Rabu, 28 Mei 2014

Rebah Di Tirai Cinta ( Bab 20 )


BAB 20
SEKALI-sekala ekor mata Syahid menjeling Laila yang duduk di sebelahnya. Gadis itu tidak berkata walau sepatah pun sebaik saja keluar dari klinik. Mereka berdua hanya diam membisu seolah-olah dua orang asing yang tidak mengenali antara satu sama lain.
Mata Syahid terarah pada dahi Laila yang bertampal dengan kapas putih. Mujur kecederaan di dahi gadis itu tidaklah serius mana Cuma demam gadis itu saja yang belum kebas. Kedengaran suara Laila yang tiba-tiba batuk mengejutkan Syahid lalu pandangannya terus fokus di dada jalan raya.
“Kalau tahu sakit kenapa tak mintak Pak Man hantarkan awak ke hospital? Dah sakit macam ni mulalah nak menyusahkan orang. Cuba buang perangai sombong tu, boleh tak?” Syahid mula bersuara tanpa memandang wajah Laila.
Laila memeluk tubuhnya yang kedinginan. Bicara Syahid menyakitkan hatinya.
“Aku tak mintak pun kau tolong aku. Biarlah aku mati baru kau puas hati kan?” Laila membalas dengan suara yang mendatar namun cukup kasar kedengaran di telinga Syahid.
Berdesing telinga Syahid mendengarnya. Dia menggenggam stereng kereta dengan kemas. Berulang kali lafaz istighfar bergema dalam hatinya menandakan dia cuba bersabar dengan sikap degil Laila. Lantas, bibirnya diketap geram.
“Awak ni kan, saya tak tahu nak cakap apa. Jadi manusia tu janganlah sombong sangat. Tak ke mana pun. Saya buat baik dengan awak, awak asyik nak cari pasal dengan saya. Kalau saya cari pasal dengan awak, awak benci saya. Awak ni siapa sebenarnya, Laila? Saya tak kenal awak walaupun awak tu isteri saya dan saya yakin awak pun tak kenal siapa diri awak yang sebenarnya.” Bebel Syahid.
Laila menjeling. Dia terbatuk kecil.
“Aku tak mintak pun kau kenal aku. Awal kita kahwin kau tahu apa niat aku nak kahwin dengan kau. Semuanya sebab harta. Sekarang, aku bukan perempuan yang baik jadi aku nak kau ceraikan aku. Aku nak hidup bebas!” balas Laila tiba-tiba.
Syahid terpempan seketika. Dia terdiam. Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum dilepaskan perlahan.
“Awak tahu tak apa hukumnya seorang isteri yang minta cerai dengan suami?” soal Syahid dengan nada suara yang kembali rendah.
Laila diam membisu. Dia membiarkan Syahid mengeluarkan hujahnya.
“Rasulullah pernah bersabda, siapa pun wanita yang meminta cerai dari suaminya tanpa ada sebab kekerasan, maka haram baginya untuk mencium bau syurga. Selama sebulan kita kahwin, pernah ke saya pukul awak? Pernah ke saya berkasar dengan awak? Kenapa awak susah sangat nak menghargai sebuah ikatan yang suci ni?” soal Syahid bertalu-talu bagi meluahkan rasa geramnya.
Laila menjeling benci. Dengan waled kena ceramah, dengan mamat ni kena ceramah. Bosan betul aku. Macamlah aku jahil sangat. Bebel hati Laila seraya mencebikkan bibirnya.
“Kalau antara kita dah tak ada sefahaman, buat apa teruskan hubungan ni? Kau benci perempuan macam aku kan? Buat apa kau simpan aku lama-lama. Kau akan lebih menderita,” balas Laila sambil menggosok hidungnya yang terasa pedih akibat selesema yang mencucuk-cucuk.
Satu keluhan lepas daripada mulut Syahid. Dia hanya membiarkan matanya tertancap pada jalan raya.
