Senin, 31 Desember 2012

Digari Cinta ( Bab10)


ARISYA semakin keletihan. Jalan yang mereka lalui semakin sunyi ditambah pula hari semakin gelap. Mata Arisya pula semakin mengantuk. Bayang bandar pun tidak kelihatan. Dia hanya mengikut langkah Uzair dari arah belakang. Namun, akhirnya Arisya mengalah dia duduk bersila di tengah jalan sambil melepaskan lelahnya. Uh, penatnya!

“ Awak!” panggil Arisya menghentikan langkah Uzair. Lelaki tersebut berpaling.

Uzair tersenyum nipis. Dia mengorak langkah menuju ke arah Arisya yang sudah duduk di atas jalan raya. Dia duduk mencangkung memandang wajah Arisya yang kepenatan.

“ Kenapa ni?” soal Uzair.

“ Saya penatlah awak. Seharian kita berjalan tapi satu bandar pun tak jumpa. Dahlah mengantuk ni, kita berehat dululah,” ucap Arisya. Dia memuncungkan bibirnya.

Uzair tergelak kecil dengan sikap Arisya. Macam budak- budak. Tetapi dia pun penat jugak tapi dengan keadaan mereka yang terkontang- kanting di tempat yang mereka sendiri tidak tahu agak bahaya untuk mereka berehat terlalu lama. Buatnya Si Komeng dan kuncu- kuncunya datang menyerang mereka kembali, macam mana nak bersilat tu.

“ Awak tahan sikit lagi boleh tak? Kita jalan depan sikit lagi. Saya rasa macam nampak bengkel je kat depan tu,” balas Uzair.

“ Tak nak! Kaki saya dah sakit ni…” Arisya berkeras.

Arisya membatukan diri di tengah jalan raya. Dia memeluk tubuh tanda tidak mahu bergerak. Dia penat dan dia harap Uzair faham dengan keadaan dirinya yang sudah tidak bertenaga. Lainlah Uzair, badan lelaki itu cukup tegap macam ahli sukan gayanya pasti tenaga melebihi tenaga perempuannya.

“ Tapi kita kena gerak sekarang nanti apa- apa jadi macam mana? Kita kena cari tempat untuk berlindung. Cubalah awak bekerjasama sikit dengan saya,” Uzair mulai geram dengan telatah Arisya.

Arisya tetap dengan perangainya. Dia memeluk lutut. Langsung tidak mempedulikan kata- kata Uzair.

‘ Dia cakap senanglah yang penatnya aku. Dahlah makan biskut je sekeping mana nak ada tenaga. Perut aku ni dahlah tak boleh kalau tak bersua muka dengan nasi mesti meragam. Itu pun susah ke nak faham? Memang dasar hati batu!’ benak hati Arisya berkata- kata. Dia menjuihkan bibir.

Uzair menarik nafas dalam. Nasib baiklah kau isteri aku. Kalau tak, dah lama aku tendang kau ke gaung. Suka sangat menyusahkan aku. bentak hati Uzair. Dia mengetap bibir tanda geram.

“ Baiklah kalau awak tak nak sangat berjalan, meh sini saya tolong…” ucap Uzair. Dia mendekatkan lagi dirinya pada Arisya yang sudah cuak.

“ Awak nak buat apa ni?” Arisya mula tak senang duduk. Dia memandang wajah Uzair yang semakin mendekat.

Tanpa di sangka, Uzair mengangkat dan mencempung tubuh Arisya. Arisya terpempan, laju sahaja jantungnya berdenyut. Kali pertama Uzair bersikap seperti itu selama ini hanya sikap dingin yang lelaki itu tunjukkan. Oh, aku dalam mimpi ke ni? Jerit hati Arisya. Wajahnya merona merah.

“ Lebih baik awak turunkan saya sebelum saya melompat…” ujar Arisya. Dia merenung wajah Uzair yang kelihatan dekat dengan wajahnya.

Uzair berpaling dan membalas renungan Arisya. Dia melihat wajah Arisya yang kemerahan. Malu mungkin. Hati Uzair bagaikan digeletek saat melihat wajah itu berubah merah. Tak sangka, Arisya pun tahu malu. Hehehe..hatinya tergelak.

