Jumat, 02 Mei 2014

Rebah Di Tirai Cinta ( Bab 19 )



PAK MAN menekan loceng rumah banglo tiga tingkat itu. Dia melihat kereta Audi A4 milik Laila tersadai di garaj tetapi dia pelik kerana motorsikal milik Syahid tidak kelihatan. Takkan Syahid dan pergi restoran? Detik hati Pak Man.
Mata Pak Man merenung pintu rumah yang terukir cantik ini. Sudah penat dia menekan loceng tapi pintu tetap tidak terbuka lalu Pak Man mengambil keputusan untuk memulas tombol pintu. Dia terkejut apabila pintu tersebut tidak berkunci.
Lalu, Pak Man melangkah masuk ke dalam rumah setelah menanggalkan seliparnya. Matanya melilau-lilau memandang ruang rumah Laila yang besar dan mewah. Walaupun rumah itu cukup besar tapi sayangnya rumah itu sunyi sepi.
“Laila!” panggil Pak Man kuat.
Pak Man menjenguk ke ruang dapur. Kosong. Dia menjenguk ke ruang rehat, tetap kosong.
“Ke mana pula Laila ni pergi?” soal Pak Man sendirian.
Lalu, Pak Man mendaki tangga menuju ke tingkat atas. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah banglo milik Laila, semua pintu bilik dibuka semata-mata untuk mencari Laila.
Langkah Pak Man terhenti apabila dia membuka pintu bilik tidur utama. Dia melihat sekujur tubuh yang berselimut tebal. Dia yakin itu pasti Laila. Lalu, Pak Man menghayunkan langkah mendekati Laila. Dia duduk di birai katil.
“Laila…” panggil Pak Man lembut sambil menyentuh selimut tebal yang membaluti tubuh Laila.
Laila tidak menyahut. Sebaliknya dia hanya kaku di dalam selimut.
“Laila, ini Pak Man…” ucap Pak Man sambil menarik selimut Laila dengan perlahan-lahan.
Alangkah terkejutnya Pak Man apabila melihat bibir Laila yang terketar-ketar sedangkan mata gadis itu terpejam rapat. Lalu, Pak Man meletakkan telapak tangannya di atas dahi Laila.
“Ya Allah, panasnya!” Pak Man terjerit kecil. Dia mula kelam-kabut. Saat ini dia teringatkan Syahid. Sejak dia datang, dia masih belum melihat kelibat Syahid. Ke mana lelaki itu pergi? Soal hati kecil Pak Man.
“Laila, bangun nak. Ini Pak Man. Laila demam ni. Kita pergi klinik ya,” ujar Pak Man sambil mengejutkan Laila yang sedang tidur.
“Taakk..naaakk…” gumam Laila dalam tidurnya. Kemas dia memeluk selimut. Tubuhnya menggigil kerana kesejukan sedangkan badannya sudah berpeluh menahan panas.
“Laila tak boleh macam ni, sayang. Laila tak sihat ni. Kalau tak pergi klinik, macam mana nak sihat?” soal Pak Man dengan lembut. Dia mengelus rambut Laila.
Perlahan-lahan, Laila membuka mata. Pandangannya tertancap pada wajah Pak Man yang sebaya dengan Haji Azhar.
“Pak Man jangan ganggu saya. Pak Man pergi balik. Pak Man sama dengan lelaki tu. Semua tak sayangkan saya! Semua dah tinggalkan saya! Pergi! Jangan ganggu saya!” jerit Laila tiba-tiba dengan air mata yang berderaian.
Pak Man tersentak. Lelaki itu? Siapa? Syahid ke? Soal hatinya.
“Laila, apa yang Laila merepek ni? Pak Man takkan tinggalkan Laila. Laila anak Pak Man,” pujuk Pak Man lagi.
“Tak! Saya bukan anak Pak Man! Saya bukan anak sesiapa! Pergi!” jerit Laila lagi. Dia menendang-nendang Pak Man yang duduk berhampiran dengannya.
