Kamis, 31 Juli 2014

Rebah Di Tirai Cinta ( Bab 24 )


LAILA mundar mandir di hadapan Syahid. Sesekali dia menggigit jari memikirkan keadaan mereka yang terdampar di pulau yang terpencil jauh dari penempatan orang ramai.
“Boleh tak kalau awak duduk diam-diam. Pening pulak kepala saya tengok awak ke hulu ke hilir ni,” bebel Syahid. Dia duduk sambil memeluk lutut. Kelihatan tenang tanpa riak risau tergambar di wajahnya walaupun hari sudah semakin gelap.
“Kau tahu tak sekarang ni kita tersadai dekat pulau yang entah dekat mana. Macam mana kita nak balik? Tentu waled risau. Telefon pulak tertinggal dekat rumah. Bot ni elok lagi kan? Jomlah kita balik,” ajak Laila.
Syahid menguis pasir menggunakan jari kakinya. Matanya dibiarkan bertebaran memandang kawasan sekitar yang kelihatan berkabus. Ombak masih lagi kelihatan bergelora manakala kaki langit sudah bertukar kelam.
“Bot memanglah elok, tapi cuacanya yang tak elok. Saya tak nak ambil risiko balik waktu macam ni. Sebab kita tak tahu apa yang bakal berlaku. Kita tunggu jelah esok,” ujar Syahid.
“Esok?” mata Laila membuntang.
Syahid menganggukkan kepala.
“Habis tu kita nak tidur dekat mana?” soal Laila tidak percaya dengan kata-kata Syahid.
“Kita tidur dekat sini dululah.” Jawab Syahid.
Laila mengeluh. Akhirnya, dia terduduk di sebelah Syahid. Dia menekup wajahnya ke lutut.
“Aku lapar…” ujar Laila perlahan.
Syahid memandang ke sisi. Tumpah simpatinya melihat Laila yang kelihatan murung. Dia mengetap bibir sebelum dia memandang ke belakang seolah mencari sesuatu.
“Awak tunggu dekat sini sekejap ya?” ujar Syahid lantas berdiri.
Laila mendongak. Dia melihat Syahid sudah berdiri dengan mengibas-ngibas seluarnya.
“Kau nak ke mana?” soal Laila.
“Saya nak ke sana sekejap. Awak jangan bimbang, saya takkan lama.” Ujar Syahid dengan senyuman.
Laila mula tidak senang duduk. Dia memandang ke sekeliling. Kawasan kelihatan sunyi sepi menimbulkan rasa tidak enak dalam hati Laila.
“Aku nak ikut,” halang Laila sambil memaut jari-jemari Syahid yang baru ingin menapak.
Langkah Syahid terhenti. Dia tersenyum nipis sebelum berpaling menatap wajah Laila yang mengharap. Matanya beralih pada jari jemari Laila yang bertautan dengan jemarinya.
“Tak payahlah. Awak tunggu dekat sini. Kalau ada bot yang lalu lalang, awak boleh lambai. Saya pergi kat belakang tu je. Tak lama. Saya janji,” ujar Syahid sambil mengangkat sebelah tangannya.
Laila gelisah. Perlahan-lahan dia menarik tangannya kembali dan membiarkan Syahid melangkah pergi. Timbul rasa takut dalam dirinya apabila ditinggalkan berseorangan di tepi pantai yang sunyi. Hanya kedengaran desir angin dan ombak yang menghempas pantai. Laila memeluk tubuh sambil menahan rasa pedih di perutnya akibat lapar.
“Itulah, Aulia suruh kau makan, kau sombong. Padan muka kau, Laila…” ujarnya sendirian.
Dia menggosok-gosok telapak tangannya apabila tubuhnya terasa dingin disapa bayu pantai yang menghembus kasar sehingga rambutnya juga turut berterbangan. Sesekali dia melihat ke belakang, menanti kelibat Syahid yang tidak kunjung tiba.
“Ke mana pulak mamat ni?” soal Laila sendirian.
Namun, tiba-tiba bibirnya mengukir senyuman nipis apabila teringatkan gelagat Syahid. Lelaki itu memang seorang yang penyabar. Apa saja yang dilakukan atau dikatakan, Syahid akan membalasnya dengan senyuman sehingga Laila sendiri kehilangan idea bagaimana mahu membuatkan Syahid membencinya. Puas dicaci, puas dihina tapi Syahid tetap bersabar.