“ Tadi boleh je awak peluk saya, takkan sekarang malu kot…” usik Uzair mengingatkan Arisya tentang peristiwa tadi.

Wajah Arisya semakin merah. Apalah dia ni, sengaja nak buat aku malu.

“ Itu…itu sebab saya tak sengaja terpeluk awak…awak jangan nak perasan saya suka kat awak okey?” balas Arisya. Tergagap- gagap Arisya dibuatnya.

Uzair hanya tergelak. Dia meneruskan perjalanan tanpa mempedulikan bebelan Arisya yang tidak henti- henti seperti murai tercabut ekor. Ada saja yang ingin dibebelkan.

“ Awak ni tak penat ke? Asyik bercakap tak henti- henti. Tadi kata penatlah apa lah. Ini bila saya dah dukung awak, banyak pulak cakap awak kan?” giliran Uzair pula yang membebel.

Arisya mendiamkan diri. Dia menjeling. Sebenarnya dia cukup tidak selesa apabila berada dalam dukungan Uzair. Hatinya mula terasa aneh seperti ada sesuatu yang meresap dalam sanubarinya saat lelaki itu menyentuhnya. Dia memandang wajah Uzair yang kelihatan tenang. Hatinya turut tenang melihat bibir lelaki itu mengukir senyuman tipis. Dia tahu Uzair penat namun lelaki itu tidak menyatakan padanya. Oh, mat sengal tak sangka kau ni gentleman juga.

“ Awak tak penat ke dukung saya macam ni? Saya ni berat tau…” Arisya bersuara.

“ Saya pernah kendong orang yang lebih berat daripada awaklah. Setakat awak ni tak beri apa- apa kesan pun pada saya…” ucap Uzair sambil tersengih.

Arisya mencebik. “ Eleh, cakap besar. Siapa perempuan yang awak kendong tu? baik awak cakap sebelum  saya bertindak agresif,” ugut Arisya disambut dengan gelak oleh Uzair.

“ Saya tak cakap pun saya kendong perempuan, saya kendong kawan sayalah. Lelaki. Masa tu dia kena tembak jadi untuk selamatkan dia saya kendong dia sebelum hantar dia ke klinik,” cerita Uzair. Dia tersenyum pada Arisya yang sudah mengalih pandangan ke tempat lain.

Arisya hanya tersengih lebar. Dia malu dengan serkap jarangnya terhadap Uzair. Nasib baik lelaki, kalau perempuan tahulah aku nak kerjakan kau. Bisik hati Arisya. Arisya menutup mulut kerana menguap. Matanya turut terasan berat.

“ Kalau nak tidur, tidurlah. Saya tahu awak penat,” ucap Uzair lembut.

Arisya hanya tersenyum. Dia rasa cadangan Uzair agak baik. Akhirnya, Arisya mengangkat tangan memeluk leher Uzair. Dia meletakkan kepala di dada bidang Uzair kemudian memejamkan mata. Hanya sesaat, Arisya sudah melelapkan mata.

Uzair menelan air liur. Dadanya turut berdebar- debar dengan perlakuan Arisya. Inilah kali pertama dia merasa dekat dengan seorang gadis. Dia terasa aneh. Namun, Uzair tetap terus melangkah. Arisya yang terlena dibiarkan sahaja.

Mata Uzair menangkap sebuah bengkel yang terletak tidak jauh daripada tempatnya berjalan. Dia memanjatkan syukur kerana dapat juga dia berteduh sementara menunggu hari siang. Sebaik sahaja sampai di bengkel tersebut, Uzair menurunkan Arisya dengan berhati- hati dan meletakkan Arisya dengan berhati- hati di atas bangku yang tersedia di luar bengkel tersebut.

Kemudian, Uzair melabuhkan punggung duduk di sebelah Arisya. Kepala isterinya itu disandarkan ke bahunya sementara tangannya memeluk bahu Arisya bagi mengelakkan gadis itu daripada terjatuh. Uzair menarik nafas sedalamnya. Dia merenung wajah Arisya yang sedang tidur lena.

