Minggu, 30 Maret 2014

Rebah Di Tirai Cinta ( Bab 18 )



“AWAK nak ke mana?” soal Syahid apabila melihat Laila yang kelihatan cantik dengan mengenakan gaun malam berwarna merah menyerlahkan lagi kulitnya yang putih kemerahan. Rambut gadis itu yang panjang disanggul tinggi membuatkan Laila kelihatan sangat cantik di mata Syahid. Tetapi seperti kebiasaannya, pakaian yang dikenakan oleh Laila sungguh menyakitkan matanya.
“Aku nak keluar sekejap,” balas Laila. Dia menuju ke pintu utama tanpa menghiraukan Syahid yang duduk menonton televisyen di ruang tamu.
“Tapi inikan dah malam. Bahaya awak keluar sorang-sorang. Awak duduk rumah jelah,” ujar Syahid cuba berlembut.
Sejak peristiwa ragut tempoh hari, dia lihat sikap Laila semakin positif. Gadis itu sudah jarang menengking malah setiap kali bertentangan mata, pasti Laila akan cuba mengelak.
“Aku kena keluar juga. Malam ni birthday party anak Datuk Hasyim, aku kena pergi. Kau duduk jelah rumah. Jangan kongkong aku boleh tak?” Laila mula meninggikan suara. Dia mendengus bosan.
Syahid melepaskan keluhan. Dia bangun dan mendekati Laila yang sudah berpeluk tubuh.
“Saya tak ada niat nak kongkong awak tapi saya cuma nak ingatkan yang awak tu isteri saya. Saya tak suka awak keluar malam, lepas tu balik sampai lewat pagi. Saya rasa partyni tak penting pun kan?”
“Bagi kau memanglah tak penting tapi penting pada aku. Anak kekasih aku nak sambut ulang tahun takkan aku tak pergi. Itulah kau, kampung sangat. Semua benda kau tak tahu,” tempelak Laila.
Syahid menahan rasa hati. Dia tetap mengukir senyuman dan terus bersabar dengan setiap patah yang terbit daripada mulut Laila.
“Memanglah saya tak tahu kalau awak tak bagitahu saya. Baiklah, kalau awak nak pergi sangat boleh. Tapi saya nak ikut sekali,” ujar Syahid memberi cadangan.
“Kau jangan nak merepek. Tangan kau tu tak sembuh lagi.” Halang Laila.
Syahid tersenyum kemudian dia menundukkan sedikit wajahnya dan merenung anak mata Laila yang coklat cair.
Pantas, Laila terus terdiam dipanah dengan renungan itu. Bulat matanya membalas pandangan Syahid. Hilang terus segala kata-kata yang ingin diungkapkan pada Syahid.
“Saya tak kisah tentang diri saya. Apa yang penting adalah awak. Kalau awak tak nak mengaku saya suami awak pun, saya tak kisah asalkan saya ikut awak. Awak nak cakap saya bodyguardawak pun tak mengapa,” ucap Syahid lembut.
Laila terkelu. Senyuman Syahid menganggu ketenangan hatinya. Dia ingin bersuara tetapi tiada apa yang terkeluar.
“Ikut suka kaulah. Tapi kau jangan nak ganggu aku dengan Datuk Hasyim.” Laila memberi amaran.
Syahid hanya menganggukkan kepala dan tersenyum. Dia meneliti penampilan Laila yang tidak berkenan di matanya.
“Awak tunggu sekejap,” halang Syahid sambil memaut lengan Laila.
Langkah Laila terhenti. Dia memandang wajah Syahid dengan dahi yang berkerut.
“Kau nak apa lagi ni? Aku dah lambatlah…” bebel Laila geram.
“Awak tunggu sekejap, nanti saya datang semula.” Ucap Syahid.
Dia berlalu ke dalam biliknya sebelum kembali dengan membawa satu beg plastik lalu dihulurkan pada Laila.
“Apa ni?” soal Laila pelik. Dia memandang beg plastik dan wajah Syahid silih berganti.