“Boleh jadi apa yang kita benci itu adalah sesuatu yang baik untuk kita dan boleh jadi apa yang kita suka itu tak baik untuk kita. Siapa kita untuk menidakkan takdir Allah? Saya menikahi awak tanpa apa-apa sebab yang lain melainkan amanah dari waled awak. Tapi kenapa awak tak pernah nak buka hati awak untuk kenal saya, suami awak?” soal Syahid lagi.
“Kau tahu aku benci dengan kau kan? Sejak pertama kali kita jumpa. Sejak kau jejak kaki ke rumah aku, aku menyampah dengan mamat perasan bagus macam kau ni dan semenjak kau koyakkan surat perjanjian tu, benci aku pada kau tak pernah berkurang jadi macam mana aku nak kenal kau, kalau rasa benci tu tak pernah berkurang sedikit pun daripada hati aku?” giliran Laila pula yang menyoal. Wajahnya dipalingkan ke tempat lain.
Syahid mengeluh kecil. Hatinya sedikit terasa dengan kata-kata Laila.
“Jadi awak suka kalau saya tak ada dalam rumah tu?” soal Syahid dengan suara yang kembali mengendur.
“Kau rasa?” soalan dibalas soalan oleh Laila.
Syahid hanya mendiamkan diri. Tak perlu dia menjawab kerana dia sudah tahu jawapannya pasti ya. Ternyata kehadiran dirinya tidak pernah dihargai oleh Laila. Tidak pernah walau sekali pun dia merasakan layanan seorang isteri daripada Laila. Jadi haruskah dia melepaskan gadis itu seperti mana yang gadis itu mahukan? Detik hati Syahid.
Namun, persoalan yang membelenggu fikiran Syahid sirna apabila telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Tertera nombor telefon ibunya di skrin. Dengan pantas, Syahid menjawab selepas memakai alat bebas tangan.
“Assalamualaikum, ya Aulia ada apa?” soal Syahid lembut.
“Hah? Apa? Macam mana boleh jadi macam tu? Okey-okey, abang balik sekarang!” ucap Syahid dengan cemas.
Lantas, Syahid memecutkan kereta milik Laila yang dipandunya tanpa mempedulikan Laila yang berada di sebelah. Ibunya lebih penting saat ini.
“Kau ni nak ke mana? Kenapa laju sangat ni?” soal Laila pelik.
“Ibu saya jatuh pengsan. Saya kena balik sekarang!” ujar Syahid dengan riak cemas terpamer di wajahnya yang kuning langsat.
“Tapi aku tak nak ikut balik kampung kau, aku nak balik rumah aku!” tegas Laila tidak mahu bertolak ansur.
Syahid tersentak. Dia memandang sekilas pada  Laila.
“Saat ini tiada sesiapa pun yang lebih penting pada saya kecuali ibu saya. Suka atau tidak, awak kena ikut saya sebab saya yang bawak kereta. Awak duduk diam-diam sudah. Jangan sampai saya campak awak kat tengah jalan ni,” ugut Syahid geram.
Laila mendengus.
“Aku nak balik rumah!”
“Syyyhhhh!!”
“Aku tak kira…”
“Syhhhhhh, diam boleh tak?!” sergah Syahid dengan suara meninggi.
Laila terdiam. Kali pertama dia mendengar Syahid membentak. Mungkin lelaki itu benar-benar tertekan. Lantas, Laila duduk berpeluk tubuh. Dia menarik mulut muncung.
Syahid hanya mampu menggelengkan kepala melihat reaksi Laila. Macam budak-budak. Detik hati Syahid.

“IBU!” jerit Syahid sambil berlari menaiki tangga rumahnya. Dia sudah tidak peduli pada Laila yang masih berada di dalam kereta. Dalam fikirannya hanya dipenuhi dengan bayangan Mak Cik Sarimah yang sudah berusia. Lalu, kakinya melangkah di ruang tamu. Kelihatan Mak Cik Sarimah terbaring di atas lantai sambil ditemani oleh Aulia dan Aidil.
Mak Cik Sarimah hanya mampu mengukir senyuman hambar sambil jari jemarinya memicit kepalanya yang terasa sakit. Dia membiarkan Syahid duduk di sebelahnya dengan pandangan yang sayu.