“ Dia ni tidur tak ingat dunia. Agaknya kalau aku tinggal dia sorang- sorang kat sini, gerenti dia tak sedar…” Uzair berkata sendirian. Dia tersenyum sambil menggelengkan kepala.

Uzair cuba untuk tidak tidur. Dia risau kalau- kalau ada apa- apa yang berlaku jika dia melelapkan mata. Namun, matanya tidak dapat menahan kantuk kerana seharian berjalan kaki. Akhirnya, Uzair terlena dengan sendirinya sambil kepalanya dibiarkan bersandar pada tiang bengkel tersebut.

 

“ BANG, bang…bangun…”

Uzair dikejutkan dengan satu suara. Dia menggosok- gosok matanya sebelum membuka mata dengan luas. Kelihatan seorang lelaki memakai t-shirt dan jeans lusuh berdiri di hadapan mereka. Pantas, Uzair mengoncang bahu Arisya. Tidak lama kemudian Arisya membuka mata dan memandang wajah lelaki yang berada di hadapan mereka.

“ Aaaaaa….hantu!!” jerit Arisya lantang.

Uzair menutup telinga. Sah dia ni mamai.

“ Hantu mana pulak awak ni. Ni oranglah. Awak ni sedar ke tak lagi?” soal Uzair sambil melambai- lambai tangan di hadapan wajah Arisya.

Arisya mengetap bibir. Alamak, malunya. Dia memandang wajah lelaki yang berada di hadapannya. Dia tersengih malu.

“ Saya dah sedarlah awak…”

“ Maaf dik, isteri abang ni mamai. Ni bengkel adik ke?” soal Uzair kembali memandang wajah lelaki yang masih tercegat di hadapan mereka.

“ Ni bengkel abang saya. Jap lagi dia marilah. Abang ni orang mane? Bakpe abang tidur sining?” tanya lelaki itu kembali dengan loghat Terengganu yang agak pekat.

Uzair dan Arisya saling berpandangan. Mereka menggarukan kepala. Nasib baiklah, mereka tinggal di Kuantan jadi loghat yang digunakan tidak jauh berbeza.

“ Nama abang Uzair, ini isteri abang Arisya. Abang ni nak pergi Kuala Terengganu tapi kereta abang rosak kat belakang sana tu. Seharian abang berjalan cari bengkel tapi satu pun tak jumpa. Nasib baiklah abang jumpa bengkel adik ni,” cerita Uzair.

“ Oh macam tu. Nama saya Ahmad, abang boleh panggil Mad je. Kalau gitu gok marilah saya tolong bekki kereta abang…” ujar Ahmad tersenyum.

Bekki?” tanya Arisya dan Uzair serentak. Dahi mereka berkerut.

Ahmad mengetap bibir. Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Ni payah cakap dengan orang bandar ni. Detik hati Ahmad.

“ Oloh, bekki tu maksudnya repairpaham dok repair tu benda?” jelas Ahmad.

“ Oooohh…baiki…abang faham. Ingatkan apalah tadi,” balas Uzair sambil tergelak dan diikuti oleh Arisya.

“ Terima kasihlah dik. Kalau macam tu jomlah abang tunjuk dekat mana kereta abang tu,” ujar Uzair seterusnya.

Ahmad hanya mengangguk. Dengan hanya menggunakan kereta Kancil milik Ahmad, Uzair menunjukkan jalan ke tempat di mana kereta mereka tersadai. Walaupun kurang memahami dialek yang digunakan oleh Ahmad, namun Uzair cukup senang dengan sikap baik hati yang ditunjukkan oleh Ahmad.

“ Abang dengan kakok baru kahwin ke? Nok gi Kuala Terengganu tu nok honeymoon ek?” soal Ahmad sambil menjeling sekilas pada Uzair yang duduk di sebelahnya.

Uzair tersenyum. Dia mengangguk tanda mengiyakan kata- kata Ahmad.

“ Macam mana Mad tahu yang abang dengan kakak ni baru kahwin?”

