terpaku sangkar kucing yang terdapat di rumah lelaki itu. lalu dia menghampiri sangkar yang menempatkan lima ekor kucing Parsi. Takkan mamat ni suka kucing kut?
Isyraq hanya menggelengkan kepala melihat telatah Hamna yang tidak sabar- sabar untuk turun daripada motor namun bibirnya tetap mengukir senyuman saat bibir gadis itu menguntum senyuman.
“ Banyaknya kucing kau. Cantik- cantik pulak tu. Tentu mahal kau belikan?” ujar Hamna teruja. Dia berpaling ke belakang mencari Isyraq yang semakin mendekati.
“ Ini semua mama dan papa aku yang belikan. Aku dengan adik- adik Cuma tolong jagakan je,” balas Isyraq tersenyum.
“ Mesti seronok dapat main- main dengan kucing Parsi ni. Aku memang suka gila dengan kucing Parsi tapi nak beli memang taklah. Mahal gila kut. Lastly aku bela kucing biasa macam kucing ni,” balas Hamna ramah sambil mengusap kepala kucing yang mendiamkan diri.
“ Tak apalah, janji kau dah dapat buat kebajikan dengan membela semua kucing ni. Dapat pahala kan?” Isyraq tersenyum lagi. Dia memandang wajah Hamna yang ralit mencuit hidung kucing Parsinya yang berada di dalam sangkar. Dia tersenyum kecil. Kenapa aku tengok kau ni comel pulak walaupun cermin mata kau tu besar mengalahkan cermin mata Harry Potter. Bisik hati Isyraq.
Hamna mengangkat pandangan membuatkan anak mata mereka berlaga. Jantung Isyraq berdetak kencang lalu sepantas kilat dia melarikan pandangan ke tempat lain.
“ Errr…kau tunggu dekat sini sekejap boleh? Aku nak masuk dalam dulu, nak cakap dekat mama aku. Aku tak nak dia terkejut pulak aku bawak balik perempuan. Kau tunggu sekejap ye,” pinta Isyraq sebelum tergesa- gesa berlalu masuk ke dalam rumah tanpa menunggu jawapan daripada Hamna.
Hamna hanya mengangguk walaupun dia tahu Isyraq tidak nampak anggukannya itu. Kenapa dengan dia tu? Macam gelabah semacam je aku tengok. Bisik hati Hamna.
Lima belas minit kemudian, Hamna keluar dengan seorang wanita dalam lingkungan 40-an. Wanita itu tersenyum padanya lalu Hamna membalas senyuman itu dengan seikhlas mungkin. Mesti ini mama Isyraq. Detik hati Hamna.
“ Inilah kawan along, mama. Namanya dia Ezlaili Hamna, mama boleh panggil Hamna je,” Isyraq mengenalkan Hamna pada ibunya.
“ Oh, Ezlaili Hamna, sedap nama tu…jemputlah masuk. Along pun kenapa dibiarkan kawan tu duduk dekat luar. Hujan ni kan tentu sejuk,” ucap Puan Liza dengan senyuman ramah.
“ Along takut mama marah je along bawak balik kawan perempuan,” ucap Isyraq dengan suara cukup lembut. Sampaikan Hamna bagaikan cair mendengar bahasa lelaki itu gunakan apabila bercakap dengan mamanya.
“ Ish, takkanlah mama nak marah pula. Kawan kamu kan sakit. Dah pergi bawak kawan kamu tu masuk, jangan lupa beri tuala sekali. Dah basah lencun mama tengok,” ujar Puan Liza lagi.
Hamna hanya mendiamkan diri. Tidak berani untuk menyampuk perbualan dua beranak itu. Namun, pandangan Isyraq menganggu lamunan Hamna.
“ Dah jomlah masuk. Bawak kucing tu sekali. Nanti aku beri makanan,” ucap Isyraq sambil mempelawa Hamna untuk masuk.
“ Tapi baju aku kotor…”
“ Tak apa Hamna, kamu boleh mandi dulu. Nanti mak cik berikan baju mak cik….”
“ Eh, tak payahlah mak cik, menyusahkan aje. Saya….”
“ Menyusahkan apanya. Baju mak cik zaman muda- muda dulu banyak jadi tak tahu nak berikan pada siapa. Alang – alang kamu ada,apa salahnya mak cik berikan,” pintas Puan Liza.
Hamna serba salah. Dia memandang wajah Isyraq. Lelaki itu hanya mengangguk dan tersenyum membuatkan Hamna mengalah.
Saat melangkah masuk ke dalam rumah Isyraq sekali lagi Hamna terpegun. Rumah yang berpenghawa dingin itu cukup kemas dan bersih. Malah bau haruman lavender mencucuk- cucuk hidung Hamna sehingga menjemput rasa tenang di hati. Hamna hanya berdiri,  anak kucing yang diselamatkan telah diserahkan pada Isyraq yang menghilangkan diri entah ke mana. Dia berasa sedikit kekok berada di dalam rumah itu. Mana adik- adik Isyraq?
Hamna terpandangkan gambar keluarga yang tergantung di dinding. Kelihatan Isyraq bersama mama dan papanya sambil diapit oleh dua lagi budak lelaki yang masih kecil. Wajah mereka seiras namun kulit adik- adik Isyraq lebih putih berbanding Isyraq yang hanya berkulit sawo matang. Hamna melihat gambar lelaki itu yang mengukir senyuman dan tanpa sedar dia turut membalas senyuman itu.
“ Apa yang disenyumkan sangat tu. Aku tahulah aku yang paling kacak dalam gambar tu, tak payah tenung lama- lama nanti merana,” sampuk satu suara menyentak lamunan Hamna. Dia berpaling. Alamak, Isyraq! Malunya!
“ Mana ada aku senyum, mulut aku lenguh je itu yang aku senyum tanpa sedar tu…” balas Hamna cuba menutupi rasa malu yang bermain di jiwa.
Isyraq ketawa kecil mendengar alasan yang diberikan oleh Hamna. Dia menghampiri gadis itu lalu sehelai tuala dan sepasang baju kurung diberikan pada gadis itu yang kelihatan terpinga- pinga.
“ Kau ambil tuala dengan baju ni lepas tu kau pergi mandi dekat bilik sebelah tangga tu…” arah Isyraq sambil merenung anak mata Hamna yang terselindung di sebalik cermin mata.
“ Aku seganlah. Tak payahlah erk. Aku balik jelah,” Hamna berterus-terang. Memang dia cukup segan dengan lelaki itu saat ini. 
“ Kau tak payah nak segan- segan sangatlah. Aku cakap pergi mandi tu pergi jelah. Bau dah macam longkang ada hati tak nak mandi! Sakit hidung aku dengan bau kau yang macam apa entah!” ucap Isyraq dengan kasar. Matanya dijengilkan. Mungkin dengan cara itu Hamna akan mengikut kata- katanya. Cakap lembut tak jalan, inilah jelah caranya.
Hamna mencebik benci. Terus saja dia merampas tuala dan baju daripada tangan Isyraq tanpa dia sedari gelang tangan yang dipakai terlurut jatuh. Dengan rasa bengang, Hamna melangkah menuju ke bilik yang ditunjukkan oleh Isyraq tadi.
Isyraq tersenyum kemenangan melihat Hamna yang menghilangkan diri di sebalik pintu. Namun, senyumannya mati saat terpandangkan seutas gelang tangan berwarna silver terdampar di lantai. Lalu, Isyraq membongkokkan badan. Gelang tangan itu dicapai.
‘ Ini macam aku punya. Macam mana boleh ada dengan dia?’