“Sekali sekala, aku tengok mamat tu cute jugak,” omel Laila sendirian sambil tergelak kecil. Dia menutup mulut dan memandang sekeliling. Bimbang suaranya itu didengari oleh orang lain walaupun ternyata tiada sesiapa di sekelilingnya saat ini.
“Amboi, ketawa sorang nampak,” tegur satu suara mengejutkan Laila. Mati terus tawanya. Lantas, dia berpaling. Kelihatan Syahid berdiri di belakangnya sambil tangan lelaki itu memegang beberapa biji buah kelapa.
Laila tersentak lalu dia berdiri. Terkebil-kebil dia memandang wajah Syahid silih berganti dengan buah kelapa yang berada di tangan Syahid.
“Mana kau dapat kelapa ni?” soal Laila pelik.
“Saya beli dekat pasar…” jawab Syahid selamba.
“Hah?”
Syahid ketawa. Dia menghampiri Laila sebelum kelapa tersebut diletakkan di atas pasir.
“Saya panjatlah dekat pokok dengan dalam hutan tu. Awak nampak tak ada pokok kelapa yang tinggi tu. Tadi awak juga yang cakap awak lapar. Awak minumlah air kepala ni dulu. Nanti saya keluarkan isi kelapa ini untuk awak,” ujar Syahid sebelum dia menuju ke arah bot untuk mencari sesuatu.
Laila hanya memandang segala perbuatan Syahid tanpa suara. Perbuatan Syahid yang sedaya upaya mengupas kelapa mencuit hatinya. Dia mendekati Syahid dan duduk bertentangan dengan lelaki itu. Wajah suaminya dipandang lama.
Wajah yang kacak itu kelihatan tenang sambil matanya fokus mengupas di bahagian atas kelapa. Sesekali dia melihat bibir lelaki itu mengukir senyuman nipis. Tanpa sedar Laila turut tersenyum.
“Nah…” ujar Syahid lantas menghulurkan kelapa yang telah siap dikupas pada Laila.
Laila tersentak. Dia memandang kelapa dan wajah Syahid silih berganti.
“Macam mana nak minum, tak ada straw…” ujar Laila dengan wajah yang selamba.
Syahid ketawa lepas dengan kata-kata Laila. Sedangkan Laila sudah menarik mulut muncung.
“Awak ingat sini kedai makan ke? Awak kena minum macam biasa,” jawab Syahid setelah tawanya reda.
“Yelah, nak minum macam biasa tu, macam mana?” soal Laila dengan suara dikeraskan.
“Nak saya tunjukkan ke?” soal Syahid sambil menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
“Boleh jugak,” jawab Laila.
Syahid menarik nafas panjang. Lalu, dia mengupas sebijik lagi kelapa muda. Bahagian atas kelapa tersebut dikupas lalu dibuat lubang. Dia mengangkat kelapa tersebut dan melekapkan ke mulutnya. Air kelapa tersebut diteguk dengan penuh selera.
Laila yang melihat hanya mampu menarik muka. Agak pelik cara Syahid meneguk air kelapa. Takkan aku nak minum macam tu juga? Soal hati Laila.
“Hah, saya dah siap. Sekarang awak pula minum…” ujar Syahid sambil mengesat mulutnya dengan belakang tapak tangan.
“Tak naklah aku minum macam tu…” ujar Laila sambil memeluk tubuhnya sendiri.
“Habis tu awak nak minum macam mana?” soal Syahid geram. Banyak pula songehnya perempuan ni. Bisik hati Syahid.
Laila mengangkat bahu tanda tidak tahu. Sedangkan Syahid sudah pun mengeluh dengan sikap Laila kali ini. Sejenak dia terdiam memikirkan sesuatu.
“Okey kalau awak tak nak ikut cara saya minum tu, meh sini saya tolong awak…”
“Kau nak tolong apa pulak ni?” soal Laila agak terkejut.
Syahid hanya tersenyum manis. Dia mendekati Laila lalu duduk di rapat dengan Laila. Kelapa yang berada di tangan Laila, diambil dan dipegang.
“Awak hulurkan macam orang berdoa tu. Nanti saya curahkan air kelapa ni. Awak minumlah…” ujar Syahid.
Laila mengerutkan kening sambil memandang wajah Syahid dengan wajah yang pelik. Syahid menganggukkan kepala.