“ Tu inai kat jari tu. Meroh lagi, mestilah baru kahwin kan?” balas Ahmad.

 Uzair hanya tergelak kecil. Dia memandang tiga jarinya yang berinai. Kemudian dia memandang cermin sisi, dia dapat melihat Arisya yang sedang termenung. Uzair menutup mulutnya cuba menahan ketawa apabila melihat Arisya yang sudah tersengguk- sengguk menahan rasa mengantuk.

“ Mad ni tinggal dekat mana?” Uzair berbasa- basi. Dia memandang sekilas pada laman wajah Ahmad yang hampir tidak kelihatan kerana ditutupi dengan rambutnya.

“ Oh, saya tinggal kat Bandar Muktafi Billah Shah tu. Kalau abang jalang depang sikit lagi abang jumpalah. Abang dengan kakok ni nak gi bulan madu kat mana?” soal Ahmad pula.

“ Emmm…Riyaz Heritage. Sepatutnya semalam abang dah sampai tapi itulah kereta abang rosak pula. Tak menyusahkan Mad ke ni?”

“ Tak ada apa yang susohnya bang. Kitakan sesama manusia, kenalah saling tolong menolong…” ujar Ahmad.

Uzair tersenyum. Setelah setengah perjalanan, mereka sampai di tempat kereta Uzair tersadai. Alhamdulillah semuanya masih dalam keadaan selamat. Ahmad memulakan tugasnya memeriksa kereta Uzair sambil di bantu oleh Uzair. Arisya hanya memerhati kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Selepas beberapa minit, akhirnya kereta Uzair dapat dihidupkan. Arisya meraup wajahnya tanda bersyukur. Dia berdiri di sebelah Uzair dan melemparkan senyuman pada Ahmad. Orang dah tolong takkan nak sombong.

“ Terima kasihlah Mad tolong abang. Kalau abang tak jumpa Mad tadi entah apalah jadi dengan abang ni…” Uzair berkata.

Ahmad tersenyum sambil mengelap tangannya yang kotor. Pandangannya beralih pada laman wajah Arisya yang tersenyum manis. Comel pula senyuman dia. Bisik hati Ahmad.

“ Sama- sama. Tak yoh la abang cakap gitu gok. Semuanya dah takdir Mad tolong abang. Lagipun ni pun kerja Mad jugok,” balas Ahmad.

Uzair hanya mengangguk walaupun kurang faham apa yang dicakapkan oleh Ahmad. Maklumlah dialek Terengganu bukannya dia faham sangat. Selepas menghulurkan sedikit wang kepada Ahmad, Uzair meminta diri untuk meneruskan perjalanan.

 

ARISYA tergamam melihat honeymoon suite yang tersergam di hadapan mata. Dia menggosok- gosok mata. Pergh, besar gila bilik ni. Seronoknya kalau bilik aku sebesar ni. Detik hati Arisya.

“ Yang awak duk tercegat depan pintu ni kenapa? Masuklah. Ke awak nak jadi patung cendana tak pun jadi jaga bilik saya ni,” ucap Uzair menyedarkan Arisya daripada lamunan.

Arisya mencebik. Dia memberi laluan pada Uzair yang ingin melangkah masuk ke dalam bilik. Sempat lagi Arisya menjelirkan lidahnya pada Uzair. Kadang- kadang dia geram dengan perangai Uzair yang entah apa- apa entah. Mamat sengal katakan.

“ Menyibuk je kan awak ni. Suka hati sayalah nak jadi patung ke nak jadi pepatung ke,” Arisya mula membebel. Namun, bebelannya terhenti apabila terdengar Uzair ketawa. Ketawa yang cukup menyakitkan hati Arisya. Dia menjeling pada Uzair yang sedang menghempaskan badan di atas tilam.

“ Kenapa awak gelak?” soal Arisya.

“ Saya bayangkan awak jadi pepatung. Mesti besar gedabak, nak terbang pun payah,” balas Uzair sambil tergelak kuat.

Arisya terpempan. Dia mengetap gigi.

“ Awak memang tak sayang mulut kan?”

