Minggu, 20 Oktober 2013

Ingkar Cinta ( Bab 25 ) ~Last Entry~


SEBUAH kereta Myvi putih berhenti di pinggir jalan tidak jauh dari rumah Wardah. Pemiliknya melangkah keluar dengan rasa yang berbaur. Deretan kereta di hadapan rumah gadis itu sudah menjawab segala persoalan yang bermain di mindanya. Dia cuba untuk mengagahkan diri untuk melangkah namun langkahnya terhenti apabila melihat Wardah dan sekeluarga turut melangkah keluar daripada rumah.
Kelihatan gadis itu tampak cantik dengan jubah berwarna putih tersarung di badannya. Selendang yang berwarna putih menutupi kepalanya. Sungguh, sayu benar hatinya apabila melihat senyuman yang mekar di bibir gadis itu. Dia kelihatan sungguh gembira. Sedangkan aku?
Zafran menyembunyikan dirinya di sebalik pokok rambutan yang berada tidak jauh daripada halaman rumah tu. Dia mengintai sedikit untuk mendengar apa yang dibualkan oleh keluarga itu.
“Alhamdulillah, semuanya dah selesai. Wardah pun dah selamat jadi tunang Emir. Insya-Allah kalau tak ada apa-apa aral, nikahlah mereka hujung tahun ni…” seorang lelaki tua bersuara.
Zafran terpempan. Hancur hatinya mendengar kata-kata itu. Terasa seperti hatinya pecah berderai. Tanpa sedar, air matanya turut berderaian menangisi luka yang menghiris hatinya. Dia meramas dadanya yang terasa sakit. Ya Allah, inikah rasanya sakit kerana cinta? Soal hatinya sambil matanya mendongak ke langit.
“Habis tu studydia orang macam mana?” satu suara mencelah. Zafran berpaling pada wanita yang agak berusia berdiri di sebelah Wardah. Itu mak. Bisik hatinya.
“Lepas kahwin dia orang berdua ni boleh sambung degree sama-sama. Lebih afdal belajar bila ikatan dan halal ni,” sampuk seorang lelaki tua yang tidak dikenali oleh Zafran. Mungkin ayah tunang Wardah. Hati Zafran meneka.
Zafran menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia memegang batang pokok itu dengan kemas, seolah-olah dengan cara itu dia dapat mengumpul kekuatan. Senyuman bahagia yang terukir di wajah Wardah membuatkan hatinya bertambah sakit apatah lagi saat dia melihat Wardah berbalas senyuman dengan seorang lelaki yang memakai baju melayu berwarna putih. Lama dia amati lelaki asing itu, siapa dia? Soal hati Zafran.
Apa yang nyata lelaki yang akan menjadi pendamping hidup Wardah bukan calang-calang orang. Wajahnya memang tenang malah sejuk mata memandang. Lelaki itu memiliki aura yang tersendiri sehinggakan Zafran dapat rasakan yang lelaki itu seorang lelaki yang baik. Malah memang sesuai jika bergandingan dengan Wardah, sedangkan dia? Seorang lelaki yang hanya suka mempermainkan hati gadis-gadis dan sekarang dia sudah menerima balasannya.
“Sampai hati kau buat aku macam ni, Ada. Takkan tak ada sekelumit pun peluang untuk aku menetap dalam hati kau? Rasa ini sakit, Ada. Sakit sangat…” desis Zafran perlahan. Dia menyeka air matanya dengan hujung jari.
Sungguh dia tidak kuat untuk melihat kegembiraan di wajah Wardah lagi kerana itu sangat menyakitkan apabila cinta yang diharapkan tidak kesampaian. Orang yang disayangi kini telah menjadi milik orang lain. Hatinya hancur. Hatinya sakit.
Perlahan-lahan, Zafran mengundurkan langkah. Dia berpaling.
“Zaf…” panggil satu suara mengejutkan Zafran. Dia mendongak. Satu senyuman hambar dilemparkan pada Zahirul yang memandang wajahnya dengan pandangan sayu.
“Zaf terlambat, bang. Cinta dia bukan untuk Zaf. Kasihnya bukan milik Zaf…” ucap Zafran sebak. Dia menundukkan wajah. Bimbang air mata yang bergenang dapat dikesan oleh Zahirul.
Sebak dada Zahirul mendengar kata-kata Zafran. Sepantas kilat dia menarik Zafran ke dalam pelukan. Belakang badan adiknya ditepuk-tepuk lembut untuk memberi semangat.