Pak Man tersentak. Hatinya tersentuh dengan sikap kurang ajar Laila tapi dia cuba bersabar. Mungkin Laila demam jadi emosinya terganggu. Detik hati Pak Man cuba menyedapkan hatinya sendiri.
“Pak Man takkan pergi selagi Laila tak makan ubat. Laila rehat dulu ya. Nanti Pak Man datang balik,” ujar Pak Man sambil meletakkan tangannya di pipi Laila.
Laila menepis tangan Pak Man. Dia tidak berdaya lagi untuk menjerit. Terasa seluruh tubuhnya lemah. Mungkin akibat daripada berendam di dalam kolam renang semalam membuatkan dia diserang demam panas. Rasa sejuk dan panas bercampur dan bercantum menjadi satu. Saat ini juga dia terbayangkan seraut wajah itu tetapi sayangnya wajah itu sudah tidak sudi memandang wajahnya. Serentak, air mata Laila gugur lagi.
Beberapa minit kemudiannya, Pak Man datang semula dengan menatang dulang yang berisi semangkuk bubur dan air milo suam yang dibuat khas untuk Laila. Dulang tersebut diletakkan di atas meja sisi kemudian mangkuk itu dicapai setelah mengejutkan Laila daripada tidurnya.
“Laila, bangun dulu nak. Makan sikit. Perut Laila tu kosong. Lepas makan bubur ni, Laila makan ubat ya,” ujar Pak Man lembut.
Laila membuka mata dengan perlahan-lahan. Kelihatan Pak Man sedang duduk di birai katil sambil memegang mangkuk.
“Aku tak nak makan!” ujar Laila kasar.
“Tak bolehlah macam tu. Kalau tak makan, macam mana nak sembuh,” pujuk Pak Man.
Laila mengetap bibir. Kepalanya terasa pening manakala tubuhnya terasa begitu lemah. Dia tiada kudrat untuk bersuara tetapi melihat wajah Pak Man menambahkan lagi sakit di hatinya.
“Aku cakap tak nak, maknanya aku tak naklah!” jerit Laila sambil menepis mangkuk bubur yang berada dalam pegangan Pak Man.
Habis jatuh bertaburan mangkuk bubur tersebut di atas lantai. Pak Man tergamam. Dia menahan rasa sebak yang menyentuh hatinya. Dia menggigit bibir.
“Kenapa buat macam ni, Laila? Pak Man Cuma tak nak tengok Laila sakit je. Kalau Laila tak suka dengan Pak Man, biar Pak Man panggilkan Syah ya?” ujar Pak Man lagi.
Laila memicit kepalanya yang terasa berdenyut. Mendengar nama Syahid meniti di bibir Pak Man mengundang amarah dalam diri Laila.
“Aku tak perlukan dia! Aku tak perlukan sesiapa! Pak Man pergi balik! Berambus!” halau Laila dengan lantang sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah pintu.
Pak Man tersentak. Air mata sudah bergenang di kelopak matanya yang tua. Sedaya upaya dia cuba tidak mengambil hati dengan kata-kata Laila tetapi hati tuanya tetap tersentuh apabila kata-kata kasar itu terbit daripada mulut anak kandungnya sendiri.
Perlahan-lahan, Pak Man bangun dan melangkah meninggalkan Laila yang kembali merebahkan badannya. Langkah Pak Man terhenti lalu dia memalingkan wajahnya ke belakang. Buat kali terakhir dia memandang ke arah Laila yang langsung tidak mengendahkannya. Hati Pak Man tersentuh lalu dia berlalu dengan hati yang terluka.

TUMPUAN kerja Syahid terganggu apabila telefonnya berdering lantas gagang telefon tersebut diangkat.
“Assalamualaikum Syah, ni waled ni…” sapa suara di hujung talian.
Syahid menggigit bibir.
