Rabu, 20 Agustus 2014

Rebah Di Tirai Cinta ( Bab 25 )


MATA Laila tertancap pada bumbung rumahnya yang terukir cantik. Dia menghela nafas yang panjang apabila wajah seseorang muncul di hadapan matanya. Serta merta Laila tersentak.
“Uihhh, apasal pulak muka dia ada dekat depan mata aku ni? Pergi…pergi…buat menyemak je…” halau Laila sambil mengiba-ngibas mukanya.
Dia kembali memfokuskan pandangannya ke kaca televisyen. Cerita Hindi lakonan Syahid Kapoor menjadi pilihan Laila. Namun, tiba-tiba wajah Syahid Kapoor bertukar dengan wajah lelaki itu. Lebih parah lelaki itu mengenyitkan mata padanya.
“Makkk!!...” Laila terjerit sendirian.
Laila memandang ke kiri dan kanan sebelum mengurut dadanya.
“Kus semangat. Ilmu apalah yang dia pakai sampai aku boleh ternampak di dekat merata tempat,” omel Laila sambil mengetuk kepalanya sendiri.
Dia tersenyum sendirian apabila teringatkan lelaki itu sebelum dia berangkat pulang ke rumahnya di Kuantan.
“Jangan lupa masuk rumah nanti mandi terus. Nanti awak demam lagi,” ujar Syahid sewaktu mereka sampai di halaman rumahnya.
“Kau nak ke mana?” soal Laila sambil mengorak langkah menuju ke tangga.
Syahid tersenyum.
“Saya nak jumpa Muaz sekejap. Nak ucapkan terima kasih sebab dah selamatkan kita,” jawab Syahid dengan lembut.
“Syah! Alhamdulillah kamu selamat,”
Mak Cik Sarimah muncul dari dalam rumah bersama-sama Aulia di hadapan pintu. Syahid hanya tersenyum dan bersedia apabila Mak Cik Sarimah memeluk tubuhnya bersama deraian air mata.
“Syah selamat, ibu. Laila pun selamat.” Ujar Syahid sambil meleraikan pelukan.
Mak Cik Sarimah menyeka air mata. Dia memandang wajah Laila yang hanya berdiam diri sambil memandang ke arah mereka berdua.
“Laila tak apa-apa ke?” soal Mak Cik Sarimah lembut.
Laila hanya menganggukkan kepala. Lidahnya bagaikan beku untuk menjawab soalan daripada Mak Cik Sarimah.
“Laila, ibu tanya tu, jawablah…” tegur Syahid sambil mengerdipkan matanya.
“Hah?” Bagaikan terjaga daripada mimpi Laila memandang wajah Syahid. Anak mata mereka bertentangan sebelum Laila mengalihkan pandangan ke arah Mak Cik Sarimah.
“Laila okey, mak cik. Cuma sejuk sikit kena hujan tadi,” jawab Laila. Bahasanya sudah bertukar. Tiada lagi bahasa kasar yang digunakan pada Mak Cik Sarimah.
Mak Cik Sarimah tersenyum manis. Dia mendapatkan Laila lalu tangan menantunya itu dipegang.
“Kalau macam tu jomlah masuk. Laila pergi mandi dulu. Nanti kena demam pulak,” ujar Mak Cik Sarimah.
“Aulia, tolong masakkan air. Nanti letakkan dalam baldi untuk kakak kamu ni mandi,” arah Mak Cik Sarimah pada Aulia yang tercegat berdiri di muka pintu.
Aulia hanya mengangguk dan berlalu menuju ke ruang dapur.
“Ibu, Syah nak pergi jumpa Muaz dengan orang kampung sekejap. Lupa nak ucapkan terima kasih pada dia orang,” sampuk Syahid.
“Tapi inikan dah malam. Kamu tu dah basah kuyup kena hujan. Pergilah mandi dulu,” ujar Mak Cik Sarimah.
Syahid hanya tersengih.