“Syah…” panggil Mak Cik Sarimah perlahan.
“Ya, ibu…” jawab Syahid lembut. Dia duduk di sebelah ibunya dengan senyuman nipis terukir di bibir.
“Kenapa balik ni? Laila mana?” soal Mak Cik Sarimah lemah.
Sayu hati Syahid melihat keadaan Mak Cik Sarimah yang tidak bermaya. Dia cuba melindungkan kesedihannya dengan mengukir senyuman walaupun dirasakan amat payah.
“Aulia telefon Syah tadi, katanya ibu pengsan lepas menjual tadi. Itu yang Syah balik. Laila ada dekat luar, ibu.” Balas Syahid sambil menolong Mak Cik Sarimah yang cuba untuk bangun.
“Ibu tak ada apa-apa, ibu sihat je, Syah. Ibu pitam sikit je tadi. Cuaca sekarang ni kan tak menentu jadi badan ibu pun tak menentu jugak,” balas Mak Cik Sarimah sambil ketawa kecil. Ketawa yang dibuat-buat.
“Ibu tak boleh macam ni. Syah risau tahu tak? Syah dah tak ada apa-apa selain ibu dan adik-adik. Syah sanggup buat apa saja asalkan ibu sentiasa sihat. Lepas ni, ibu tak payah berniaga lagilah, Syah boleh tanggung ibu. Kerja Syah pun dah tetap sekarang,” ujar Syahid membuat keputusan.
Perlahan-lahan Mak Cik Sarimah menggelengkan kepala. Dia tersenyum hambar.
“Ibu degil, abang. Banyak kali dah Aulia suruh ibu rehat tapi ibu degil juga nak meniaga.” Adu Aulia setelah agak lama mendiamkan diri.
Syahid mengalihkan pandangannya pada wajah Aulia sebelum matanya memandang wajah Mak Cik Sarimah yang kelihatan serba-salah.
“Kalau ibu tak berniaga, siapa yang nak tanggung kamu berdua sekolah? Kita ni bukan orang senang, Aulia…”
“Habis tu apa gunanya Syah ni, ibu? Syah berhijrah ke bandar tu sebab nak merubah nasib keluarga kita dan sekarang Syah dah berjaya. Syah boleh tanggung ibu dan adik-adik. Walaupun gaji Syah taklah banyak mana tapi cukuplah nak bagi ibu dan adik-adik hidup senang. Syah nak balas budi ibu yang selama ini jaga Syah,” Syahid memintas percakapan Mak Cik Sarimah.
Mak Cik Sarimah mengeluh kecil. Dia menatap wajah Syahid yang kacak.
“Ibu tak nak menyusahkan Syah. Syah ada tanggungjawab yang lain. Sudah tiba waktunya untuk Syah cari keluarga Syah yang sebenarnya. Tentu dia orang tercari-cari Syah sekarang ini…” balas Mak Cik Sarimah tiba-tiba.
Syahid terdiam seketika. Dia meraup wajahnya yang lesu.
“Ibu nak Syah cari keluarga Syah? Ibu tak nak Syah tinggal dengan ibu lagi ke? Ibu nak buang Syah?” soal Syahid bertubi-tubi. Tiba-tiba hatinya jadi sebak.
Mak Cik Sarimah menggelengkan kepalanya dengan pantas.
“Bukan itu maksud ibu, Syah. Ibu sayang kamu. Bagi ibu kamu tu anak kandung ibu tapi ibu kena terima hakikat yang kamu masih ada keluarga lain. Ibu yakin keluarga arwah ayah dan arwah ibu kamu pasti akan cari kamu. Kamu tak rindu mereka ke?” soal Mak Cik Sarimah lagi. Dia menyentuh lengan Syahid.
Aulia dan Aidil hanya menjadi pemerhati perbualan ibunya dan Syahid.
“Dalam fikiran Syah sekarang ni Cuma ada ibu dan adik-adik je. Syah tak perlukan orang lain. Syah tak kenal dengan mereka tu. Biarlah Syah macam ni je,” balas Syahid.