“Dah lama saya nak bagi awak ni. Tanggungjawab saya sediakan makan dan pakai awak. Saya harap awak suka,” ujar Syahid dengan senyuman mekar di bibirnya.
Laila mencebik namun tangannya tetap menyambut huluran daripada Syahid. Dia menyeluk ke dalam beg plastik tersebut sebelum tangannya terhenti apabila tersentuh sesuatu yang lembut. Perlahan-lahan, dia menarik barang tersebut.
Terlurut jatuh sehelai selendang berwarna merah daripada beg plastik tersebut membuatkan Laila sedikit terkelu. Namun, sebaik saja melihat selendang itu, tiba-tiba dadanya berombak. Dia nak perli aku ke apa ni? soal hati Laila marah.
“Apa maksud kau bagi aku selendang ni?” soal Laila sambil matanya melotot memandang wajah Syahid.
“Saya tak ada apa-apa maksud. Saya suka tengok awak pakai tudung macam awak pakai masa akad nikah kita dulu,” ujar Syahid jujur.
Laila tersenyum sinis. Sebelum senyumannya bertukar ketawa.
“Kau ni sedar diri tak? Kau sedar tak yang kau ni tak dapat nak bezakan antara realiti dan mimpi. Kau ingat dengan kau bagi aku selendang macam ni, hati aku akan cair? Fikir tu guna otaklah, Syah. Lelaki macam kau, tak ada seorang perempuan pun suka. Loser. Kau hidup pun atas ehsan waled. Sedar sikit!” ujar Laila tiba-tiba.
Syahid menahan rasa sakit hatinya. Apa lagi yang mampu dia lakukan sewaktu berhadapan dengan Laila selain kesabaran?
“Ya, saya sedar. Tapi salahkah kalau saya nak hadiahkan sesuatu untuk isteri saya?” soal Syahid pula.
“Hadiah? Ini kau cakap hadiah? Kau nak suruh aku pakai tudung, macam tu? Kau nak suruh aku ikut telunjuk kau? Kau silaplah, Syah. Memang aku terhutang budi pada kau sebab selamatkan aku hari itu tapi itu tak bermakna kau dapat menguasai aku!” bentak Laila marah. Wajahnya berubah merah.
“Tapi tak salah pun kalau awak pakai tudung. Itu kewajipan awak sebagai seorang wanita Islam,” balas Syahid dengan nada yang lembut.
Laila merengus. Dia mengetap bibir.
“Aku paling pantang kalau ada orang cuba nak tunjuk lagak dengan aku. Aku nak pakai ke tak nak pakai ke, itu hal aku. Kau jangan nak menyibuk!” tingkah Laila.
“Kau tahu tak, setakat selendang macam ni. Elok buat lap kaki je,” sambung Laila.
Lalu, dengan selamba dia menghempas selendang tersebut ke lantai dan memijak-mijak selendang tersebut di hadapan mata Syahid yang kelihatan tercengang-cengang.
Luluh hati Syahid melihat pemberiaannya diinjak-injak oleh Laila tanpa hati dan perasaan. Salah ke kalau hadiah kecilnya itu dihargai walaupun gadis itu tidak sudi menerima? Sungguh, hati Syahid cukup terluka. Sangat terluka dengan perbuatan Laila kali ini.
“Cukup, Laila! Saya tak sangka, awak gadis yang kejam! Saya sangka saya kenal awak tapi saya silap. Saya takkan pernah kenal awak. Baiklah, awak benci sangat tengok muka saya kan? Awak menyampah dengan saya kan? Lepas ni awak takkan tengok muka saya lagi!” ujar Syahid dengan suara yang meninggi.
Laila terdiam seketika. Dia kurang mengerti dengan apa yang dikatakan oleh Syahid. Dia menunggu bicara Syahid yang seterusnya.