“Waalaikummusalam. Ya waled, ada apa yang Syah boleh tolong?” soal Syahid lembut sambil tangannya lincang menyusun resit-resit untuk dikemaskini.
“Tadi Pak Man pergi rumah kamu. Dia cakap Laila demam teruk tapi kamu tak ada kat rumah, kamu pergi mana?” soal Haji Azhar.
“Errr…Syah ada dekat restoran ni, waled.”
“Habis tu Laila siapa yang jaga?” pintas Haji Azhar membuatkan Syahid terkedu. Apa aku nak jawab ni?
“Sebenarnya…sebenarnya…” kata-kata Syahid terhenti.
“Sebenarnya apa ni Syah? Cuba cerita pada waled.” Ucap Haji Azhar mengharapkan penerangan daripada Syahid tentang apa yang berlaku.
“Sebenarnya Syah dah tak tinggal dengan Laila lagi…”
“Apa?!” kedengaran suara Haji Azhar terjerit di hujung talian membuatkan Syahid terdiam seketika. Dia yakin pasti Haji Azhar akan memarahinya tetapi Syahid sudah tidak peduli. Dia sudah tidak mahu tahu apa-apa tentang Laila. Itu keputusannya.
“Tapi kenapa, Syah?” suara Haji Azhar kembali mengendur.
Syahid mengeluh kecil. Wajahnya diraup dengan telapak tangan.
“Syah dah tak tahan dengan perangai Laila, waled. Dia tak pernah cuba untuk terima Syah sebagaimana Syah cuba untuk terima dia. Hati dia keras. Tak pernah sedikit pun dia hormatkan Syah sebagai suaminya,” terang Syahid akhirnya.
Kedengaran Haji Azhar menghela nafas yang panjang.
“Kamu putus asa, Syah?” soal Haji Azhar ringkas.
Syahid terdiam seketika. Putus asa? Mungkin.
“Bukan Syah tak cuba untuk ubah dia, waled. Tapi Laila sendiri yang tak mahu ubah dirinya sendiri. Sedangkan Allah juga ada berfirman, Dia takkan ubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu mengubah nasibnya sendiri. Bermacam-macam cara Syah gunakan untuk lembutkan hati dia sampaikan Syah rendahkan ego Syah untuk dia tapi apa yang Syah dapat? Syah dapat penghinaan daripada dia. Syah ada hati dan perasaan, waled. Syah ada harga diri. Tapi dia dah pijak-pijak maruah Syah sebagai seorang suami, Syah tak boleh tahan. Mungkin berjauhan ini adalah cara terbaik untuk Syah dan Laila,” ujar Syahid panjang lebar. Dia harap agar Haji Azhar faham situasinya.
“Tapi Laila sakit sekarang, Syah. Kamu tak kesiankan dia ke?” soal Haji Azhar.
Syahid membisu.
“Syah dah berjanji, Syah takkan pijak rumah tu lagi. Itu rumah Laila, bukan rumah Syah,” balas Syahid tegas.
Giliran Haji Azhar pula yang terdiam. Pilu hatinya apabila Syahid satu-satunya harapan untuk mengubah Laila, akhirnya berputus asa.
“Tolong waled kali ni Syah. Tolong tengok-tengokkan Laila. Kesian waled dengar cerita daripada Pak Man. Dia tak makan sehari suntuk ni. Walaupun kamu bencikan dia, tapi dia tetap isteri kamu, Syah.” Ujar Haji Azhar.
“Syah tak rasa dia nak tengok muka Syah ni lagi. Biarlah Pak Man bawa dia pergi ke klinik,” balas Syahid bersahaja.
Haji Azhar mengetap bibir.
“Dia tak nak pergi klinik dengan Pak Man. Kamu cubalah pujuk dia, mungkin dia akan ikut cakap kamu. Laila itu masih isteri kamu dan masih dalam tanggungjawab kamu, Syah tak boleh biarkan dia sakit seorang diri macam tu. Kalau kamu tak kesiankan Laila, kamu kesiankan waled. Laila sorang jelah anak waled. Kalau ada apa-apa yang berlaku pada dia, waled takkan maafkan diri waled.” Ujar Haji Azhar. Suaranya kedengaran sayu.