“Syah pergi sekejap je, ibu. Setengah jam je. Nanti Syah baliklah,” balas Syahid pula.
Mak Cik Sarimah hanya mampu menggelengkan kepala.
“Laila, tengoklah suami kamu tu. Degil betul. Ibu cakap bukannya nak dengar,” bebel Mak Cik Sarimah.
“Betullah cakap mak cik, sekarang kan dah malam. Esok-esok awak boleh jumpa Muaz dengan kawan-kawan awak yang lain. Kalau jadi apa-apa pada awak malam-malam ni siapa yang risau? Ibu awak juga kan,” balas Laila. Tanpa dia sedar bahasanya sudah mula bertukar.
Bibir Syahid mengukir senyuman manis apabila mendengar bahasa yang digunakan oleh Laila. Kembang semangkuk hatinya. Kan bagus kalau tiap-tiap hari Laila menggunakan bahasa yang sama. Sejuk hatinya.
“Apa awak cakap, Laila? Saya kurang dengarlah…” ujar Syahid seraya mendekatkan badannya ke arah Laila yang berdiri tidak jauh daripadanya.
Laila memuncungkan mulutnya. Dia tahu Syahid sengaja padahal sudah jelas suaranya kedengaran.
“Mengadalah…” gumam Laila sambil menjeling.
Syahid ketawa kecil. Dengan selamba dia menarik hidung Laila dengan kuat sehingga kedengaran jeritan kecil terbit daripada mulut Laila.
“Aduuhhh!”
“Syah, sudahlah tu!” marah Mak Cik Sarimah sambil tergelak. Kesian dia melihat hidung Laila yang sudah berubah merah.
Laila mengomel sendirian namun apabila bayang Syahid menghilang, dia tersenyum sendirian. Perlahan-lahan, dia menggosok hidungnya.

LAMUNAN Laila terhenti apabila telefon bimbitnya berbunyi. Mati terus senyuman manisnya. Bunyi telefonnya terhenti. Berpusing kepala Laila mencari di mana letak telefon bimbitnya.
‘Entah-entah Syah yang call.’ Detik hatinya. Lalu dia bangun untuk mencari telefon bimbitnya.
“Mana pulak telefon aku ni?” bebel Laila sendirian. Dia menyelak kusyen. Namun telefon bimbitnya tiada. Habis satu ruang tamu digeledahnya namun I Phone 5s miliknya tidak di temui.
Lagu Numb nyanyian Linkin Park berkemundang sekali lagi. Lantas, cepat-cepat Laila mencari dan ternyata telefon pintarnya tersadai di atas meja. Laila menepuk dahi.
“Laaa…kat sini kau rupanya.” Ujar Laila lalu mencapai telefon bimbitnya itu.
Dengan debaran dia memeriksa panggilan masuk. Dia berharap agar nama yang berada dalam fikirannya saat ini yang membuat panggilan tetapi hampa. Orang yang tidak ditunggu itu yang muncul. Sekali lagi telefonnya berbunyi. Dengan malas, Laila menjawab.
“Lambatnya you nak jawab call I, kenapa? Dah tak sudi bercakap dengan I lagi ke?” suara garau itu menyoal.
Laila mendengus. Dia menghempaskan badannya di sofa sementara I Phone masih lagi terlekap di telinganya.
“I sibuk. Tak ada masa nak angkat. You nak apa ni? Tak takut ke bini-bini you tahu kalau you call I ni?” soal Laila berbaur sindiran.
Kedengaran Datuk Hasyim menghela nafas panjang.
“I rindukan you, Laila. Dah lama I nak jumpa you tapi you asyik mengelak je. You masih marahkan I pasal kejadian hari tu ke? I mintak maaf. I memang tak dapat nak halang wife I tu. Dia kalau mengamuk memang tak ada siapa yang berani halang,” ujar Datuk Hasyim cuba menjernihkan suasana.
Laila mencebik benci. Bosan dia mendengar suara Datuk Hasyim yang cuba memujuk.