Akhirnya Laila tiada pilihan. Dia mengikuti kata-kata Syahid. Lantas, kedua belah tapak tangannya ditadah dekat dengan mulutnya. Apabila Syahid mencurahkan air kepala tersebut, Laila menghirupnya perlahan-lahan. Rasa segar apabila air kelapa tersebut melalui kerongkongnya.
“Segarnya…” ujar Laila sambil mengelap mulutnya menggunakan tapak tangan.
Syahid hanya tersenyum manis. Laila tidak lagi sekasar dulu. Sedikit sebanyak cara Laila sudah berubah lembut walaupun bahasanya masih tidak berubah. Sekurang-kurangnya gadis itu sudah mahu berlembut dengannya.
“Nanti saya keluarkan isinya…” ujar Syahid.
Dia mengambil parang lalu kelapa tersebut dibelahnya dan diberikan pada Laila. Kulit kelapa dihiris sebelum dibentuk seperti sudu.
Laila ralit memerhatikan Syahid tanpa dia sedar satu senyuman terukir di bibirnya. Dia dapat rasakan yang dia selamat apabila berada di sisi lelaki itu walaupun kadang kala tingkah laku Syahid menjengkelkan hatinya.
“Awak makanlah dulu…” ujar Syahid mematikan senyuman Laila.
“Habis tu kau tak makan ke?” soal Laila pula. Teragak-agak dia menyambut huluran tangan Syahid.
“Awak tak payah fikirkan pasal saya. Saya rela kebuluran asalkan awak kenyang. Kalau awak lapar nanti awak jadi singa betina,” tempelak Syahid sambil ketawa lepas.
Laila menarik mulut muncung. Dia mendengus. Geram dengan Syahid yang tak sudah-sudah mengusiknya.
“Tak payahlah buat muka seposen macam tu. Tak laku dekat pulau ni. Awak makan ni, saya nak solat sekejap,” ujar Syahid kemudian bangun.
“Solat? Macam mana kau nak solat. Badan kau kotor, baju dengan seluar kau kotor macam tu,” ujar Laila dengan dahi yang berkerut.
Syahid hanya tersenyum. Dia memandang wajah Laila yang mendambakan jawapan.
“Badan saya kotor, saya boleh mandi. Tu hah laut punyalah besar, saya boleh berendam lama-lama. Pasal baju saya kotor ni awak tak payah ambil kisah sangat, kotor dekat baju saya ni Cuma kotor pasir bukannya najis. Perkara yang membatalkan solat adalah najis dan pasir pantai ni bukan najis. Faham tak, sayang?” soal Syahid sambil menekankan perkataan sayang.
Darah merah menyerbu wajah Laila apabila Syahid memanggilnya sayang. Cepat-cepat wajahnya dipalingkan ke tempat lain.
“Dah. Pergilah solat…” arah Laila tanpa memandang wajah Syahid.
Syahid ketawa kecil lantas berlalu meninggalkan Laila yang sudah berpeluh.

ANAK mata Laila tidak lepas daripada memerhatikan Syahid yang khusyuk berdoa. Wajah itu tampak tenang dalam doanya. Hembusan angin pantai yang sejuk mendamaikan hati Laila yang selama ini sering resah dan gelisah. Wajah tenang Syahid berjaya mententeramkan hatinya yang sering kepanasan.
‘Benarkan lelaki ini ikhlas terhadap aku selama ini ataupun itu Cuma helah semata-mata?’ soal benak hati Laila. Tiada jawapan yang mampu dia berikan terhadap soalan itu hanya desiran angin yang menghembus sekali gus menjawab apa yang dikatakan oleh hatinya.
“Jauh termenung, apa yang awak fikirkan?” soal satu suara mengejutkan Laila.
Laila mendongak. Dia memandang Syahid yang sudah melabuhkan punggung di sebelahnya.
“Kau percaya pada cinta, Syah?” soal Laila tiba-tiba.
Syahid terdiam seketika. Dia memandang wajah Laila yang berada di sebelahnya. Gadis itu nampak tenang. Anak mata bundar itu seolah-olah menyimpan seribu satu cerita yang tidak diluahkan pada sesiapa pun.
“Mestilah saya percaya sebab kita dilahirkan ke dunia ini pun atas dasar cinta. Allah menjadikan kita sebagai khalifah di muka bumi ini juga kerana cinta-Nya kepada kita. Cinta itu sesuatu yang tak dapat dipisahkan dengan kehidupan malah manusia akan sepi tanpa cinta…” balas Syahid.