Syahid mengeluh. Tersentuh pula hatinya dengan kata-kata Haji Azhar. Timbul simpatinya pada ayah mentuanya yang telah banyak menolongnya di waktu dia susah dahulu jadi apa salahnya kalau dia pula yang menolong Haji Azhar kali ini.
“Insya-Allah, waled. Nanti Syah jenguk Laila…” putus Syahid akhirnya.

SYAHID hanya memandang Pak Man yang membuka pintu rumah banglo tiga tingkat itu. Dia memerhati dari jauh tanpa timbul keinginan pun untuk melangkah masuk.
“Syah tak nak masuk ke?” soal Pak Man sambil berpaling ke belakang.
Syahid menggelengkan kepalanya dengan pantas. Dia masih duduk di atas motornya tanpa sedikit pun bergerak.
“Tapi ini rumah Syah…” ujar Pak Man.
“Ini rumah Cik Laila bukan rumah Syah…” balas Syahid tegas.
Pak Man mengeluh. Haji Azhar sudah menceritakan apa yang terjadi di antara Syahid dan Laila dan Pak Man hanya mampu mendengar walaupun hatinya tidak bersetuju dengan apa yang Syahid putuskan. Tetapi dia tidak dapat memaksa Syahid untuk menerima Laila kerana sikap anak gadisnya itu sudah melampui batas.
“Syah, Pak Man tahu Syah marah dengan Laila tapi kali ni Laila sakit. Mungkin dia perlukan Syah berbanding Pak Man…” ucap Pak Man.
Syahid hanya mendiamkan diri. Hanya itu yang mampu dia lakukan saat ini.
“Pak Man masuklah. Saya tunggu Pak Man dekat luar,” ujar Syahid.
Sukar untuk dia menasihati hatinya yang sudah terluka dengan kelakuan Laila walaupun berkali-kali Haji Azhar memujuk. Kedatangannya ke rumah Laila ini pun semata-mata untuk menjaga hati Haji Azhar. Sudah hilang sisa kesabaran yang cuba dipertahankan sejak menjadi suami Laila walaupun berkali-kali dia memujuk hatinya supaya berfikiran positif kerana hati yang terluka memang sukar untuk dipujuk.
Pak Man hanya mampu mengeluh melihat kelakuan Syahid. Mungkin anak muda itu terlalu banyak bersabar dengan kerenah Laila sehinggakan lelaki itu sudah tidak sanggup berhadapan dengan Laila lagi. Laila, bilalah kau nak berubah, nak? Soal hati kecil Pak Man sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah Laila yang tidak berkunci.
“Assalamualaikum, Laila!” laung Pak Man sewaktu melangkah masuk ke dalam rumah yang serba mewah itu.
“Pak Man nak apa datang rumah saya ni?!” sergah satu suara dari arah tangga mengejutkan Pak Man yang sedang melilau-lilau mencari kelibat Laila.
“Pak Man datang nak jenguk Laila. Laila dah makan ke?” soal Pak Man lembut.
Laila terbatuk-batuk. Dia memegang penghadang tangga bagi membantu dirinya untuk berdiri. Badannya sangat lemah dan lesu malah seharian dia tak menjamah apa-apa makanan. Ditambah lagi dengan kepalanya yang berdenyut-denyut, sungguh menyeksakan.
“Siapa yang suruh Pak Man datang jenguk saya? Waled?” soal Laila lagi sambil menggagahkan diri menuju ke ruang tamu. Namun, pandangannya terpaku di halaman rumah apabila matanya menangkap kelibat seorang lelaki yang duduk di atas motorsikal. Dia? soal hati Laila.