“You lelaki takkan you nak ikut telunjuk wife you? Habis tu I ni macam mana?” soal Laila dengan suara yang sedikit meninggi.
Datuk Hasyim kehilangan kata. Sungguh dia tidak mahu kehilangan Laila tetapi dia harus berhati-hati agar isteri-isterinya tidak dapat menghidu hubungan yang terjalin antara dia dan Laila.
“I sayangkan you, Laila. Tapi I tak boleh lepaskan isteri-isteri I tu…” jawab Datuk Hasyim.
“Tak boleh lepaskan? Apa you ni? You cakap you nak ceraikan wife you kalau I sanggup terima you. Apa ni? I benci dengan lelaki yang berbelit macam you ni!” jerkah Laila lantas mematikan talian.
Dia mendengus kasar. I Phone dicampak ke sisi sebelum tubuhnya disandarkan ke sofa. Sekali lagi telefonnya berbunyi. Laila mulai geram. Lantas dia mengambil kusyen lalu diserkupkan ke atas telefon bimbitnya.
“Tenang sikit hidup aku..” omel Laila lalu dia bangun menuju ke dapur.
Tudung saji dibuka. Kosong. Dia menjenguk ke dalam peti sejuk. Juga kosong. Laila melepaskan keluhan. Jika Syahid masih tinggal bersamanya, pasti lelaki itu akan memasak untuknya. Jelas tergambar di mata Laila saat Syahid bertungkus lumus menyediakan makanan untuk mereka berdua tetapi sayang, dia sedikit pun tidak menghargai susah payah suaminya itu malah dengan lancang dia memaki hamun lelaki itu. Tetapi Syahid tetap dengan senyumannya.
“Hai, kenapalah saat-saat macam ni aku teringatkan dia? Agak-agak dia tengah buat apa sekarang?” soal Laila sambil mengetuk dagunya. Di matanya terbayang wajah Syahid yang kacak dengan senyuman manis yang tidak pernah lekang daripada bibir.
“Awak rindukan saya?” soal satu suara daripada belakang mengejutkan Laila. Dia berpaling.
Alangkah terkejutnya apabila dia melihat figura Syahid sedang duduk di kerusi makan sambil menongkat dagunya dengan tangan. Senyuman masih terukir di bibirnya yang sensual. Laila menggosok-gosok matanya beberapa kali. Bagaikan tidak percaya Syahid berada di hadapannya.
“Macam mana kau masuk? Pintu rumah aku kunci…” ujar Laila dengan pelik. Dia berdiri berhadapan dengan Syahid yang kelihatan selamba.
“Awak tak nampak ke saya masuk ikut mana?” soal Syahid dengan senyuman melebar.
Laila menggelengkan kepala. Sumpah, memang dia tidak menyedari kehadiran Syahid di dalam rumah ini.
“Betul awak tak tahu ni?” soal Syahid sekali lagi.
Pantas, Laila menganggukkan kepala.
“Tak mengapa. Biar saya yang tunjukkan…”
“Kau nak tunjuk apa ni?” soal Laila pelik apabila melihat Syahid sudah berdiri dan menghampirinya.
“Saya nak tunjuklah macam mana saya boleh masuk dalam rumah ni tanpa awak sedar. Awak nak tahu kan?” soal Syahid sambil matanya tidak lepas memandang tepat anak mata Laila.
Laila hanya menganggukkan kepala. Namun, dia sedikit cuak apabila Syahid menghampirinya. Dia tidak berganjak sebaliknya dia hanya membiarkan Syahid merapatinya. Laila bagaikan terpaku dengan renungan anak mata itu. Begitu mengasyikkan.
“Saya masuk melalui ini…” ucap Syahid sambil tapak tangannya dilekapkan ke dada Laila.
Laila tersentak. Pantas dia mendongak memandang Syahid yang turut merenungnya. Anak mata mereka berlaga membuatkan Laila terkelu. Jantungnya saja yang berdengup laju.