Mak Cik Sarimah mengeluh lagi. Perlahan-lahan, rambut Syahid dielus lembut.
“Ibu tahu kamu anak yang baik dan abang yang baik. Ibu bersyukur kerana Allah pertemukan kamu dengan ibu…” balas Mak Cik Sarimah.
Syahid hanya tersenyum kecil.
“Ibu dah makan? Nak Syah masakkan ke?” soal Syahid lembut. Dia memicit-micit kaki Mak Cik Sarimah yang beralaskan kain batik.
“Aulia dah masakkan untuk ibu. Isteri kamu mana? Kenapa tak naik-naik lagi?” soal Mak Cik Sarimah sambil menjenggukkan kepalanya ke luar rumah.
Syahid menepuk dahi. Dia hampir terlupa pada Laila yang masih berada di dalam kereta. Pantas, dia berdiri.
“Kejap ya, ibu. Syah nak panggilkan Laila. Dia pun tak sihat tu.” Balas Syahid lantas berlalu menuju ke kereta.
Dia membuka pintu kereta di tempat duduk penumpang. Kelihatan Laila sudah melelapkan mata. Dia menggigit bibir. Kesian pula dia melihat wajah isterinya yang nampak keletihan.
“Laila…Laila…” panggil Syahid lembut. Jari jemarinya menyentuh lengan Laila yang terdedah.
Perlahan-lahan, mata Laila yang terpejam, terbuka sedikit demi sedikit.
“Dah siap ke jumpa ibu kau? Kalau dah siap jom kita balik,” ajak Laila tanpa mempedulikan perasaan Syahid saat ini.
“Dah malam sangat ni, awak. Kita balik esoklah. Ibu saya tak sihat lagi. Awak pun tak sihat juga. Kita bermalam dekat rumah saya ya?” suara Syahid lembut memujuk Laila yang sudah menarik muka masam.
“Aku tak selesalah tidur dalam rumah kau tu. Panas, sempit, banyak nyamuk. Aku nak balik,” tegas Laila.
“Malam ni je, Laila. Saya tahu awak tak selesa tapi tolonglah faham saya. Ibu saya tak sihat, saya nak jaga ibu sekejap.” Balas Syahid masih dengan tekadnya.
Laila merengus. “Aku tak kira, kita balik malam ni jugak!” bentak Laila.
Syahid mengetap bibir geram. Dia perlu lakukan sesuatu agar Laila tidak terus membentak. Lantas, dia membongkokkan badannya dan sepantas kilat dia mencempung tubuh Laila lalu dibawa keluar dari kereta.
“Heyyy, kau buat apa ni?!” soal Laila sambil terjerit kecil.
“Awak malas sangat kan nak keluar dari kereta, jadi saya tolong keluarkan. Sekarang, kita masuk rumah ya, sayang…” ujar Syahid sambil ketawa panjang.
Laila meronta-ronta untuk melepaskan diri. Namun, jauh dalam hatinya dia sedikit berdebar-debar dengan perbuatan Syahid.
“Lebih baik kau lepaskan aku. Kau tak malu ke ibu kau tengok?!” soal Laila sambil kakinya meronta-ronta minta dilepaskan.
Syahid menghentikan langkah. Dia berpaling pada Laila dengan wajah yang serius. Dia merenung tepat ke dalam anak mata Laila yang coklat cair.
“Awak nak diam ke atau awak nak saya buat awak lebih malu depan ibu saya?” soal Syahid serius.
“Apa maksud kau?” soalan dibalas soalan. Dahi Laila berkerut.
Syahid mengangkat-angkat keningnya sambil mendekatkan wajahnya ke wajah Laila. Bibirnya menguntum senyuman penuh makna menyebabkan Laila gelabah dalam diam. Lalu, Laila mengangkat tangannya dengan pantas untuk mengelakkan wajah Syahid daripada mendekati wajahnya.
“Okey-okey, aku diam. Kau jangan nak buat benda yang pelik-pelik dekat aku!” halang Laila.
Syahid tersenyum kemenangan. Baru ugut sikit dah takut. Dah nama pun perempuan. Desis hati Syahid.
