Jumat, 14 Desember 2012

Digari Cinta (Bab 7)


HANYA sekali lafaz, Arisya telah sah menjadi isteri pada Uzair pagi itu. Arisya tersenyum walaupun hatinya bagaikan ingin tercabut apabila Uzair menghampirinya yang duduk bersimpuh dengan sopannya. Hari ini semua yang berada di dalam Masjid Negeri Pahang menjadi saksi yang dia telah diijabkabulkan dengan mamat sengal yang suka menyakit hatinya itu.

“ Aris hulurkan jari tu…” arah Puan Aliana menyedarkan Arisya ke dunia realiti.

Arisya tersenyum hambar. Dia mengangkat muka memandang wajah Uzair yang kelihatan kacak dengan baju melayu berwarna putih yang tersarung di badannya yang tegap. Arisya sedikit gementar. Dia kembali menundukkan wajahnya dan menghulurkan tangannya untuk Uzair sarungkan cincin.

Jantung Arisya bergetar hebat saat jari- jemarinya disentuh oleh Uzair walaupun sekadar untuk menyarungkan cincin. Dia rasa seperti mahu pengsan.

Uzair memerhatikan wajah Arisya yang menunduk. Dia tersenyum kecil. Alah- alah, malu pulak minah ni. Tak sangka singa betina macam Arisya pun tahu malu. Bisik hati Uzair. Namun, hatinya sedikit terjentik apabila lembut tangan Arisya bersalaman dan mencium tangannya. Lalu, dengan spontan, Uzair mengucup ubun- ubun Arisya yang beralas tudung.

Arisya tersentak. Laju sahaja hatinya berdenyut dengan perbuatan Uzair. Dia memandang Salma yang berada disisinya. Kawannya itu hanya tersenyum simpul. Arisya dapat rasakan wajahnya berbahang panas. Malulah!

“ Aku tak sangka yang kau akan nikah dulu daripada aku Uzair. Diam- diam ye kau ada buah hati…” ucap Fikry sewaktu mereka semua berada di rumah Arisya selepas majlis akad nikah selesai.

“ Aku pun tak tahu Fik. Ini semua kerja umi dan ayah aku. Aku ikut pilihan mereka je…” jawab Uzair sambil meneguk air yang dihidangkan.

Majlis yang mereka adakan cukup sederhana. Hanya ahli keluarga, sahabat handai dan jiran- jiran terdekat yang dijemput. Tiada persandingan ataupun majlis resepsi kerana itu yang diminta oleh Arisya. Dalam diam Uzair bersyukur kerana sikap Arisya yang lebih mementingkan suruhan agama berbanding dengan adat kebiasaan yang dilakukan menyenangkan kerjanya kerana Uzair juga sememangnya sukakan majlis yang sederhana berbanding dengan majlis yang besar- besar.

“ Tapi isteri kau tu comel jugak aku tengok. Mesti lebih muda daripada kau kan?”

Uzair mengangguk. Memang comel tapi kalau dia dah buat perangai sengalnya tu, memang terbang melayang comelnya tu.

“ Enam tahun lebih muda daripada aku. Entah macam manalah aku nak handle perangai yang tak berapa nak matang tu silap- silap aku jadi macam budak- budak…”

Fikry tergelak. Dia menepuk lembut bahu Uzair. Dia turut gembira dengan perkahwinan sahabatnya itu.

“ Masa inilah kau kena jalankan tanggungjawab kau sebagai suami. Bimbing dia menjadi isteri yang solehah walaupun perangai dia macam budak- budak dan aku harap kau boleh lupakan pendirian kau yang bencikan perempuan tu. Sekarang kau ada isteri, cintailah dia sepenuh hati kau,” nasihat Fikry.

Uzair terdiam. Kau tak tahu Fik, aku masih tak dapat lupakan apa yang seorang perempuan lakukan pada aku. Untuk mencintai seorang perempuan macam Arisya, memang aku tak dapat lakukan. Pendirian aku takkan luntur walaupun aku sudah berkahwin.