“Tapi kenapa sering kali cinta itu menyakitkan hati manusia. Kalau cinta itu membahagiakan, sepatutnya cinta itu menyatukan hati bukannya menambahkan rasa sakit hati itu,” bidas Laila. Matanya masih memandang dada laut yang sudah semakin gelap.
“Itulah silap kita sebagai manusia yang sentiasa menganggap cinta itu dapat memberi segala-galanya. Kalau tak ada pengorbanan, itu bukan cinta. Kalau tak merasa sakit itu juga bukan cinta namanya. Cinta mengajar kita erti kehidupan yang sebenar dan kalau kita tidak bersedia untuk sakit bermakna kita belum bersedia untuk bercinta,” balas Syahid tenang.
Laila terdiam seketika. Kata-kata Syahid ada benarnya juga. Cinta dan kesakitan memang tidak dapat dipisahkan.
“Kenapa awak tanya semua ni, Laila? Awak pernah kecewa? Saya tahu hubungan awak dengan Datuk Hasyim ada masalah tapi rasa bukan itu penyebabnya kan?” soal Syahid lembut.
Satu keluhan terbit daripada mulut Laila. Dia memeluk lutut apabila tubuhnya terasa dingin dihembus bayu pantai. Rambutnya yang berterbangan ditiup angin dibiarkan begitu saja.
“Kau tahu tak kenapa aku benci kau?” soal Laila tiba-tiba.
Syahid tersentak kemudian dia mengangkat bahu tanda tidak tahu.
“Sebab awak rasa terpaksa kahwin dengan saya dan sebab itulah awak bencikan saya, betul tak?” soal Syahid lagi.
Laila tidak menjawab sebaliknya dia tersenyum sinis.
“Sebab kau lelaki yang baik…” akui Laila perlahan.
Dahi Syahid berkerut. Aikk, aku baik pun dia benci? Pelik betul minah ni. Detik hati Syahid.
“Awak bencikan saya sebab saya baik? Biar betul…” ujar Syahid semakin tidak percaya.
“Aku benci sebab aku tak dapat jadi seperti kau. Aku perempuan jahat. Aku tak hormatkan waled jauh sekali aku nak hormatkan kau. Aku tak dapat menipu diri aku dengan berpura-pura baik depan waled tapi jauh dalam hati aku, aku kesian dengan waled yang terpaksa berdepan dengan orang-orang masjid yang mempertikaikan cara waled mendidik aku sampailah waled kahwinkan kau dengan aku. Makin bertambah benci aku pada kau apabila aku tengok kau rapat dengan waled,” luah Laila.
Syahid tersenyum nipis. Dia mengesot menghampiri Laila. Dia memeluk bahu Laila dengan selamba.
“Awak tentu pernah dengarkan yang iman itu tidak dapat diwarisi walaupun ayahnya seorang wali ataupun ustaz. Iman itu datangnya dari hati, apabila elok hati seseorang itu maka eloklah imannya. Waled dah berusaha untuk menjadikan awak seorang gadis yang baik tapi awak terlebih dahulu mencorak kehidupan awak sendiri. Awak bukan perempuan jahat, Laila. Awak boleh berubah dan awak kena berubah sebab Allah takkan ubah awak kalau awak tak ubah diri awak sendiri. Menjadi jahat atau baik itu pilihan kita sendiri, Laila. Waled Cuma kahwinkan saya dengan awak sebab waled rasa saya dapat membimbing awak dan saya cuba untuk bimbing awak selagi saya mampu tapi kalau awak tak dapat nak terima saya juga, saya tak dapat nak buat apa-apa,” balas Syahid.
Laila berpaling. Anak mata mereka bertentangan sehingga menjemput debaran di hati Laila.
“Kau nak berputus asa?” soal Laila sambil matanya tidak lepas memandang anak mata Syahid.
Syahid turut membalas pandangan Laila. Jantungnya turut bergetar.
“Setiap apa yang berlaku ada hadnya begitu juga sabar. Pasti ada batasnya…” jawab Syahid ringkas.
Laila melarikan pandangan ke tempat lain.
“Jadi kau bertahan dengan perkahwinan ini untuk siapa?” soal Laila lagi.
“Untuk kita…” jawab Syahid pantas.