“Saya Cuma nak cium awak sikit je bukan pelik pun,” balas Syahid sambil menyusun langkah menaiki tangga dengan berhati-hati.
Laila hanya menjeling. Dalam hati bagaikan ingin pecah apabila Syahid masih belum menurunkan tubuhnya. Diam-diam Laila mengambil kesempatan meneliti wajah Syahid. Walaupun dicaci, dihina dan diherdik, tetapi Syahid masih mahu membantunya.
“Kotor pipi aku ni kalau kau cium…” ujar Laila perlahan.
Bulat mata Syahid mendengar kata-kata Laila. Dia geram. Lalu, dengan selamba dia menghadiahkan ciuman di pipi Laila.
Laila melopong. Dia menyentuh pipinya. Sungguh dia tidak menyangka Syahid boleh senekad ini. Dia mendengus marah.
“Kau!” Laila kehilangan kata. Jari telunjuknya diluruskan ke wajah Syahid.
“Ya saya,” jawab Syahid selamba.
“Kau memang…memang…” Laila dia menemui kata-kata yang sesuai untuk dilontarkan pada Syahid. Hanya dadanya saja yang berombak menandakan dia sedang marah.
“Memang kacak kan? Itu yang awak nak cakap? Tak payah susah-susahlah nak cakap sekarang, saya memang tahu saya ni kacak,” balas Syahid dengan tawa yang kuat.
Dia terus mencempung tubuh Laila sehingga ke dalam rumah. Syahid hanya tersengih pada Mak Cik Sarimah yang tersenyum melihat mereka berdua.
“Syah ke bilik dulu, ibu. Nanti Syah datang semula.” Ujar Syahid sebelum berlalu selepas dia melihat anggukan daripada Mak Cik Sarimah.

SYAHID melepaskan tubuh Laila di atas tilam. Jeritan kecil daripada Laila tidak dipedulikan sebaliknya dia hanya menayang wajah selamba.
“Berat juga awak ni ya? Nampak je kurus…” komen Syahid bersahaja.
Laila menjeling benci. Dia bingkas dan duduk di birai katil sambil merenung wajah Syahid.
“Siapa suruh kau baik hati sangat nak angkat aku. Aku nak balik, kau tak faham bahasa ke?” tengking Laila dengan suara yang serak.
“Faham. Saya faham bahasa melayu je,” balas Syahid bersahaja. Dia menggeliatkan badannya ke kiri dan kanan.
Tidak semena-mena dia menarik t-shirt yang tersarung di badannya sebelum baju tersebut dicampakkan tepat ke muka Laila.
“Apa awak ni?!” jerit Laila lalu mencampakkan baju Syahid ke lantai. Dia bingkas berdiri sambil mencekak pinggang. Nafas ditarik sedalam-dalamnya namun sebaik saja dia melihat keadaan Syahid yang tidak berbaju serta-merta nafasnya terasa sesak. Rasa marah yang membelit tangkai hatinya bertukar dengan rasa segan.
Syahid tersenyum sinis melihat reaksi Laila yang terkebil-kebil memandang ke arahnya. Perlahan-lahan, dia menghampiri Laila yang kelihatan pegun di tempatnya berdiri.
“Kenapa diam pulak ni?” soal Syahid dengan suara yang perlahan.
Laila menelan air liur. Matanya yang asyik fokus pada otot-otot di badan Syahid kini beralih ke wajah Syahid yang tersenyum nakal. Dia gelabah lalu terus menapak ke belakang.
“Errr….kau nak buat apa ni? Kenapa kau tanggalkan baju pulak ni?” Laila mula gelisah.
Hati Syahid bagaikan digeletek melihat wajah Laila yang cuak. Perlahan-lahan, dia menghampiri Laila. Bibir isterinya itu ditenung lama bersama senyuman penuh makna. Inilah masa untuk kenakan minah sombong ni. Detik hati Syahid.
“Saya nak…saya nak….” Syahid mematikan kata-katanya sambil matanya terus merenung wajah Laila.