“ InsyaALLAH Fik, aku akan cuba ikut apa yang kau cakap,”

“ Aku tahu kau masih belum dapat lupakan apa yang Ayu buat pada kau masa sekolah dulu tapi itu semua sudah bertahun berlaku. Inilah masanya untuk kau mulakan hidup baru, bebas daripada kenangan dulu,” tambah Fikry lagi.

Uzair tersenyum manis pada Fikry. Sahabatnya itu tidak pernah meninggalkannya sewaktu suka mahupun duka. Fikry adalah satu- satunya yang sudi bersahabat dengannya sewaktu dia diejek dan dibuli dek kerana fizikalnya yang tidak setampan orang lain ketika di bangku sekolah dulu. Tetapi sekarang sudah berubah, ramai wanita yang cuba mendampingi Uzair namun pendiriannya tetap sama. Anti perempuan!

“ Terima kasih Fik sebab kau ingatkan aku. Tapi perbuatan Ayu tu aku masih tak dapat lupakan walaupun aku dah maafkan dia. Sebabkan dia aku trauma dengan cinta, aku anti perempuan dan sampai sekarang aku mengaku aku tak boleh terima perempuan dalam hati aku,” Uzair berterus- terang sambil matanya dilemparkan pada isterinya yang sedang asyik berbual dengan kawan- kawan dan sanak saudara.

“ Mungkin Arisya mampu untuk mengubah pendirian kau tu...” balas Fikry cuba menyakinkan.

Uzair hanya menjongketkan bahu. Mampu ke Arisya mengubah pendirian aku tentang perempuan? Lalu, Uzair melemparkan pada Arisya yang sedang asyik berbual dengan kawannya. Sekali- sekala dia melihat gadis itu senyum dan ketawa. Nampak comel je. Ish, apa kena dengan aku ni?


“ MACAM mana kau boleh jumpa dengan suami kau yang kacak tu? Dulu masa belajar kau tak ada kekasih pun, bercinta pun aku tak pernah tengok. Tup- tup dah kahwin…” ujar Salma. Dia menatap wajah Arisya yang kelihatan manis dengan memakai pakaian nikahnya.

Arisya hanya tersengih mempamerkan giginya yang tersusun rapi.

“ Ibu dan abah aku punya kerjalah ni. Dia orang yang nak aku kahwin dengan anak kawan baik mereka. Jadi aku ikutlah sebab tak nak hampakan hati ibu dan abah aku…” cerita Arisya dengan senyuman. Dia tidak menyatakan hal sebenar mengapa dia menerima lamaran daripada umi dan ayah Uzair. Biarlah menjadi rahsia untuk dirinya.

“ Kau rasa kau boleh bahagia ke kahwin tanpa rasa cinta macam ni?” Soal Salma lagi. Dia meneguk air sirap yang diambil sebentar tadi.

Arisya tersenyum. “ Bahagia atau tidak bukan terletak pada cinta sebelum kahwin ataupun selepas kahwin, semuanya terletak pada bagaimana kita mencari bahagia itu. Aku tengok ramai yang bercinta sebelum kahwin tapi tak sampai beberapa tahun, bercerai jugak. Alasannya, tak ada persefahaman. Kalau tak ada persefahaman, buat apa bercinta. Buat sakit otak je,” balas Arisya cukup bersahaja. Itulah pendirian yang dipegang selama ini.

Salma tergelak kecil. Dia menepuk lengan Arisya dengan lembut. Wajah comel kawannya itu dipandang.

“ Aku tahu pendirian kau tentang cinta takkan berubah. Apa- apa pun aku harap kau bahagia dengan Abang Uzair kau tu. Bertuah kau dapat suami yang kacak macam tu. Polis pulak tu. Tentu dia akan jaga kau dengan baik,” ujar Salma.

Arisya tersengih. Kalaulah kau tahu Sal, aku dengan Uzair memang tak pernah nak berdamai. Ada saja yang nak digaduhkan. Dapatkah Uzair menjaga aku? kata- kata itu bergema di segenap hati Arisya.

“ Dia banyak kerja lain Sal selain jaga aku. Aku boleh jaga diri sendiri,” balas Arisya selamba.

Salma hanya tersengih.