“Apa maksud kau? Aku tak faham…”
“Saya tahu awak sedang fikirkan tentang saya. Apabila awak terfikirkan saya secara tak langsung awak dah biarkan saya menetap dalam hati awak. Saya tahu awak rindukan saya, Laila…” bisik Syahid perlahan.
Laila menggelengkan kepalanya dengan laju. Rindu? Mengarut! Bantah hati Laila.
“Nonsense! Aku tak pernah fikirkan tentang kau…” balas Laila dengan senyuman sinis.
Tetapi Syahid membalas dengan senyuman manis. Dia membelai pipi Laila dengan lembut.
“Kenapa mesti awak tegakkan ego awak tu lagi? Awak dah jatuh cinta pada saya, Laila. Awak kena terima hakikat tu,” balas Syahid lagi.
Laila tergelak kecil. Dia menggelengkan kepalanya beberapa kali.
“Aku jatuh cinta pada kau?” soal Laila sambil menuding jari ke mukanya sendiri.
Syahid menganggukkan kepala. Sedangkan Laila sudah ketawa. Walaupun ketawanya kedengaran kuat tetapi tawa itu kedengaran sumbang seolah dia cuba menyembunyikan sesuatu.
“Kau buat lawak dengan aku, Syah. Apa yang membuatkan kau begitu yakin yang aku jatuh cinta pada lelaki macam kau?” soal Laila selepas tawanya reda.
Syahid hanya tersenyum dan mengerdipkan kelopak matanya.
“Cuba awak pejamkan mata dan lihat siapa yang muncul dalam fikiran awak. Orang yang muncul dalam fikiran awak tu adalah orang yang telah mendapat tempat di hati awak…” ujar Syahid.
Laila mencebik. Dia memeluk tubuh.
“Tipulah. Aku tak percaya,” balas Laila enggan mengikuti kata-kata Syahid.
“Percayalah. Awak cubalah dulu. Saya tak marah kalau bukan saya dalam fikiran awak…” jawab Syahid dengan riak yang tenang.
Laila menghela nafas. Dia menjeling sekilas pada Syahid yang masih setia berdiri di hadapannya. Nak ikut ke tak nak? Soal hatinya.
Akhirnya, Laila memejamkan mata. Saat matanya terpejam, sepantas kilat bayang wajah itu menjelma di ruang fikirannya. Wajah yang tenang dengan bibir yang tidak pernah lekang dengan senyuman dan wajah itu adalah milik Syahid!
Laila tersentak. Lantas dia membuka matanya dengan luas bersama jantung yang tidak berhenti berdetak. Namun, saat matanya terbuka dia mencari-cari kelibat Syahid.
“Syah!” panggil Laila. Bergema suaranya dalam rumahnya yang kosong.
Laila ke ruang tamu.
“Syah!” jeritnya tetapi malangnya tiada sahutan. Laila berlari ke bilik stor yang pernah menjadi tempat tinggal Syahid. Pintu dibuka tetapi kosong.
“Syah!” Panggil Laila dengan suara yang lemah. Dia melangkah masuk ke dalam ruang bilik sempit yang pernah menjadi tempat tidur Syahid.
Mata Laila melilau melihat empat penjuru dinding. Dalam bilik inilah dia pernah tertidur di sebelah Syahid dek kerana takut pada hantu. Masa itu tiada lain di dalam fikirannya selain mencari orang untuk menemaninya dan orang itu adalah Syahid. Laila tersenyum sendirian apabila teringat peristiwa itu.
“Kau tak boleh pengaruhi fikiran aku, Syah. Aku takkan tewas dengan kau…” ucap Laila perlahan masih dengan egonya.
“Tapi aku tak dapat elak kalau aku katakan yang aku sunyi bila tak bergaduh dengan kau…” sambung Laila lagi. Dia mengeluh.
‘Come on, Laila. Syah bukannya meninggal dunia pun. Pergilah jumpa dia. Pergilah…’ hasut hati Laila.