“Sabarlah, dik. Jodoh di tangan Allah, bila bukan jodoh, cintalah sekuat mana pun, tetap bukan jodoh. Mungkin ada yang lebih baik yang menanti adik abang ni,” Zahirul memujuk lembut.
Zafran mengetap bibir. Matanya berkelip-kelip bagi menghalang air mata daripada tumpah.
“Tapi masih adakah perempuan sebaik dia, bang? Kenapa hati Zaf sakit sangat, bang? Sepatutnya Zaf gembira kawan baik Zaf dah bertunang tapi kenapa hati Zaf tak boleh terima, bang?” soal Zafran bertalu-talu. Dia mengeratkan pelukan di tubuh Zahirul.
Allah…hanya itu yang mampu Zahirul ucapkan di dalam hatinya. Soalan yang diajukan oleh Zafran tidak mampu untuk dijawab oleh Zahirul. Dia memahami kelukaan adiknya tetapi untuk menyembuhkannya, dia tidak mampu. Hanya masa yang mampu mengubati luka kerana cinta.
“Allah telah menjanjikan lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik begitu juga dengan perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Jadi Zaf jangan pernah meragukan janji Allah. Kembali kepada qada dan qadar. Dia yang menciptakan hati dan rasa cinta dan Dia juga yang berhak meletakkan cinta kita kepada hati-hati yang dipilih oleh-Nya untuk kita,” nasihat Zahirul lagi.
“Dan Zaf bukan lelaki yang baik untuk dia. Zaf sedar. Memang cinta itu tidak pernah berpihak pada Zaf. Cinta yang dulu Zaf anggap hanya mainan kini dan memakan diri Zaf sendiri. Mungkin sudah tiba masanya untuk Zaf mencari cinta yang hakiki…” ucap Zafran sambil meleraikan pelukan. Wajah abangnya dipandang dengan mata yang berkaca.
Rasa kecewa membuatkan dia pasrah. Pasrah dengan jalan hidup yang telah diaturkan oleh Yang Maha Kuasa.
“Apa maksud Zaf ni?” soal Zahirul dengan dahi yang berkerut.
“Zaf pergi dulu….” Ucap Zafran tiba-tiba sebelum dia menyalami tangan Zahirul.
Zafran menarik kembali tangannya dan mula mengorak langkah menuju ke keretanya. Panggilan daripada Zahirul tidak dihiraukan. Hati yang terluka perlu diubati dengan segera sebelum ia menjadi nanah yang tidak dapat disembuhkan.
“Zaf!” panggil Zahirul kuat. Dia mengejar Zafran namun semuanya sudah terlambat, Zafran terlebih dahulu memecut keretanya meninggalkan perkarangan rumah mereka.
“Zaf…” suara Zahirul kembali kendur. Buat seketika dia memandang rumah Wardah yang masih dipenuhi dengan orang ramai. Satu keluhan dilepaskan oleh Zahirul.
Kerana cinta, ada hati yang terluka. Kerana cinta ada hati yang merana dan kerana cinta juga ada jiwa yang bahagia. Semuanya kerana cinta. Detik hati Zahirul.

MATA Athira terpaku pada dua orang jejaka yang berada di sebalik pokok rambutan. Dia mengecilkan matanya untuk mengamati kedua jejaka tersebut namun hanya seorang saja yang dilihat, itu pun samar-samar kerana ditutupi dengan daun pokok rambutan yang merimbun.
‘Itu Encik Zahirul. Dia berpeluk dengan siapa pulak tu?’ monolog Athira dalam hati. Kepalanya terjengul-jengul untuk mencari raut wajah lelaki yang berpelukan dengan Zahirul itu.
“Apa yang kau tengok tu, Ati?” soal Amira sambil berbisik di telinga Athira.
Athira hanya tersengih kemudian dia menggelengkan kepala.
“Eh, tak ada apa-apalah…” jawab Athira kemudian matanya kembali fokus pada perbincangan kedua belah keluarga.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, kami mintak diri dululah…” ucap Encik Husin, ayah kepada Emir Rehan.
“Nampaknya semua sudah setuju jadi kita tunggu hujung tahun nilah. Emir, Ada, kamu berdua ni darah manis, ingat jaga batas-batas pergaulan. Walaupun dah bertunang tapi itu bukan tiket untuk segala-galanya,” nasihat Encik Musa pada Emir Rehan dan Wardah yang hanya mampu tersenyum.
“Ada akan ingat, ayah. Selagi kami tak disatukan selagi itulah kami akan berpegang pada syariat,” balas Wardah. Emir Rehan hanya menganggukkan kepala. Dia tersenyum manis pada Wardah yang sudah rasmi menjadi tunangannya.
