Senin, 17 Juni 2013

Cinta Karma ( Teaser )

Tiba- tiba, pintu bilik Wafiya terkuak daripada luar. Dia melihat Puan Sri Sharifah Mastura melangkah masuk ke dalam bilik dengan senyuman sinis di bibir. Wafiya kecut perut. Selimut yang tersingkap di tarik rapat ke dada. Jantungnya berdebar hebat. Air mata yang menuruni lekuk pipi disapu menggunankan telapak tangan.
“ Well, cinderella dah bangun? Selamat pagi…” ucap Puan Sri Sharifah Mastura sambil tersenyum sinis. Dia berdiri di belakang pintu sambil mengadap Wafiya yang sedang duduk termangu.
“ Seronok sangat ke semalam sampai lambat bangun hari ini?” sambung Puan Sri Sharifah Mastura sambil berpeluk tubuh.
Wafiya tertunduk bisu. Air matanya mengalir tanpa sedar. Maknanya, sesuatu telah berlaku semalam. Hatinya bertambah sayu mengenangkan apa yang terjadi. Sampai hati Syed Aryan meninggalkan dia keseorangan setelah dirinya dinodai. Hati Wafiya terasa sakit yang teramat sangat seperti disiat- siat dengan perbuatan Syed Aryan.
“ Kau tahu tak Fiya, sebenarnya kau ni bodoh. Memang semua perempuan kampung macam kau tak tahu nak jaga maruah diri. Pantang diumpan dengan perkataan cinta kau sanggup serahkan maruah kau pada lelaki. Kau percaya ke yang anak aku tu cintakan kau? Fiya, Fiya kau ni memang bodoh, kalau kau nak tahu Ary tak pernah cintakan kau. Dia cuma nak apa yang ada pada kau je. Kau tak payah nak berangan yang dia akan jadikan kau isteri dia buat selamanya. Dia akan kahwin dengan Kyra dan kau hentikanlah angan kau tu,” ujar Puan Sri Sharifah Mastura.
Wafiya terpempan. Dia menggenggam kain selimutnya dengan kuat. Hatinya cukup terluka dengan apa yang Puan Sri Sharifah Mastura katakan. Ternyata dia ditipu dengan suaminya sendiri. Cinta yang diharapkan hanyalah dusta semata- mata sedangkan hatinya sudah mula menyayangi lelaki itu. Begitu tega Syed Aryan mempermainkan hati dan perasaannya.
“ Tuan Ary mana Puan Sri?” akhirnya Wafiya membuka bicara. Dia menahan perasaannya yang membuak- buak.
Puan Sri Sharifah Mastura ketawa kecil. Cukup sinis di pendengaran Wafiya.
“ Tak payah kau nak cari anak aku. Dia dah berlepas ke Korea dengan Sharifah Akyra. Kau takkan dapat jumpa dengan dia lagi. Aku tak benarkan kau jumpa dengan dia lagi,” ucap Puan Sri Sharifah Mastura.
Wafiya meraung. Dia menangis hiba memikirkan nasib dirinya.
“ Puan Sri izinkan saya jumpa dengan Tuan Ary. Saya mahukan penjelasan daripada dia. Saya mahu dengar perkara yang sebenarnya daripada dia. Tolong saya, Puan Sri,” rayu Wafiya sambil teresak.
Dia terasa dirinya cukup kotor dengan perbuatan Syed Aryan. Memang jika difikirkan secara logik, lelaki itu berhak pada dirinya tetapi kenapa perlu lakukan perkara tersebut tanpa kerelaan dirinya sendiri kemudian meninggalkannya terkontang- kanting sendirian.
“ Kau jangan nak bermimpi boleh dekat dengan anak aku. Kau perempuan murah. Perempuan kotor. Aku tak nak kau lahirkan keturunan aku. Kau boleh berambus daripada rumah ni! sekarang rumah ini milik aku,” tegas Puan Sri Sharifah Mastura.
Lantas Puan Sri Sharifah Mastura melangkah ke almari pakaian Wafiya. Pintu almari dua pintu di buka dan segala pakaian Wafiya dikeluarkan dan dicampakkan ke muka Wafiya. Dia menghampiri Wafiya lalu dengan kasar dia menarik rambut Wafiya.
Wafiya menjerit kesakitan. Air matanya mengalir tanpa henti.

......................................................................................................................

“ Fiya…jangan main dekat situ…”
Bunyi satu suara mengejut Syed Aryan ke dunia realiti. Dia memandang ke arah suara tadi. Kelihatan seorang budak perempuan berusia dalam lingkungan lima tahun sedang bermain- main di kerusi sebelahnya. Nama budak itu sama seperti nama Wafiya. Syed Aryan menahan sebak kerana rindu sudah mula bermain di jiwanya. Hampir dia menitiskan air mata apabila kanak- kanak itu tersenyum manis padanya. Terasa seperti dia melihat wajah Wafiya tersenyum padanya.
Pantas, di luar kawalannya Syed Aryan memeluk tubuh kecil itu. Air matanya mengalir dengan sendirinya.
“ Fiya, abang rindukan Fiya…”rintih Syed Aryan perlahan.
“ Maaf, encik tak apa- apa ke ni?” tegur satu suara menyentakkan Syed Aryan yang sedang melayan perasaan. Dia mendongak dan melepaskan pelukan daripada tubuh kecil kanak- kanak itu.
“ Maafkan saya, encik ni ayah Fiya ni ke?” tanya Syed Aryan kembali. Wajah lelaki dan wanita yang berdiri di hadapannya di pandang dengan rasa bersalah kerana telah memeluk anak mereka tanpa kebenaran.
“ Yup, kami mak dan ayah Zafiya ni. Encik nampak macam ada masalah je…” lelaki itu bertanya kembali.
Syed Aryan tersenyum hambar. Dia menggelengkan kepala dengan perlahan. Dia menggosok- gosok kepala Zafiya dengan perlahan.
“ Tak ada apa- apa, cuma nama anak encik mengingatkan saya pada seseorang. Maafkan saya sebab terbawa- bawa perasaan,” ujar Syed Aryan.
Lelaki tersebut hanya tersenyum manis. Dia mencapai tangan Zafiya dan mendukung anaknya itu. Satu ciuman kecil hinggap di pipi Zafiya.
“ Tak mengapa, kalau begitu saya minta diri dulu,” ujar lelaki tersebut kemudian meninggalkan Syed Aryan sendirian.
Syed Aryan tersenyum dan tertunduk. Dia tersenyum dalam kepayahan. Kedengaran penerbangannya ke Mekah akan berlepas kurang daripada 20 minit. Selamat tinggal Malaysia, selamat tinggal sayang…bisik hati Syed Aryan kemudian melangkah ke balai berlepas dengan perasaan yang berbaur.