Laila terkelu seketika. Jantungnya berdebar-debar apabila Syahid menarik wajahnya sehingga anak mata mereka bertentangan sekali lagi. Dagunya dipaut lembut oleh lelaki itu membuatkan Laila terkaku.
“Selama ini awak tak pernah pandang saya sebab saya miskin, saya tak ada harta macam awak tapi sekarang cuba awak pandang sekeliling, hanya ada awak dan saya. Tak ada sesiapa pun jadi boleh tak untuk hari ini, saat ni, awak pandang saya sebagai suami awak?” soal Syahid dengan suara perlahan seolah-olah berbisik.
Lidah Laila kelu untuk membalas. Dia dapat rasakan yang dadanya sudah bergendang sesama sendiri apatah lagi saat Syahid mengelus lembut pipinya. Terasa dirinya berada di awang-awangan.
“Aku…aku…” Laila tergagap-gagap. Dia menelan air liur yang terasa kelat. Wajah Syahid yang semakin mendekat, meresahkan dirinya.
Syahid tersenyum dalam hati. Wajah Laila yang kaget mencuit hatinya. Lalu, perlahan-lahan dia mendekatkan wajahnya ke wajah Laila. Anak matanya tuntas memandang bibir Laila yang merah merekah. Begitu menggoda imannya yang tidaklah setebal mana. Dia terus mendekat. Laila semakin resah. Namun, dalam keresahan separuh hatinya merelakan dengan apa yang akan berlaku lalu perlahan-lahan, Laila memejamkan matanya.
Syahid tersenyum nipis. Namun, saat bahagia itu tidak kekal lama. Syahid tersedar apabila ada cahaya terang yang menyuluh ke arah mereka berdua.
“Syah!!!” jerit satu suara mengejutkan Syahid dan Laila.
Mereka berdua berpaling ke arah laut. Kelihatan sebuah bot laju sedang menuju ke arah mereka. Seorang lelaki sedang melambai-lambai ke arah mereka berdua.
“Ehem…” Syahid berdeham sebelum melepaskan Laila.
Laila menundukkan wajah. Terasa wajahnya berbahang saat ini.
“Itu Muaz. Dia orang dah datang selamatkan kita,” ujar Syahid perlahan.
Laila hanya mengangguk dan mengikuti langkah Syahid yang menuju ke pinggir pantai.
“Syah, kau dan Laila tak apa-apa ke?” soal Muaz dengan riak yang cemas.
Syahid tersenyum sambil mengerling ke arah Laila.
“Alhamdulillah, kami tak apa-apa. Kenapa kau datang cepat sangat?” soal Syahid.
Dahi Muaz berkerut. Kurang mengerti dengan soalan Syahid. Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
“Kenapa, salah ke aku datang selamatkan kau ni?” soalan dibalas soalan.
Syahid menjeling Laila yang diam membisu sebelum matanya beralih pada Muaz yang masih lagi pelik dengan soalannya.
“Tak salah tapi peluang tu tak datang berkali-kali,” balas Syahid.
“Peluang apa pulak ni, Syah? Kau ni merapu jelah. Dah, jom balik. Mak kau dah risau tu.” Ajak Muaz menghentikan omelan Syahid yang semakin merepek pada pandangan Muaz.
“Bot aku ni macam mana?” soal Syahid pula.
“Kau tak payah risau, anak buah aku ramai. Nanti biar Nordin dan Awang je yang bawak bot kau ni. Kau dengan Laila naik dengan aku,” arah Muaz.
Syahid hanya menganggukkan kepala. Dia melompat masuk ke dalam bot Muaz sebelum dia menghulurkan tangannya pada Laila yang diam seribu bahasa.
Laila teragak-agak untuk menyambut huluran Syahid tetapi apabila lelaki itu mengerdipkan mata akhirnya Laila mengalah. Dia menyambut tangan Syahid dan sekelip mata tubuhnya berada di atas bot milik Muaz.
Syahid mengambil baju sejuk yang diberikan oleh Muaz lalu dibalutkan ke tubuh Laila. Dirinya yang kesejukan dibiarkan begitu saja. Dia duduk berdekatan dengan Muaz sambil membiarkan Laila duduk di belakang bot. Sesekali matanya menjeling ke arah Laila. Dia tersenyum kecil apabila Laila tertunduk setiap kali mata mereka bertentangan. Terasa kebahagiaan suda mula meresap ke dalam jiwanya. Adakah kebahagiaan itu akan berkekalan?