“Baguslah kalau macam tu, sejuk hati ni dapat bakal menantu macam Wardah.” Sampuk Puan Elisya dengan senyuman lebar.
Wardah menunduk malu. Sekali sekala dia menjeling wajah Emir Rehan yang kelihatan tenang. Hatinya turut tenang melihat wajah itu tetapi jauh di lubuk hatinya dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Hatinya terasa nyilu dengan tiba-tiba. Namun, cepat-cepat dia mengusir rasa itu jauh daripada hatinya.
Sebaik saja keluarga Emir Rehan berlalu, kini tiba giliran Athira dan Amira pula untuk beredar. Wardah memegang tangan kedua sahabat karibnya itu.
“Terima kasih sebab korang berdua sudi datang majlis aku. Koranglah jantung hati aku,” ucap Wardah dengan tawa kecil. Wajahnya sudah cukup menggambarkan betapa dia gembira dengan pertunangan ini.
Amira turut ketawa cuma Athira saja yang tersenyum hambar.
“Aku nampak kereta Encik Zahirul tadi, tapi kereta Zaf aku tak nampak pulak,” ucap Athira tiba-tiba.
Senyuman di bibir Wardah  mati dengan sendirinya sebaik saja mendengar nama Zafran meniti di bibir Athira. Dia memandang wajah Athira yang menjengukkan kepala ke arah jalan raya.
“Kau ni macam berminat je dengan Zaf. Kau jangan risau nanti dia baliklah tu. Mungkin dia ada kerja dekat Kuantan,” balas Wardah acuh tak acuh.
Athira hanya tersenyum sinis dengan jawapan Wardah. Dia yakin pasti Zafran sudah maklum tentang pertunangan Wardah kerana dia yang minta supaya Iqram sampaikan berita ini pada Zafran dan Athira yakin pasti Zafran akan terluka.
“Kau bukan nak kisahkan dia lagi, kan? Kau dah dapat cinta sejati…” balas Athira seakan memerli. Entah kenapa dia rasa sakit hati sangat dengan sikap Wardah kali ini.
“Ati…apa maksud kau ni?” soal Wardah dengan dahi yang berkerut. Hatinya tersentuh dengan kata-kata Athira.
“Eh tak ada apa-apa maksud pun. Betullah kan, kau tak kisah? Kau jugak yang cakap tadi. Jadi aku cuma ulang apa yang kau cakap,” balas Athira dengan sengihan melebar.
Wardah hanya tersenyum hambar sebagai balasan. Dia tahu Athira masih lagi marahkannya disebabkan Zafran tetapi hatinya memang tidak dapat menerima apa yang Zafran lakukan, takkan dia perlu memaksa hatinya untuk menerima lelaki itu lagi?
“Sudahlah, korang berdua ni. Ada, tahniah sebab dah jadi tunang orang. Lepas ni jangan lupa selalu-selalulah contact kita orang ni. Aku akan rindukan kau, Ada. Beruntung Emir dapat kau,” sampuk Amira setelah agak lama mendiamkan diri.
“Terima kasih, Mira. Aku akan rindukan korang berdua. Lepas ni kalau kau orang rindukan aku, jangan lupa datang Kuantan. Kita lepak-lepak…” balas Wardah. Kali ini bibirnya mula mengukir senyuman ikhlas.
“Insya-Allah, Ada. Sebelum kau betul-betul jadi isteri orang, aku harap kau buka betul-betul hati kau dan nilai perasaan kau sendiri…” giliran Athira pula yang bersuara.
Wardah mengerutkan dahi. Pelik dengan kata-kata Athira yang penuh dengan maksud tersirat.
“Apa maksud kau ni, Ati? Aku tak faham…”
“Kalau kau tak faham tak apa, biarlah hati kau aje yang memahami. Satu hari nanti kau akan faham…” ucap Athira dengan senyuman nipis tersungging di bibirnya.
Wardah hanya tersenyum sebagai balasan. Biarlah hati saja yang memahami? Apa maksud Athira sebenarnya?

BILA ku hanya sesaat bagimu,
Jangan biarkan ku terlanjur menyayangmu,
Aku tak sanggup jauh darimu,
Kerna kau yang membuat aku menyayangmu,
Cinta ku punya bukan sekadar kata,
Cintaku ini abadi untuk mu.
Lagu Kasih Jangan Pergi nyanyian Pria Band memenuhi segenap ruang kereta yang dipandu oleh Zafran. Setiap bait yang dialunkan oleh penyanyinya cukup menyentuh hati Zafran yang benar-benar kecewa saat ini.