“Sudah cukup saya bersabar dengan kerenah awak selama ini. Sudah cukup perhatian yang saya berikan pada awak tapi awak tak pernah nak hargai saya. Awak tak pernah nampak kasih sayang yang saya cuba tunjukkan pada awak. Saya menyesal. Saya menyesal kerana kenal dengan perempuan yang ego kalahkan saya yang lelaki ini. Awak nak sangatkan berpisah dengan saya? Awak tentu gembira kalau saya tak ada kan? Baiklah, saya akan puaskan hati awak. Saya akan ikut kemahuan awak,” ujar Syahid lagi.
Laila terpempan. Kenapa hatinya cukup gusar dengan kata-kata yang bakal diungkapkan oleh Syahid? Bukankah sepatutnya dia gembira jika Syahid melepaskannya?
“Awak jangan risau, saya takkan ceraikan awak. Tapi awak takkan melihat wajah saya lagi dalam rumah ni. Ini kemewahan yang awak nak kan? Awak duduklah dengan kemewahan awak ni seorang diri. Awak bergembiralah sesuka hati awak. Awak pergilah ke mana saja yang awak nak pergi. Saya izinkan. Saya takkan sesekali kembali ke rumah ni lagi!” Syahid memberi kata putus.
Lantas, dia berlari-lari anak ke biliknya yang berada di bawah tangga. Dia mengemaskan segala pakaiannya. Dia sudah nekad. Dia sudah tidak mampu bertahan dengan keegoan Laila kali ini. Biarlah dia mengundur diri jika itu mampu membahagiakan gadis itu.
Syahid kembali. Dia berhenti sejenak di muka pintu. Dia melihat Laila yang tidak berganjak daripada tempatnya berdiri.
“Saya harap satu hari nanti awak sedar yang harta tidak mampu membeli kasih-sayang. Harta tidak mampu membeli cinta malah harta tidak mampu untuk membeli hati. Hiduplah sesuka hati awak kerana saya sudah tidak mampu untuk menjadi mimpi ngeri awak. Saya nak awak hidup bahagia dengan cara awak tanpa saya.” Ucap Syahid buat terakhir kalinya sebelum kakinya melangkah meninggalkan rumah mewah itu.
Laila tergamam. Tiada lagi suara Syahid. Tiada lagi bisikan romantis lelaki itu. Kini tinggallah dia keseorangan dalam rumah yang cukup besar. Sunyi dan sepi. Itulah yang dirasakan saat ini.

“APA Syah? Kau lari dari rumah?” soal Haraz sebaik saja Syahid melangkah masuk ke dalam rumah sewa miliknya.
Syahid hanya menganggukkan kepala dan meletakkan beg sandangnya di atas sofa. Dia menyandarkan belakang badannya di sofa sambil belakang tangannya diletakkan di atas dahi.
“Tuan haji tahu tak pasal ni?” soal Haraz lagi.
Syahid menggelengkan kepala. Kalau Haji Azhar tahu tentu lelaki itu kecewa dengan keputusannya. Tapi dia sudah pun membuat keputusan dan dia tidak akan sesekali berganjak dengan keputusannya.
“Tapi Cik Laila tu isteri kau. Takkan kau nak biarkan dia tinggal sorang-sorang dalam rumah tu?” soal Haraz tidak berpuas hati apabila Syahid hanya mendiamkan diri.
“Dah itu yang dia nak. Aku ada dalam rumah tu pun buat menyakitkan mata dia je. Biarlah aku keluar barulah hidup dia aman sikit. Aku tak tahan dengan perangai ego dia. Banyak kali aku cuba lembutkan hati dia, tapi dia tetap macam tu. Daripada hati aku sakit, lebih baik aku cabut. Lagipun dia takkan sedih kalau aku tinggalkan dia. Dia lagi suka sebab tak tengok muka aku ni,” ujar Syahid selamba.
“Kau tahu kan tanggungjawab kau untuk bimbing dia. Kalau kau biarkan dia begini terus, tentu dia akan terus hanyut.” Komen Haraz.