“ Mulut saya, mestilah saya sayang,” balas Uzair lagi. Tidak mengalah. Dia menayang giginya yang putih bersih pada Arisya tanpa perasaan bersalah.

Arisya menjeling lagi. Sakit betul hati aku dengan dia ni. Kalau tak ikutkan dia ni suami aku, dah lama aku heret lepas tu campak je dalam laut. Baru puas hati aku. Desis hati Arisya.

“ Awak kalau nak kutuk saya, cakap je depan- depan tak payah nak mengumpat dalam hati tu,” tutur Uzair tiba- tiba.

Arisya tersentak. Dia mendengus lalu dia mencapai beg pakaiannya dan menuju ke almari untuk mengemas. Namun, suara Uzair kedengaran menyakitkan telinganya.

“ Tolong kemaskan baju saya sekali tau. Saya nak tidur,” ujar Uzair selamba.

Arisya semakin panas. Dia menghempas beg pakaiannya dan menuju ke arah Uzair yang sedang terbaring dengan selesanya. Dia merenung Uzair dengan pandangan tajam. Dadanya turun naik menahan rasa geram peringkat paling tinggi. Perlahan- lahan dia melangkah menuju ke katil.

Uzair menelan air liur melihat wajah Arisya yang garang. Dia bangun dengan perlahan- lahan. Jantungnya berdenyut laju apabila Arisya semakin menghampiri. Hah sudah minah ni lain macam je aku tengok. Desis hati Uzair.

Uzair semakin tidak keruan. Arisya semakin dekat malah mata gadis itu tidak beralih daripada memandang matanya. Janganlah dia apa- apakan aku. Uzair mula kecut perut.

“ Awak ni dah kenapa? Jangan dekat dengan saya. Awak nak rogol saya ke apa ni?” soal Uzair tiba- tiba. Dia memegang baju t-shirtnya. Dia mengesot sedikit ke belakang,

Arisya cuba menahan gelak. Wajahnya terus- terusan dimasamkan. Rasa macam nak gelak berguling- guling pun ada apabila melihat wajah cuak Uzair yang takut dirinya di apa- apakan. Arisya terus mendekati Uzair. Dia naik ke katil dan cuba merapati Uzair yang sudah berpeluh.

“ Awak tahu saya ni polis, saya boleh ambik tindakan kalau awak cuba apa- apakan saya,” tegas Uzair dengan suara yang tersekat. Selama hidupnya dia tidak pernah berhadapan dengan perempuan yang berkelakuan berani mati seperti Arisya ini. Bahaya ni.

Arisya mendiamkan diri. Dia merangkak mendekati Uzair. Manakala Uzair semakin tidak keruan. Dia tidak senang duduk tetapi untuk melarikan diri, Uzair tidak mampu. Dia memejamkan mata. Jantungnya berdetak tidak menentu. Dup, dap, dup, dap…

Namun Arisya masih menayang muka bengis. Dia mendekatkan wajahnya dengan wajah Uzair sementara tangannya mencapai beg sandang milik Uzair yang terletak di tepi lelaki tersebut. Dia melihat ketakutan di sebalik anak mata hitam milik Uzair. Hatinya bagai digeletek lantas meletus ketawa yang kuat daripada bibir comel milik Arisya.

Sebaik sahaja mendengar bunyi ketawa, Uzair membuka mata. Dia melihat Arisya ketawa terbahak- bahak. Lebih mengerikan lagi apabila gadis itu ketawa sehingga terguling- guling di atas lantai. Tak senonoh punya bini. Uzair mengetap bibir. Terasa wajahnya berbahang panas menahan rasa malu dan geram diperlakukan sebegitu oleh Arisya.

“ Yang awak gelak macam tak ingat syurga dengan neraka ni kenapa? Seronok gelakkan saya?” ucap Uzair geram. Dia mula bingkas bangun dan duduk di birai katil sambil memandang wajah Arisya yang sedang kemerahan kerana terlalu banyak gelak.

“ Awak tu yang kelakar…awak ingat saya nak perkosa awak ke? Eh bagi free pun saya tak naklah. Saya nak ambil beg awak ni je,” balas Arisya sambil menekan perutnya. Ketawanya masih lagi bersisa.