Seakan-akan terbayang segala kenangan manisnya bersama dengan Wardah dan kenangan itu mampu mengacau-bilaukan hatinya saat ini. Senyuman manis yang terukir di bibir gadis itu seolah-olah menggambarkan yang gadis itu tidak kisah dengan derita yang ditanggungnya sekarang ini.
‘Inikah yang aku harus terima setelah hati mula mengenal cinta? Jika inilah rasa sakitnya, sumpah aku takkan biarkan cinta itu menghampiri aku walaupun sedikit!’ monolog hati Zafran.
Dia menyapu air mata yang mengalir di pipi dengan kasar. Dia lelaki, tidak seharusnya dia menangis kerana seorang perempuan yang tidak menerima cintanya. Sepatutnya dia bergembira kerana Wardah bertemu jodoh dengan lelaki yang baik. Lelaki yang mampu menjaga gadis itu sebaik-baiknya. Namun, setiap kali hatinya cuba untuk menerima hakikat itu, jiwanya bagaikan dirobek-robek dengan belati tajam.
Hanya kerana satu kesilapan yang dilakukan, dia dibuang terus daripada hidup gadis itu. Cintanya ditolak. Sayangnya tidak bersambut malah kasihnya tidak dipandang oleh gadis itu. Hukuman yang diterimanya terlalu berat, seberat hatinya saat ini.
Zafran meneruskan pemanduan tanpa arah tujuan. Dia tidak tahu dia berada di mana saat ini. Dia hanya mengikuti langkah kaki yang menekan pedal minyak. Keretanya dibelokkan ke perkarangan masjid yang berkubah kuning. Jam di dashboard menunjukkan pukul tiga petang. Zohornya masih belum ditunaikan lalu dengan pantas Zafran memarkirkan keretanya di hadapan pintu masuk masjid.
Air mata yang mengalir di pipi diseka dengan jari. Dia meraup wajahnya yang terasa sembab sebelum melangkah keluar dari kereta. Dia memandang masjid lambang kebesaran Islam itu dengan perasaan yang berbaur. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia ingin mengusir segala kesedihan yang merajai hati saat ini.
Saat dia melangkah ke dalam masjid itu, terasa hatinya disapa ketenangan. Malah suasana sunyi itu membantu Zafran untuk lebih khusyuk dalam solatnya. Dia berdiri di barisan depan. Selepas mengangkat takbir, Zafran memulakan solatnya.
Setelah selesai memberi salam, Zafran duduk berteleku di atas sejadah. Semua puji-pujian terlafaz di bibirnya memuji Asma’ Allah serta selawat kepada junjungan yang mulia Rasulullah s.a.w. Air matanya kembali mengalir mengenangkan dosanya yang tidak pernah surut.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim…Ampunilah segala dosa-dosaku. Sesungguhnya aku insan yang paling hina memohon kemaafan daripada-Mu. Sesugguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-Mu tetapi aku tidak sanggup untuk menjejakkan kaki ke neraka-Mu kerana aku tahu pembalasan-Mu tersangatlah pedih. Tetapi aku tak pernah malu untuk memohon dan merayu agar Kau maafkan aku.” ucap Zafran dengan tangisan yang mula kedengaran. Dia kembali bersujud dan berisghtifar.
Namun, perlahan-lahan tubuhnya rebah. Air matanya sudah tidak dapat dibendung. Zafran menangis di tikar sejadah sambil tangannya mengenggam kuat sejadah yang berwarna hijau itu.
“Ya Allah, kenapa Kau ciptakan cinta jika harus ada yang terluka? Kenapa Kau ciptakan cinta jika hati aku yang merasa sakitnya?” soal Zafran sendirian. Wajahnya ditekupkan ke sejadah.
“Aku tidak mampu untuk menahan rasa sakit ini, Ya Allah. Tidak pernah dalam hidupku merasakan sakit seperti ini. Aku cintakan dia, Ya Allah. Aku cintakan dia dengan rasa cinta yang kau tanamkan dalam hati aku tetapi kenapa aku tak mampu untuk mendapatkan cintanya? Cinta itu kejam! Cinta itu menyakitkan!” jerit Zafran sambil menumbuk lantai.
Rasa nyilu di hati tidak mampu ditahan lagi. Senyum dan tawa Wardah menari-nari di mindanya. Lirikan mata gadis itu memenuhi ruang fikirannya. Hal itu membuatkan jiwa Zafran makin merasa seksanya apabila gadis yang disayangi akan menjadi milik orang lain dan dia harus menerima hakikat itu. Tetapi mampukah dia menerima kenyataan itu? Kenyataan yang hanya membuatkan hatinya luka berdarah.