Laila menggigit bibir. Wajahnya diraup beberapa kali sebelum dia menguak rambutnya ke belakang.
“Sah, aku dah gila!” keluh Laila sambil menghela nafas kuat.

KERETA Audi A4 milik Laila berhenti betul-betul di hadapan Restoran al-Azhar. Perlahan-lahan dia mendongak memandang wajahnya di cermin pandang belakang. Dia menilik wajahnya supaya semuanya kelihatan sempurna. Laila tersenyum namun dalam hatinya sudah berdengup kencang. Dia rasa gelisah untuk bertemu dengan lelaki itu.
“Kenapa berdebar sangat ni? Nak jumpa mamat tu je kut,” ucapnya sendirian.
Buat seketika Laila memandang penampilannya. Hari ini dress labuh berwarna pink menjadi pilihannya setelah habis satu almari diselongkarnya untuk mencari pakaian yang sesuai. Ternyata hanya ada satu saja baju yang sopan dalam almarinya. Kalau dia pakai skirt dan baju tanpa lengan tentu Syahid tidak suka. Hai, kenapa sejak dua menjak ini dia asyik terfikirkan tentang pandangan Syahid saja?
Wajahnya yang dikenakan dengan solekan yang tipis kelihatan berseri-seri ditambah lagi dengan rambutnya yang dibiarkan lepas bebas. Setelah dia berasa puas dengan wajahnya, Laila menolak pintu kereta lantas melangkah keluar memasuki ruang restoran. Jam menunjukkan pukul dua belas bermakna restoran sudah memulakan operasi.
Kelihatan orang ramai mula memasuki Restoran al-Azhar namun itu tidak membantutkan niat Laila untuk bertemu dengan lelaki itu. Matanya melilau-lilau mencari kelibat Syahid.
“Mana pulak mamat ni?” gumam Laila.
Matanya terpaku di ruangan kaunter. Kelihatan Syahid sedang berbual dengan seorang gadis. Gadis itu tidak lain tak bukan Sabrina. Lantas, bibirnya digigit. Dia cuba menahan rasa yang mencucuk di dalam hatinya.
Langkah diorak menuju ke arah Syahid yang masih tidak sedar akan kehadirannya itu.
“Eh, Puan Laila. Puan Laila nak makan ke?” soal seorang pelayan restoran.
Laila berpaling sejenak ke arah Haraz yang tersenyum. Dia membalas senyuman Haraz ala kadar sebelum dia menganggukkan kepala.
“Jemput duduk, Puan Laila. Nanti saya bawakan menu untuk puan,” balas Haraz dengan ramah.
Laila mengambil tempat duduk di sudut hujung. Dia menarik nafas panjang.
“Tunggu dulu. Saya tak nak awak ambil order untuk saya. Saya nak manager awak yang ambil order saya,” ujar Laila berbaur arahan. Dia menghempaskan punggung sambil memeluk tubuh.
Haraz tersenyum hambar dan menganggukkan kepala. Muka Laila yang masam mencuka cukup menggambarkan yang mood gadis itu tidak baik. Habislah kau, Syah! Detik hati Harraz.
Laila memandang jam di tangan. Sudah lima belas minit tetapi bayang Syahid masih tidak kelihatan. Hal itu membuatkan hatinya bertambah panas. Dia mengangkat punggung untuk bangun tetapi matanya terlebih dahulu menangkap kelibat Syahid yang mengorak langkah menuju ke arahnya.
Walaupun hatinya masih lagi panas tetapi jantungnya tidak berhenti berdengup saat matanya melihat wajah yang tenang itu. Nafas ditarik dan dilepaskan dengan perlahan-lahan.
“Ya, Puan Laila. Puan nak makan apa?” soal Syahid selamba berdiri di sisi Laila.
Laila mengangkat pandangan. Rasa geram pula melihat wajah Syahid yang cukup bersahaja. Dia tak rindu aku ke? Soal hati Laila tiba-tiba.