“Memang waled yang suruh Pak Man jengukkan Laila sebab dia risaukan Laila. Sekarang ni waled ada urusan dekat Negeri Sembilan jadi waled tak dapat jenguk Laila tapi suami Laila ada dekat luar. Laila nak Pak Man panggilkan Syah ke?” soal Pak Man sambil tersenyum.
Laila terdiam. Semenjak pertengkaran tempoh hari, dia yakin Syahid tidak akan mahu berjumpa dengan dirinya. Dia sangat yakin tentang itu. Lalu Laila melabuhkan punggung di atas sofa. Satu keluhan terbit daripada mulutnya. Wajah Pak Man yang tua dipandang lama. Ternyata lelaki itu masih menantikan jawapan daripadanya.
“Kalau dia rasa saya di bawah tanggungjawab dia, dia tahu apa yang perlu dia lakukan,” desis Laila perlahan. Dia meraup wajahnya.
Dahi Pak Man berkerut. Butir bicara Laila tidak jelas di telinganya namun dia tahu sikap berdiam diri Laila cukup menyatakan yang gadis itu memerlukan Syahid saat ini. Cuma sekarang ini, Syahid pula yang enggan bertemu dengan Laila.
“Kejap ya nak, Pak Man panggilkan Syah,” ujar Pak Man.
Setelah tiada balasan daripada Laila, Pak Man berlalu ke luar. Dari dalam rumah, Laila dapat melihat Syahid enggan mengikuti jejak langkah Pak Man. Lelaki itu mengeraskan diri di luar rumah. Hati Laila sedikit tersentuh kali ini. Tanpa diduga, ada air hangat menitis dari kelopak matanya. Laila tersentak lalu dengan pantas, dia menyeka mutiara jernih itu.
“Pak Man, saya tak nak masuk dalam rumah ni lagi. Ini bukan rumah saya!” kedengaran suara Syahid tegas sambil cuba meleraikan pegangan tangan Pak Man di pergelangan tangannya.
“Syah, isteri kamu tengah sakit kenapa buat perangai pulak ni?” marah Pak Man sambil menunjukkan Laila yang terbaring di atas sofa.
Syahid mencebikkan bibir. Satu jelingan dihadiahkan pada Laila yang kelihatan tidak bermaya.
“Elok juga dia sakit, biar dia tahu apa erti kesakitan!” tempelak Syahid dengan senyuman sinis tersungging di bibir.
“Syah, kenapa cakap macam tu? Laila kan tengah sakit. Dia perlukan perhatian kamu sebagai suami dia,” pujuk Pak Man sambil menyentuh lembut bahu Syahid.
Syahid memalingkan badannya daripada menghadap tubuh Laila. Dia memeluk tubuh. Bagaimana dia nak merawat hati yang terluka jika kelukaan itu begitu menyakitkan?
“Suami? Pernah ke selama ni Pak Man tengok dia layan saya sebagai seorang suami? Pernah tak dia layan Pak Man sebagai seorang ayah? Sekarang bila sakit baru dia nak semua orang layan dia? Huh, saya tak dapat fikir yang dalam dunia ni masih wujud perempuan yang tak ada hati dan perasaan macam dia!” Syahid masih belum selesai menghamburkan rasa amarahnya. Sebaik saja melihat wajah Laila hatinya menjadi bertambah sakit.
“Syah, kenapa cakap macam ni? Tak elok. Pak Man tak kisah apa pun yang Cik Laila nak buat pada Pak Man sebab salah Pak Man juga abaikan dia sebagai anak Pak Man. Pak Man tak kisah kalau Cik Laila tak nak mengaku Pak Man sebagai ayah sekali pun asalkan Pak Man dapat melihat anak Pak Man selalu ada di hadapan mata Pak Man,” balas Pak Man perlahan.