Satu keluhan terbit daripada mulut Syahid. Dia memicit dahinya yang terasa berdenyut.
“Hati dia sangat keras, Raz. Dia yang tidak mahu berubah. Dia yang tak mahu buka hati dia untuk aku bimbing dia. Sedangkan hidayah juga perlu dicari inikan pula nak berubah. Susah nak lenturkan orang yang keras kepala macam dia. Mungkin bila berjauhan macam ini adalah cara terbaik untuk aku dan dia. Aku pun ada ego. Takkan selamanya aku nak tunduk pada perempuan yang keras kepala macam tu. Aku ada maruah. Aku ada harga diri walaupun dia dah campakkan maruah aku dalam longkang,” tegas Syahid.
Haraz menganggukkan kepala. Memang selama ini dia melihat Syahid terlampau berlembut dengan Laila. Walau banyak mana Laila memarahinya, Syahid tetap tersenyum tapi sekarang Haraz tahu, kesabaran Syahid sudah sampai takatnya.
“Sekarang masa untuk kau junjung kembali ego kau, Syah. Jika dengan berjauhan macam ini mampu mengajar dia erti kasih-sayang kau, dia akan berubah dengan sendiri.” Ujar Haraz memberi semangat. Bahu Syahid ditepuk lembut.
Syahid tersenyum hambar. Dia meraup wajahnya. Sungguh, hatinya masih sakit. Jiwanya masih terluka. Sukar untuk melupakan, apatah lagi untuk memaafkan segala-galanya yang dilakukan oleh Laila terhadapnya. Setiap manusia diberi kesabaran tetapi setiap kesabaran pasti ada batasnya.
“Aku tak rasa dia akan berubah. Biarlah dia dengan cara dia dan aku dengan cara aku. Boleh tak kalau aku nak tinggal dekat sini? Aku nak sewa bilik dekat sini, boleh?” soal Syahid mengharap.
Haraz tersenyum senang. Dia menumbuk lembut bahu Syahid.
“Boleh sangat, Syah. Aku lagi suka bos aku sendiri menyewa dengan aku.” ucap Haraz sambil ketawa kecil.
Syahid ikut tertawa. Tetapi tawanya kedengaran sumbang. Dia ingin melupakan Laila daripada fikirannya. Biarlah dia teruskan hidup tanpa dibayangi dengan wajah gadis itu. Wajah yang cantik tapi sangat menyakitkan hatinya.
“Terima kasih, Raz. Aku bosan kalau sewa rumah lain. Bila ada kau bolehlah jadi teman untuk aku berbual. Kau tak kisah kan?” soal Syahid lagi.
“Kau ni tak payahlah nak buat drama air mata depan aku. Aku lagi suka kalau kau tinggal dengan aku lagipun baru bulan lepas kawan yang menyewa sekali dengan aku ni balik kampung ni. Jadi memang ada bilik kosong. Aku ingat esok nak buat iklan, tetapi kau dah masuk hari ni, kira rezekilah tu.” Jawab Haraz sambil tersengih.
Syahid tersenyum hambar. Dia cukup berhutang budi dengan Haraz saat ini.
“Terima kasih, Raz. Aku nak lupakan segalanya. Aku nak mulakan hidup baru,” ujar Syahid.
“Itulah yang seeloknya, Syah. Satu saja kelemahan kau ni, kau terlalu baik sampaikan orang senang nak pijak kepala kau. Sebagai lelaki kau kena tunjuk ego kau sikit. Kau kena berkeras. Kau kena tegas dan kau kena agresif. Tak salah jadi baik tapi jangan sampai orang ambil kesempatan,” nasihat Haraz.
Syahid termenung seketika. Apa yang dikatakan Haraz ada benarnya. Mungkin sudah tiba masanya untuk dia bertegas.
“Tapi kan, aku peliklah dengan kau ni. Selalunya perempuan je lari dari rumah tapi ini terbalik pulak. Kau pulak yang lari dari rumah. Kelakarlah!” sambung Haraz lagi cuba menceriakan suasana. Dia ketawa lepas.