“Macam ni ke kau jaga restoran? Servis bukan main lambat lagi. Aku lapar, kau tahu tak?” soal Laila dengan wajah sengaja dibengiskan.
“Tahu. Sebab itulah awak datang restoran kan?” balas Syahid selamba.
Laila menjeling. Syahid terdiam.
“Aku tengok bukan main lagi kau bergembira dengan minah tu. Ingat, waled gajikan kau jadi pengurus restoran ni bukan tiket kau nak ambil kesempatan pada pelayan perempuan dalam restoran ni.” Bebel Laila lagi.
“Minah? Minah mana? Oh, Sabrina. Salah ke kalau saya bergembira dengan pekerja saya? Dia kerani restoran ni. Tak salah kalau saya berbual dengan dia yang salah dekat sini adalah awak…” balas Syahid. Dia meletakkan buku menu di atas meja.
“Aku? Kenapa aku?” soal Laila pelik.
“Sebab awak dah ganggu waktu saya bekerja. Sekarang customer ramai, cashier tak datang jadi saya kena ganti cashier. Kalau awak datang setakat nak suruh saya ambil order dan membebel, baik tak payah. Awak pergi makan dekat hotel five star!” bentak Syahid.
Laila tersentak. Jauh dalam hatinya sedikit terguris dengan kata-kata Syahid. Kehadirannya tidak dihargai oleh Syahid. Tanpa sedar ada mutiara yang bergenang di kelopak mata Laila. Lantas, dia berdiri tegak di hadapan Syahid.
“Baik, kau tak suka aku ganggu kau kan? Okey, aku boleh blah. Pergilah bersembang dengan minah tu! Kau memang tak pernah nak faham perasaan aku!” marah Laila lalu berlalu meninggalkan Syahid.
Syahid mengerutkan kening. Aikk, dia pula nak marah. Apa-apalah perempuan ni. Detik hati Syahid. Dia membuang pandang pada Laila yang sedang berjalan menuju ke arah kereta. Dari jauh dia dapat melihat gadis itu mengesat pipi. Dahi Syahid berkerut. Menangiskah gadis itu? Soal hati Syahid.
Manakala Laila pula cuba menahan air mata yang ingin tumpah. Entah mengapa hatinya begitu terguris dengan kata-kata Syahid. Dia tak minta lelaki itu melayannya seperti permaisuri tetapi cukuplah jika lelaki itu menghargai kedatangannya. Tetapi kata-kata Syahid tadi seolah-olah dia telah menyusahkan lelaki itu. Aduh, kenapa aku nak terasa lebih-lebih pula ni? Padahal aku yang kasar dengan dia. Detik hati Laila.
Lalu, Laila memboloskan diri ke dalam kereta. Dia menyeka air mata yang tumpah. Kalau dah namanya perempuan jiwanya tetap lembut. Pantang dibentak pasti hati cepat terasa.
Tanpa menunggu lama, Laila terus menghidupkan enjin kereta. Tak guna jika dia terus menunggu di sini, hatinya akan bertambah sakit. Namun, saat dia ingin menarik tali pinggang keledar, pintu kereta di tempat duduk penumpang ditarik dari luar. Laila berpaling. Kelihatan Syahid melangkah masuk ke dalam ruang keretanya dengan selamba. Laila terkaku seketika.
“Kau nak apa lagi?” soal Laila kasar.
“Nak teman orang tu makanlah. Mesti awak lapar kan?” soal Syahid selamba. Dia memandang Laila. Lalu senyuman manis dihulurkan.
Laila mengetap bibir. Cuba menahan diri daripada tersenyum.
“Kau kan sibuk. Pergilah buat kerja kau. Buat apa sibukkan diri dengan aku. Aku ni Cuma tahu menyusahkan kau je,” balas Laila berjauh hati.
“Dah lama awak menyusahkan hidup saya tapi saya suka kalau awak susahkan saya. Tentu awak rindukan saya kan sebab itulah awak datang restoran ni,” ujar Syahid sambil mengenyitkan mata.