“Cinta tak pernah kejam malah cinta kepada Allah itulah yang paling mulia. Kenapa meletakkan cinta kepada manusia itu mengatasi segala-galanya?” soal satu suara mengejutkan Zafran.
Zafran bangkit dan menoleh ke belakang. Seorang lelaki berjubah putih dan berserban berdiri di belakangnya dengan senyuman manis. Lelaki itu memeluk satu buku yang berbalut kemas dengan kain yang berwarna putih. Dahi Zafran berlapis. Siapa lelaki ini? Soal hatinya.
“Imam Ibnu Qayyim pernah berkata, cinta yang terpuji ialah cinta yang mendatangkan kepada pemilik cinta itu hal-hal yang memberinya manfaat di dunia mahu pun di akhirat. Maka cinta yang seperti ini merupakan muara sebuah kebahagiaan. Ada pun cinta yang tercela adalah cinta yang mendatangkan kepada pemiliknya hal-hal yang membawa kepada kerugian dunia dan akhirat. Cinta semacam ini adalah sumber penderitaan dan duka lara.”  Ujar lelaki itu lagi dengan senyuman manis. Dia melabuhkan punggung di hadapan Zafran yang kelihatan terkaku.
“Saya benci dengan apa yang dikatakan cinta. Cinta yang membuatkan saya lemah begini. Jika saya tahu cinta itu menyakitkan, sumpah saya akan elakkan diri saya daripada jatuh cinta!” ucap Zafran bersungguh-sungguh. Wajahnya tegang.
“Jangan pernah bermain dengan sumpah, nak. Cinta juga boleh menguatkan anak…”
“Cinta apa yang boleh menguatkan saya? Saya tak nampak apa-apa yang baik tentang cinta!” balas Zafran agak sinis.
“Cinta kepada Allah. Itulah segala-segalanya cinta. Cinta kepada-Nya tidak pernah menyakitkan malah semakin membahagiakan kerana Allah sentiasa ada di saat kita memerlukan ataupun tidak. Dia yang menciptakan cinta jadi seeloknya cinta itu berlandaskan cinta kepada-Nya,” balas lelaki itu dengan bibir yang sentiasa mekar dengan senyuman.
Zafran terdiam. Dia menundukkan wajahnya.
“Ambil ni, dalam ini penuh dengan ayat-ayat cinta yang telah Dia lakarkan untuk kita. Fahamilah, nescaya anak akan menemui cinta yang sejati…” ucap lelaki tersebut sambil menyerahkan buku yang berbalut dengan kain putih itu.
Dahi Zafran berkerut namun dengan pantas dia menyambut huluran itu. Dadanya berdebar-debar saat balutan itu dibuka malah tangannya turut terketar-ketar apabila melihat senaskah al-Quran terpapar di hadapan mata. Sungguh, hati Zafran tersentuh.
“Pak cik, ini….” Zafran mengangkat muka. Namun, kelibat lelaki berjubah putih itu tidak kelihatan di mana-mana. Zafran gementar.
“Pak Cik!” panggil Zafran kuat tetapi hanya suaranya saja yang bergema di segenap ruang masjid itu.
‘Ketika cinta menyapamu, jangan silau dengan indahnya dia, tetapi lihatlah apakah cinta itu akan membuatmua semakin dekat kepada Allah atau tidak.’
Bisikan itu membuatkan Zafran terjaga daripada tidur. Dia bingkas daripada pembaringan sambil matanya melilau ke kiri dan kanan. Dahinya yang berpeluh dikesat dengan tangannya.
‘Mana pak cik tu? Mana al-Quran?’ soal hatinya sambil memandang tangannya yang kosong. Dia menyentuh dadanya yang berdebar-debar.
“Ya Allah adakah ini satu petunjuk daripada-Mu?” soal Zafran sambil menadah tangan.
“Dulu sewaktu aku belum mengenal apa itu cinta, aku tidak pernah ingin tahu apa itu cinta tetapi bila aku sudah mula mengenalinya, aku tidak tahu bagaimana cara untuk melupakannya. Di hadapan-Mu aku berserah. Terimalah cinta ku, Ya Allah…” ucap Zafran seraya meraup wajahnya dengan kedua belah tapak tangan.
Sungguh saat ini dia mula merasa ketenangan mula meresap ke dalam hatinya. Ketenangan yang tidak mampu diungkapkan melalui kata-kata. Mungkin inilah yang terbaik untuknya, dikecewakan oleh cinta manusia tetapi cinta Allah tidak pernah mengecewakan.