Syahid menumbuk lembut perut Haraz. Dia turut ketawa.
“Dah nasib badan, Labu!” balas Syahid ketawa. Haraz ikut ketawa.

LAILA merenung kolam renang di rumah Datuk Hasyim yang dipenuhi dengan balon-balon yang berwarna-warni. Nampak cantik dengan dihiasi dengan lilin disekelilingnya. Tetapi keindahan hiasan itu tidak mampu memadamkan rasa gundah yang merantai hatinya sejak Syahid melangkah keluar dari rumahnya.
“Awak jangan risau, saya takkan ceraikan awak. Tapi awak takkan melihat wajah saya lagi dalam rumah ni. Ini kemewahan yang awak nak kan? Awak duduklah dengan kemewahan awak ni seorang diri. Awak bergembiralah sesuka hati awak. Awak pergilah ke mana saja yang awak nak pergi. Saya izinkan. Saya takkan sesekali kembali ke rumah ni lagi!”
Kata-kata Syahid kedengaran di telinganya menambah lagi rasa gusar dalam hatinya. Kenapa aku perlu rasa bersalah seperti ini? Bukankah ini yang aku mahukan? Aku mahu bebas daripada terus dikongkong oleh dia dan sekarang aku dah bebas. Dia dah keluar daripada hidup aku. Tak ada sesiapa yang akan ganggu aku lagi. Hubungan ini dah tamat. Detik hati Laila.
Tetapi kenapa rasa bersalah ini perlu ada? Soal hatinya. Lalu, Laila membuang pandangan ke langit yang gelap. Kelihatan bulan bersinar menerangi malam. Lama dia Laila merenung bulan itu sebelum bulan itu bertukar dengan wajah Syahid. Laila tersentak. Lantas dia menggosokkan matanya beberapa kali.
“Hai, sayang. Kenapa duduk kat sini sorang-sorang?” soal satu suara membuatkan Laila berpaling. Dia tersenyum hambar pada Datuk Hasyim yang semakin mendekat.
“You sibuk sangat layan tetamu dekat depan tu, sampai tak sempat nak layan I jadi I bawaklah diri ke sini,” jawab Laila dengan senyuman paksa terukir di bibirnya.
Datuk Hasyim tersenyum manis. Dia menjeling ke belakang sebelum kembali menatap wajah Laila yang kelihatan cukup cantik malam ini. Dia bimbang jika isteri pertamanya itu dapat mengesan ketiadaannya di ruang depan.
“Bagus juga you tunggu I dekat sini. Kat depan tu ramai orang. Tak dapatlah I nak bermanja dengan you,” ujar Datuk Hasyim mula menggatal. Dia mencapai tangan Laila lalu digenggam erat.
Laila hanya membiarkan perbuatan Datuk Hasyim.
“Isteri you tak tahu ke yang I datang? Isteri muda you datang tak?” soal Laila inginkan kepastian.
Masih segar diingatannya sewaktu dia diserang oleh isteri muda Datuk Hasyim. Mujur Syahid ada ketika itu kalau tidak pasti berbirat mukanya ditampar oleh isteri Datuk Hasyim yang garang itu. Laila mengeluh, kenapa harus Syahid juga yang diingatinya saat ini?
“Rasanya tak datang. Isteri tua I tak jemput pun. You jangan risaulah, isteri tua I ni taklah garang sangat. Dia takkan perasan yang you bakal madu dia. Mamatkampung tu mana? Dia tak ikut ke?” soal Datuk Hasyim sambil matanya melilau-lilau mencari kelibat Syahid.
“Dia tak ada. Dia dah keluar dari rumah I. Dia takkan kacau I lagi…” ujar Laila sambil pandangannya ditundukkan.
Bulat mata Datuk Hasyim memandang wajah Laila. Dia bagaikan tidak percaya dengan berita yang didengarinya ini.