“ Kalau awak berhajat pun, saya takkan benarkan awak apa- apa kan saya,” balas Uzair.

“ Masalah sekarang saya tak nak pun kat awak…awak jangan risau saya takkan tergoda dengan awak,” ucap Arisya bersahaja. Dia duduk bersila di atas lantai sambil membuka zip beg sandang milik Uzair.

Uzair bengang. Terasa egonya sebagai lelaki dicabar. Pantas dia mendekati Arisya yang sedang khusyuk mengeluarkan pakaian- pakaiannya daripada beg. Wajah gadis itu dipandang dengan renungan yang tajam. Dia ingin membalas  balik apa yang Arisya telah lakukan padanya sebentar tadi.

Arisya mendongak, dia terkejut melihat kedudukan Uzair yang hampir dengan dia. Wajah lelaki itu hanya beberapa inci sahaja daripada wajahnya. Terkebil- kebil matanya bertentangan dengan mata Uzair.

“ Awak ni dah kenapa?” marah Arisya sambil menolak tubuh Uzair supaya menjauh.

Uzair tidak berganjak sebaliknya dia semakin mendekati Arisya yang kelihatan tidak keruan. Kali ini hatinya pula bagai digeletek melihat wajah cuak Arisya yang takut dirinya di apa- apakan. Tadi, bukan main kau gelakkan aku, sekarang giliran kau pula. Benak hati Uzair berkata- kata.

“ Awak jangan pecah rekod hidup saya, selama saya hidup belum pernah saya bagi penampar sulung dekat lelaki. Jadi saya minta lebih baik awak jauhkan diri awak dari saya,” ujar Arisya. Suaranya kedengaran tergagap- gagap.

“ Awak kan isteri saya takkan awak sanggup nak pukul saya pulak?” Ucap Uzair dengan suara yang sengaja dilembutkan.

Dia merenung ke dalam mata Arisya dengan senyuman yang menggoda. Uzair ingin lihat sejauh mana Arisya dapat bertahan. Lalu dengan selamba dia merangkul pinggang Arisya.

Arisya terasa bagai mahu pitam dengan perbuatan Uzair. Jantungnya berdegup laju. Arisya menjarakkan wajahnya daripada wajah Uzair yang semakin mendekat. Dia ni dah gila agaknya. Namun, senyuman yang Uzair lemparkan mampu mencairkan hati Arisya. Terkebil- kebil mata Arisya membalas pandangan Uzair.

Arisya dapat rasakan dia tidak dapat bertahan dengan lama, lalu dia menolak tubuh Uzair sekuat hati sehingga lelaki itu jatuh terduduk di atas lantai. Arisya menjarakkan dirinya daripada Uzair. Dia memeluk kemas pakaiannya yang ingin di sangkut sebentar tadi.

“ Walaupun saya rela kahwin dengan awak, awak jangan fikir saya ni macam perempuan yang murah. Saya tak rela awak sentuh saya kalau awak tak cintakan saya,” ujar Arisya sambil menggoyang- goyangkan jari telunjuknya.

Uzair kembali duduk di birai katil. Dia tergelak.

“ Awak tak payah nak emosi sangat, saya ni bukan lelaki jahat yang senang- senang nak terkam anak dara orang walaupun anak dara orang tu halal untuk saya. Pendirian saya tentang wanita masih lagi teguh. Untuk jatuh cinta pada awak amat mustahil bagi saya tetapi itu tidak bermakna awak boleh ambil kesempatan terhadap saya. Walau apa pun yang terjadi, saya menikahi awak kerana Allah dan awak isteri saya yang sah. Jadi awak perlu menjalankan tanggungjawab awak sebagai isteri saya,” ujar Uzair panjang lebar.

Sebaik saja menghabiskan kata, dia merebahkan badan ke tilam untuk melelapkan mata. Manakala, Arisya hanya terpinga- pinga mendengar kata- kata Uzair. Dia mengerutkan kening. Apalah yang mamat tu bebelkan tadi? Tak faham aku.