Laila tidak keruan. Dia memandang ke belakang. Jelas bilik yang sempit itu tidak memberi ruang untuknya melarikan diri daripada Syahid yang bertukar menjadi ulat bulu dengan tiba-tiba.
“Kau jangan nak menggatal dengan aku. Aku tak suka. Aku menjerit biar runtuh rumah kau ni kan,” ugut Laila dengan suara yang terketar-ketar.
Syahid ketawa lepas. Suka dia melihat wajah Laila yang ketakutan. Tak sangka minah ni ada perasaan juga. Detik hatinya lagi. Lalu, dia merapati Laila tanpa sepatah kata. Apabila jarak antara mereka menjadi rapat, dengan selamba Syahid mencengkam pergelangan tangan Laila dan menarik tubuh itu supaya merapatinya.
“Apa hal dengan kau ni?” soal Laila tergagap-gagap. Dadanya sudah berdentum-dentam.
Syahid tidak mempedulikan kata-kata Laila sebaliknya dia terus mendekatkan wajahnya ke wajah Laila.
Laila terpana. Pantas, dia memejamkan mata. Rapat. Dia tidak sanggup kalau Syahid terus mendekat seperti itu. Terkumat-kamit bibirnya berdoa agak Syahid menjauhi dirinya.
Syahid menekup mulutnya dengan telapak tangan. Bagaikan ingin pecah tawanya apabila melihat reaksi Laila yang ketakutan. Dahi gadis itu juga berpeluh-peluh. Macamlah aku nak sentuh dia sangat. Sakit hati aku masih belum pulih sepenuhnya. Bisik hatinya.
“Tak payah nak perasan sangatlah saya nak cium awak. Tak ada selera saya tengok awak,” ujar Syahid selamba. Dia meleraikan cengkaman di pergelangan tangan Laila. Dia ketawa lepas.
Laila membuka mata. Spontan dadanya berombak marah mendengar kata-kata Syahid. Cis, dia permainkan aku rupa-rupanya. Tak guna punya jantan! Jerit hati Laila. Hampir dia terbuai dengan sentuhan Syahid tetapi akhirnya dia hanya dipermainkan. Memang mendatangkan kemarahan.
“Kau memang tak guna! Aku benci kau!” jerit Laila sambil memukul dada bidang Syahid.
Syahid tak sempat mengelak. Dia hanya membiarkan tangan itu memukul dadanya. Tak sakit pun.
“Tak pernah pun dalam sedetik awak tak benci saya kan? Pada pandangan awak saya ni lelaki yang tak guna. Lelaki yang tidak mampu membahagiakan awak. Awak sakiti hati saya berkali-kali tapi saya tetap tak dapat nak benci awak. Awak nak tahu tak sebab apa?” soal Syahid dengan suara yang meninggi menyebabkan pukulan Laila terhenti. Dia mendongak memandang wajah Syahid.
Mata itu kelihatan redup membalas pandangannya.
“Sebab awak isteri saya. Saya takkan membenci wanita yang saya nikahi…”
“Tapi kenapa kau keluar dari rumah tu? Kau sama macam lelaki lain!” bentak Laila tiba-tiba.
“Awak yang nak saya keluar dari rumah tu. Ya, saya memang sama dengan lelaki lain. Saya ada ego. Saya ada maruah diri. Kalau harga diri saya sebagai lelaki dan seorang suami awak letakkan di bawah tapak kaki awak, apa lagi yang tinggal untuk saya? Saya pulang ke rumah hari ini bukan kerana saya kesiankan awak tapi semuanya sebab waled. Ingat itu, hanya kerana waled…” balas Syahid setelah dia teringat kembali apa yang telah Laila lakukan padanya sebelum ini. Masih terasa pedih hatinya atas hinaan demi hinaan yang Laila lemparkan.
“Aku dah agak. Kau tak pernah ikhlas. Semua yang kau buat pasti bersebab. Jadi aku nak balik ke rumah aku…” ujar Laila.
Syahid mencebikkan bibir. Dia mencapai kunci kereta lalu dimasukkan ke dalam poket seluarnya.