“Serius? You tak bohong ke? Dia dah ceraikan you?” soal Datuk Hasyim teruja. Matanya kelihatan bersinar kegembiraan.
“Belum lagi. Tapi dia dah keluar dari rumah tu. Dia janji takkan kacau hidup I lagi,” ujar Laila dengan senyuman yang cukup hambar.
Namun tidak bagi Datuk Hasyim. Dia cukup gembira mendengar berita itu.
Thank God! I’m happy for you. This is a good news for us!” ucap Datuk Hasyim.
Lalu tanpa segan silu dia menarik Laila ke dalam pelukannya. Dia cukup gembira kerana tiada lagi halangan untuk dia berjumpa dengan Laila.
“Abang!!” jerit satu suara mengejutkan Datuk Hasyim dan Laila. Kedua pasangan itu berpaling. Kelihatan Datin Syima berdiri di hadapan mereka berdua dengan bercekak pinggang. Alamak! Mati aku! Jerit hati Datuk Hasyim.
“Ini kerja abang belakang saya, ya? Kalau Izah ni tak datang, saya takkan tahu yang abang ada skandal dengan betina lain!” tengking Datin Syima kuat.
Beberapa orang yang datang bersama Datin Syima memandang Laila dengan pandangan jijik.
“Kalau akak nak tahu betina tu dah kahwin tapi masih nak menggatal dengan suami kita. Memang dasar perempuan sundal!” jerit Puan Izah pula, isteri kedua Datuk Hasyim dengan bahasa yang kesat.
Laila menahan rasa perit apabila dihina sebegitu rupa.
“Syima, Izah, sudahlah tu malu orang tengok,” ujar Datuk Hasyim cuba menghentikan pertengkaran mereka bertiga.
“Malu? Abang tahu malu ke? Berpelukkan dengan perempuan murahan tu depan orang ramai. Abang ingat kami ni apa? Tak cukup lagi ke kami ni bang sampaikan abang simpan betina tu!” tambah Datin Syima dengan wajah yang garang kalahkan singa betina.
Laila menarik nafas menghimpun kesabaran. Berdesing telinganya dimaki sebegitu.
“I bukan perempuan murahan dan I bukan perempuan simpanan Abang Hasyim. I bakal isteri dia!” Laila bersuara dengan tegas. Dia memeluk tubuh.
“Bakal isteri?!” suara Datin Syima dan Puan Izah serentak. Darah sudah mula menyirap.
“Perempuan ni dah meroyan, Kak Syima. Kita kena ajar dia,” bisik Puan Izah dekat ke telinga Datin Syima.
Datin Syima menganggukkan kepala. Lalu dia menghampiri Datuk Hasyim dan Laila. Dia menarik cuping telinga Datuk Hasyim dengan kuat sebelum Puan Izah bertindak pantas menampar pipi Laila dan menolak tubuh gadis itu ke dalam kolam.
Argggghhh!!” Laila menjerit.
Manakala Datuk Hasyim hanya mampu memandang kerana telinganya dipulas kuat oleh Datin Syima.
“Makan pun saya yang tanggung, ada hati nak kahwin lagi satu. Sedar diri sikit Datuk Hasyim oiii. Kalau bukan disebabkan saya, awak takkan jadi datuk!” tempelak Datin Syima lalu menarik Datuk Hasyim ke dalam rumah.
“Sakit, yang. Sakit. Lepaslah. Malu orang tengok…” ujar Datuk Hasyim sambil cuba meleraikan tangan Datin Syima daripada terus memulas telinganya.
“Sakit telinga sikit je. Sakit hati saya ni lagi teruk. Ikut saya masuk sekarang!” tengking Datin Syima lalu menarik Datuk Hasyim sehingga ke dalam rumah.
Manakala itu, Puan Izah puas melihat Laila yang terkapai-kapai di dalam kolam renang. Habis lencun satu badan gadis itu tenggelam dalam kolam renang. Itulah padahnya kalau menggatal dengan suami orang.