Laila tersentak. Dia menahan perasaan mendengar luahan hati Pak Man. Betapa selama ini dia terlalu banyak melukakan hati Pak Man sedangkan lelaki tua itu tidak pernah menyimpan dendam padanya. Anak mata Laila beralih pada Syahid yang membelakangi dirinya. Hatinya tersentuh mendengar kata-kata Syahid yang masih berbaur amarah.
“Setiap manusia memang dikurniakan sifat sabar tapi setiap sabar pasti ada batasnya, Pak Man. Apabila harga diri dianggap lebih murah daripada ikan dekat pasar, inilah jadinya. Saya takkan biarkan dia pijak kepala saya lagi. Saya ada maruah. Saya ada harga diri. Dia nak sangat hidup dalam kemewahan, jadi biarlah dia hidup sorang-sorang. Saya tak peduli!” tegas Syahid.
“Kalau kau tak peduli, kenapa kau datang juga?” soal Laila setelah agak lama mendiamkan diri.
Syahid berpaling. Dia memandang wajah Laila yang kelihatan pucat tidak berdarah.
“Sebab saya hormatkan waled dan Pak Man. Sebab saya masih ada belas kasihan sesama manusia,” balas Syahid. Tiada langsung senyuman diberikan pada Laila. Wajahnya masam mencuka.
Laila menundukkan wajah.
“Aku tak perlukan sesiapa jadi kau boleh balik,” ucap Laila seraya bangun. Dia memegang kepalanya yang terasa berdenyut-denyut.
Syahid tersenyum sinis. Dia sudah dapat mengagak, Laila takkan pernah berubah.
“Saya pun tak ingin nak singgah lama-lama dekat sini,” balas Syahid.
“Syah, jangan macam tu…” tegur Pak Man.
“Pak Man dengar kan Cik Laila cakap apa? Dia tak perlukan kita. Dia tak perlukan sesiapa. Dia boleh hidup dan mati sendirian. Buat apa kita nak kisah? Jom kita balik Pak Man,” ajak Syahid.
Laila memejamkan mata. Kata-kata Syahid umpama belati yang merobek hatinya. Dia cuba menahan rasa tetapi dek kerana emosinya yang tidak stabil, air matanya menitis jua walaupun puas ditahan.
Pak Man tersentak apabila melihat wajah Laila yang keruh. Dia yakin ada yang tidak kena pada Laila kerana buat pertama kali Laila tidak membalas kata-kata yang dilemparkan oleh Syahid.
“Pak Man pergilah bawak dia balik. Saya nak berehat. Saya tak nak sesiapa pun ganggu saya. Kalau saya mati sekalipun, saya tak nak menyusahkan sesiapa termasuk dia!” balas Laila.
Dia mengorak langkah untuk meninggalkan Pak Man dan Syahid yang masih berdiri. Semakin lama dia berhadapan dengan Syahid, semakin sakit hatinya mendengar kata-kata yang berbisa daripada lelaki itu.
“Pak Man tengok tu…” Syahid tidak menghabiskan bicaranya. Dia mengetap bibir. Geram.
Pak Man hanya mampu menghela nafas panjang. Dia memerhatikan lenggok Laila yang sudah mendaki tangga. Rasa simpati melihat wajah anaknya yang tidak bermaya tetapi sukar untuk memujuk hati Laila yang sudah keras.
“Syah…” tegur Pak Man lagi.
“Sudahlah, Pak Man. Jom kita balik. Tak guna kita habiskan masa dengan orang yang tak pernah nak hargai kita,” ujar Syahid lalu menarik tangan Pak Man untuk meninggalkan rumah itu.
Namun, belum sempat mereka berdua melangkah keluar, kedengaran sesuatu jatuh dari arah belakang. Langkah Pak Man terhenti. Jantungnya berdegup pantas. Lantas dia berpaling.
Terjengil mata Pak Man melihat sekujur tubuh yang bergolek dari atas tangga sehingga ke bawah. Seakan terhenti nafasnya apabila melihat tubuh itu kaku dengan mata yang terpejam rapat.
“Laila!!”