“Kalau awak berani seluk poket seluar saya ni, silalah. Awak boleh ambil kunci dan awak boleh drive balik ke Kuantan. Saya tak kisah,” balas Syahid selamba. Dia menepuk-nepuk poket seluarnya sambil ketawa mengejek apabila melihat wajah Laila yang bertukar menjadi kelat.
Bulat mata Laila melihat gelagat Syahid. Dia memandang poket seluar Syahid yang masih tersarung di badan lelaki itu.
‘Ish, takkan aku nak ambil kunci dalam poket dia pulak. Buatnya dia apa-apakan aku. Naya aku.’ detik hati Laila. Dia menggigit kuku. Satu dengusan dilepaskan.
“Macam mana nak ambil ke tak nak? Kalau tak nak, saya nak pergi mandi.” Balas Syahid lalu mencapai tuala yang tersidai di belakang pintu biliknya.
“Kau memang sengaja nak sakitkan hati aku kan?”
“Itu balasan untuk awak yang selalu sakitkan hati saya. Awak tak payah nak fikir panjang, awak tidur je dekat rumah saya malam ni. Saya nak mandi, awak pun pergilah tukar baju.” Ujar Syahid sambil mengatur langkah untuk keluar daripada bilik.
“Nak tukar baju apanya? Mana ada baju.” Desis Laila sendirian.
Syahid tersenyum nipis. Dia melangkah keluar tanpa membalas kata-kata Laila.
Laila kembali duduk di birai katil. Dia memeluk tubuh sambil matanya melilau memandang bilik Syahid yang kelihatan kecil dan sempit. Hanya ada katil queen size, sebuah almari dua pintu dan meja solek di dalam bilik ini. Amat berbeza dengan rumahnya yang berada di Kuantan. Mata Laila terus memandang ke atas. Rumah yang beratapkan zink ini amat tidak selesa bagi Laila yang sudah terbiasa dengan rumah mewah.
“Kipas siling pun tak ada, air cond lagilah. Nak tidur macam mana? Tilam keras mengalahkan besi. Dahlah sempit…Eiiii…bolehlah mamat tu hidup dalam rumah macam ni…” komen Laila sambil mukanya mencemik jijik.
“Sebelum kita merungut dengan apa yang diberikan pada kita, cuba kita kenangkan orang yang tak punya apa-apa. Allah berikan saya tempat berlindung dan tempat berteduh macam ni pun, saya dah bersyukur. Walaupun saya tak kaya dengan harta macam awak, tapi saya cukup dengan kasih-sayang keluarga saya,” sampuk Syahid yang berada di muka pintu.
Laila terdiam. Dia mencebik melihat Syahid yang melangkah masuk sambil di tangannya memegang sesuatu.
“Ini ada kain batik dan baju adik saya. Saya rasa muat-muatlah untuk awak…” ujar Syahid sambil menyerahkan t-shirt dan kain batik pada Laila.
Tetapi hulurannya tidak bersambut. Syahid mengangkat bahu lalu meletakkan pakaian tersebut di sebelah Laila.
“Awak jangan risau, Aulia tak ada penyakit kurap, tak ada kusta mahupun penyakit kulit yang lain. Kalau awak rasa awak nak pakai, silalah pakai. Kalau tak nak, awak pakailah baju awak yang dah masam tu. Tapi pastikan, awak jangan tidur dekat saya kalau tak mandi. Saya ni cepat muntah kalau bau badan yang masam macam awak tu. Dah macam bau cuka getah awak tu. Eeiii…” sambung Syahid lagi sebelum berlalu meninggalkan Laila yang membulatkan mata.
“Tak guna, dia cakap badan aku bau masam. Masam ke?” soal Laila pada diri sendiri. Dia mencium bajunya.
“Tak adalah masam sangat. Wangi apa. Tapi kalau tak mandi, nanti aku nak tidur pun susah. Dahlah rumah mamat ni panas. Mahu terbakar aku nanti…” Laila bercakap sendirian.
Akhirnya, Laila mencapai baju dan kain batik yang diberikan oleh Syahid. Dahinya berkerut melihat kain batik tersebut.
“Alamak, macam mana nak pakai kain batik ni?”