“Kau dengar sini perempuan sundal. Aku tak nak tengok kau dekat dengan laki aku lagi. Kalau aku nampak kau dekat dengan dia, aku tak teragak-agak nak simbah asid dekat muka kau tu!” ugut Puan Izah sambil meluruskan jari telunjuknya ke muka Laila.
Laila merengus. Sakit hatinya kerana dikena cukup-cukup oleh Puan Izah.
“Aku peduli apa!” balas Laila berani.
Melotot mata Puan Izah memandang wajah Laila yang merah. Amboi, melawan nampak. Detik hatinya. Lalu, Puan Izah menunduk. Dia melihat Laila semakin menghampiri tebing kolam, lalu dengan selamba dia menarik rambut Laila dengan kuat. Jeritan gadis itu tidak dipedulikan.
“Jangan cuba cari pasal dengan aku, perempuan. Kau tak kenal aku lagi. Aku boleh buat hidup kau menderita kalau kau cuba rapat dengan laki aku lagi. Kali ni aku lepaskan kau. Tapi tidak untuk lain kalinya. Kau perempuan, kau tentu faham perasaan perempuan macam aku. Jangan pernah kau sakiti hati orang lain, kalau kau tak nak hati kau sakit. Faham!” tengking Puan Izah lalu melepaskan cengkaman daripada rambut Laila.
“Ahhhh!!!” Laila menjerit sebaik saja Puan Izah berlalu meninggalkan dia yang terkial-kial untuk naik ke tebing.
“Apa tengok-tengok? Tak pernah tengok orang mandi kolam ke?!” tengking Laila pada beberapa orang yang masih memandang dia. Malu. Itulah yang dirasakan saat ini.
“Perempuan gila. Jomlah blah.”
Bunyi suara itu singgah di telinga Laila. Lantas dia menjeri bagaikan dirasuk. Dengan baju yang basah kuyup. Dengan solekan yang luntur, Laila berlari-lari anak ke keretanya. Dia melangkah masuk ke dalam kereta. Stereng kereta ditumbuk dengan tangannya.
Arghhhh!!!” dia menjerit lagi sambil menekup wajahnya di stereng. Inilah kali pertama dia dimalukan sebegini rupa dalam hidupnya. Tanpa sedar dia sudah menangis teresak-esak.
Tiba-tiba, dia terasa bahunya disentuh lembut. Laila tersentak dan berpaling. Dia terpaku apabila melihat Syahid yang duduk di sisinya. Lelaki itu tersenyum manis malah wajah itu cukup tenang di mata Laila.
“Syah…macam mana kau boleh ada dekat sini?”  soal Laila sambil mengesat air matanya.
Namun, Syahid hanya mendiamkan diri. Hanya senyuman yang terukir di bibir.
“Syah, kenapa tak jawab soalan aku?” soal Laila sambil cuba memegang tangan Syahid. Tetapi tiba-tiba tubuh Syahid menghilang. Laila tersentak. Dia memandang ke depan dan belakang mencari kelibat Syahid. Ke mana lelaki itu pergi?
“Syah! Syah!” panggil Laila sambil meraba-raba tempat duduk di sebelah pemandu yang kosong. Ruang kereta itu sunyi sepi. Tiada orang lain selain dia apatah lagi Syahid. Laila melepaskan keluhan yang berat.
Adakah ini balasan untuk dosa aku pada kau, Syah? Soal hati Laila dengan tangisan yang semakin menjadi-jadi. Dia kesunyian sekarang ini. Tiada sesiapa pun yang menemaninya apatah lagi ingin memujuk dirinya yang sedang kesedihan.
 “Saya nak awak hidup bahagia dengan cara awak tanpa saya.”
“Jangan pernah kau sakiti hati orang lain, kalau kau tak nak hati kau sakit.”
Kata-kata itu terus bermain di fikiran Laila seperti pita rakaman yang memutarkan lagu. Akhirnya, Laila menjerit. Hanya itu yang mampu dia lakukan untuk meluahkan rasa hatinya yang terluka.