Laila rasa seperti lehernya dicekik. Dia dapat rasakan pipinya sudah berbahang panas.
“Jangan nak perasan. Aku datang ni sebab aku lapar. Aku nak makan. Kalau kau tak suka aku datang restoran, aku boleh makan kat tempat lain,” balas Laila cuba melindungi perasaannya.
“Eleh, awak tak payah nak berselindung dengan saya, Laila. Awak rindukan saya kan? Tentu awak rindu nak gaduh dengan saya kan, kan?” soal Syahid lagi sambil mencuit bahu Laila.
Laila mula terasa gelisah. Dia mengalihkan pandangan ke tempat lain.
“Kalau kau tak ada apa-apa nak cakap lagi, lebih baik kau turun. Aku nak balik,” dalih Laila tanpa menjawab soalan daripada Syahid.
Syahid mula duduk mengadap Laila. Dia merenung wajah isterinya itu sehingga Laila jadi tak senang duduk. Ruang keretanya yang luas dirasakan terlalu sempit dan menyesakkan dadanya.
“Apa pandang-pandang?” soal Laila cuba memberanikan diri menentang anak mata Syahid.
“Awak cantik hari ni,” puji Syahid.
Pipi Laila merona merah. Pujian itulah yang diharapkan keluar daripada mulut Syahid. Terasa jantungnya mula berdetak kencang. Terbang semua rasa amarah untuk lelaki itu.
“Awak nak makan kan? Jom saya temankan…” sambung Syahid sebelum kembali membetulkan duduknya.
“Kerja kau macam mana?” soal Laila. Dia cuba menahan hatinya yang melonjak gembira apabila mendengar kata-kata Syahid.
“Saya dah suruh Harraz dan Sabrina tolong tengok-tengokkan restoran. Bos dia orang ni ada tugas penting,” balas Syahid dengan tawa kecil.
“Tugas penting? Tugas apa?” soal Laila dengan dahi yang berkerut.
“Tugas memujuk isterinya yang merajuk,” balas Syahid selamba sambil mencubit pipi Laila.
“Auchhh!” jerit Laila sambil memegang pipinya.
“Sakitlah!” jeling Laila geram.
“Sakit? Kat mana?” Syahid pura-pura tak tahu. Dia menarik dagu Laila dan menilik-nilik wajah isterinya itu.
“Kat pipilah takkan kat hidung pulak,” balas Laila.
“Oh kat pipi. Meh sini saya tengok.” Ujar Syahid lalu memandang pipi Laila yang sudah merah.
Chuppp!
Satu ciuman lekat di pipi kanan Laila membuatkan mata Laila terbuka luas. Anak matanya tegak memandang wajah Syahid yang tersengih. Dia memegang pipinya.
“Aikk, kenapa makin merah ye? Tadi saya cubit sebelah je tapi mengapa dua-dua pipi awak merah?” soal Syahid.
Chuppp!
Satu lagi ciuman lekat di pipi kiri Laila membuatkan wajah Laila seperti udang kena bakar. Dia malu sendiri.
“Kali ini mesti pipi awak tak sakit dah kan?” soal Syahid dengan tawa yang meledak. Dia suka melihat wajah Laila yang merona merah. Jika dahulu wajah itu selalu merah akibat menahan merah tapi kali ini wajah itu kelihatan manis apabila menahan malu. Tak sangka gadis segarang Laila ada sifat malu. Detik hati Syahid.
“Awak ni memang gatallah!” marah Laila tanpa sedar bahasanya sudah bertukar lembut.
Syahid berpaling. Dia mengulum senyum.
“Awak? Sejuk hati saya mendengar.” Ujarnya.
Laila menggigit bibir. Dia sudah tersasul tetapi tidak lama kemudian bibirnya terus mengukir senyuman. Terasa gembira apabila Syahid berada di sisinya. Hai, rasa apakah yang sudah melanda hatinya?